ROSHAIZAD bersama isteri tercinta.
ROSHAIZAD bersama isteri tercinta.
Siti Nadirah Hafidzin


HIDUP ini umpama roda, ada kala di atas dan ada masanya kita terduduk di aras paling rendah. Begitu juga dengan takdir, semuanya sudah tertulis sejak azali lagi. Kesihatan diri antara nikmat kehidupan yang paling bermakna. Atas sebab itu, ramai yang mengatakan tidak ada gunanya wang ringgit berjuta jika kesihatan terjejas teruk.

Kisah pasangan suami isteri ini dalam membawa kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik, sekali gus membantu lebih ramai individu menjana pendapatan sendiri sungguh memberi inspirasi buat semua, baik kepada yang muda juga yang sudah berusia.

Segalanya bermula empat tahun lalu apabila si isteri mengalami masalah saraf belakang yang agak kronik hingga menyebabkannya sukar untuk bangun dan bergerak.

Ketika itu kehidupan seolah-olah tidak bermakna, terlalu banyak yang berubah terutama berkaitan sumber kewangan yang perlu diatur dengan baik.

 TIDAK sesekali menyalahkan takdir.
TIDAK sesekali menyalahkan takdir.

Apabila diuji dengan nikmat sakit, tidak dapat dinafikan wang simpanan antara perkara paling penting dan sangat diperlukan.

Memulakan bicara, Roshaizad Johar, 42, berkata, keadaan isteri tercinta, Shaini Razali yang diserang masalah saraf membuatkan dia ‘tersedar’ untuk menjalankan perniagaan.

“Semuanya bermula apabila kami mencuba mengamalkan satu makanan tambahan berasaskan 17 sumber antioksidan dan makanan sunah untuk kesihatan isteri ketika itu dan syukur dia (isteri) serasi.

“Dari situ, kami nekad mahu mula berniaga untuk berkongsi kebaikan makanan tambahan itu dengan individu memerlukan selain menjana pendapatan,” katanya.

Menurutnya, selain isteri, dia juga mempunyai tiga cahaya mata yang perlu diuruskan.

“Saya dan isteri rancak berfikir terutama untuk memastikan kehidupan dapat diteruskan dengan baik terutama anak-anak dapat membesar dengan baik. Ketika itu juga saya berusaha menambah ilmu. Tanyalah apa saja kelas perniagaan yang tidak saya ikuti. Asal ada peluang menambah ilmu dan kemahiran, saya sedaya upaya luangkan masa untuk dijadikan ‘modal’ membina empayar perniagaan,” katanya.

Berkat usaha dan persetujuan bersama, pasangan terbabit kemudian memberanikan diri memulakan perniagaan dalam bidang kesihatan dan kecantikan dengan bernaung atas jenama Richglow.

“Kami berniaga bukan disebabkan mahu kaya atau kerana ikutkan orang lain tetapi saya lakukan untuk menjana pendapatan. Mulanya memang susah, apatah lagi saya seorang lelaki dan tidak biasa dengan bidang ini namun saya ambil ia sebagai satu cabaran. Walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan, isterilah yang banyak membantu saya terutamanya untuk meyakinkan pelanggan ketika itu.

“Memandangkan kini semuanya hanya di hujung jari membuatkan semuanya semakin mudah kerana tanpa perlu banyak bergerak ke sana-sini, saya dan isteri dapat meneruskan perniagaan dengan baik,” ujarnya.

BERSAMA keluarga tersayang.
BERSAMA keluarga tersayang.

BERUSAHA DAN TAWAKAL

Menurut Roshaizad yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), walaupun dalam keadaan kurang yakin dia bersama isterinya sentiasa berusaha sedaya mungkin, berdoa dan bertawakal kepada Yang Maha Esa supaya rezeki keluarganya dipermudahkan.

“Daripada bertatih kami berjaya berjalan dan kemudian semakin bergerak pantas, daripada tidak tahu cara untuk meyakinkan pelanggan, kini selepas hampir lima tahun kami berjaya mempunyai lebih 200 ejen dan pesan-hantar (dropship) selain beberapa orang kakitangan yang membantu perjalanan perniagaan.

“Begitu besar kekuasaan Yang Maha Esa dalam membantu setiap hamba-Nya yang tidak berhenti berusaha. Siapa sangka daripada tidak yakin kini kami boleh kembali menyimpan wang untuk kegunaan masa kecemasan dan saat memerlukan,” katanya.

Tambahnya, dia bersama isteri sentiasa menerapkan konsep yang sama kepada setiap ejen dan kakitangannya supaya sentiasa dalam keadaan beringat.

“Berniaga ini tidak mudah juga tidaklah terlalu susah, apa yang penting adalah usaha tanpa henti dan jangan mudah berputus asa kerana tidak semestinya anda gagal sekali dan anda akan gagal selamanya.

“Lakukan perancangan dengan teliti, gunakan sebaik mungkin kemudahan pada zaman teknologi kini kerana anda tidak perlu terlalu bersusah payah untuk berniaga,” ujarnya.

Roshaizad berkata, pada masa sama, dia juga memanjatkan kesyukuran kerana keadaan kesihatan isteri tercinta semakin pulih.

“Tidak kiralah dalam hidup atau dalam perniagaan, perlu percaya serta yakin dengan kekuasaan Ilahi, jangan mudah berpuas hati selain tidak boleh sesekali sombong dengan sesiapa.

“Saya dan isteri sentiasa mengingatkan kepada setiap kakitangan kami untuk berusaha sebaik mungkin dan jangan lupa berdoa serta bertawakal,” ujarnya.

Tambahnya, selain dapat membina kehidupan yang lebih selesa, menerima pelbagai ganjaran hebat wang tunai dan emas, membantu wanita terutama golongan suri rumah serta ibu tunggal untuk menjana pendapatan sendiri, dia sangat gembira kerana dapat menghantar kedua-dua ibu bapa mengerjakan umrah.

“Apa lagi yang kami mahukan selain kebahagiaan ini. Saya langsung tidak menyangka kami dapat melangkah ke tahap yang lebih baik seperti ini.

“Inilah yang dinamakan takdir dan jangan sesekali menyalahkan takdir kerana Allah SWT tidak pernah berlaku kejam kepada hamba-Nya. Sekiranya kita diberikan ujian, berdoalah supaya perjalanan hidup dipermudahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:30 AM