AHMAD Zulkifli berjaya membantu lebih 500 wanita dari pelbagai negeri.
AHMAD Zulkifli berjaya membantu lebih 500 wanita dari pelbagai negeri.
Siti Nadirah Hafidzin


BENAR kata orang, pengalaman mematangkan seseorang. Pengalaman juga yang mengajar individu itu lebih menghargai kehidupan.

Lain individu lain kisah hidupnya, ada yang melalui kehidupan dengan mudah namun ada pula sebaliknya.

Bagi anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini, sejak kecil dia menanam azam untuk mengubah nasib diri juga keluarga, dalam masa sama, dia juga mahu berbakti kepada individu bergelar wanita supaya tidak ada lagi yang ditindas dengan mudah hanya kerana ‘wang’.

Ternyata impian murni itu bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai, apatah lagi dengan kehidupan masa kini yang rata-ratanya memerlukan kos perbelanjaan tinggi.

Namun dia tidak mahu menyerah kalah, Ahmad Zulkifli Saad bersama isteri tercinta, Mahirah Mohamad Fazil berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan impian dihajati.

Memulakan bicara, Ahmad Zulkifli berkata, kehidupannya sangat dekat dengan wanita dan disebabkan itu dia mahu kehidupan golongan itu terbela.

“Walaupun saya seorang lelaki, tidak bermakna hanya menyebelahi jantina sendiri. Lumrah kehidupan masih ramai wanita yang hidupnya ditindas dan lebih menyedihkan sekiranya mereka tidak mempunyai sumber kewangan sendiri.

“Saya berbincang dengan isteri memikirkan cara terbaik yang boleh dijalankan dalam usaha membantu wanita lain sebelum timbulnya idea untuk bersama-sama berniaga. Kami berjaya hasilkan minyak habbatus sauda atas jenama Mamz hasil penyelidikan sendiri dan perbincangan bersama individu mahir untuk kegunaan luaran bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Ahmad Zulkifli berkata, dia menghasilkan produk terbabit disebabkan ia sangat berguna untuk membantu mengatasi masalah kesihatan biasa bayi dan kanak-kanak seperti selesema serta batuk berkahak selain sangat dekat dengan kehidupan seharian wanita bergelar ibu.

“Umum mengetahui wanita sinonim dengan bayi dan kanak-kanak, disebabkan itu, saya tekad menghasilkan produk yang dihasilkan menggunakan pati habbatus sauda selain tiada bahan pengawet. Ia juga lebih mudah dijual serta sangat praktikal untuk kegunaan harian.

“Saya dan isteri mengambil masa lebih setahun untuk memasarkan produk ini sebelum mula mengajak lebih ramai wanita berniaga sebagai ejen atau stokis. Disebabkan niat adalah untuk membantu, kami tidak mahu membiarkan wanita terbabit terus menjual namun sesi pembelajaran perlu dilalui terlebih dulu,” ujarnya.

Katanya, dia dan isteri akan memberikan maklumat terperinci, teknik jualan, jualan dalam talian dan pelbagai lagi tunjuk ajar kepada setiap wanita yang bernaung di bawahnya selain maklumat lanjut produk boleh didapati di laman sosial Mamz.

“Bagi memudahkan, sesi pembelajaran boleh dijalankan secara dalam talian saja iaitu dengan kaedah berkomunikasi di telefon atau boleh juga bersua muka melalui sesi panggilan video yang lebih mudah dan praktikal.

“Jika mahu berjumpa tentu saja ada kosnya dan disebabkan itu, saya akan mengikut kemahuan serta kemampuan mereka namun kami sememangnya ada menjalankan kelas pembelajaran mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

AHMAD Zulkifli bersama isteri tercinta, Mahirah.
AHMAD Zulkifli bersama isteri tercinta, Mahirah.

BANTU LEBIH 500 WANITA BINA KEHIDUPAN

Ahmad Zulkifli berkata, dia dan isteri sangat gembira apabila berjaya membantu lebih 500 wanita dari pelbagai negeri dan lokasi menjana pendapatan.

“Apa yang saya lakukan ini tidaklah berunsurkan keuntungan semata-mata namun ia lebih kepada usaha dalam membantu individu lain.

“Sangat terharu apabila ada di antara wanita yang bernaung di bawah saya dapat menghantar anaknya belajar hingga ke luar negara hasil menjalankan perniagaan ini. Tiada apa yang saya harapkan melainkan melihat kejayaan wanita ini dalam meneruskan kehidupan dengan baik kerana itulah matlamat sebenar saya,” ujarnya.

Katanya, kini selepas lebih dua tahun dalam usaha ini, dia tekad untuk membantu lebih ramai usahawan wanita yang ingin berjaya.

“Saya gembira jika kehidupan mereka berubah ke arah yang lebih baik terutama dalam kalangan ibu tunggal yang membesarkan anak.

“Disebabkan itu, saya sering menasihatkan kepada mereka supaya jangan sesekali mudah putus asa terutama ketika menerima tolakan daripada pelanggan. Perlu tahan malu dan banyakkan berdoa supaya urusan harian dipermudahkan kerana doa adalah senjata paling tepat dalam kehidupan,” katanya.

Menurutnya, segala yang dilakukannya bukanlah untuk mendapatkan nama apatah lagi pujian atau sanjungan namun ia lebih kepada keikhlasan.

“Saya tidak sanggup melihat wanita diperlakukan sesuka hati atau ditindas dan disebabkan itu, mereka perlu ada pendapatan sendiri supaya sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, mereka mampu meneruskan kehidupan. Tentunya saya dan isteri mengharapkan mereka dapat mempunyai kehidupan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

“Saya bukanlah siapa-siapa, malah tidak ramai yang mengenali saya. Namun saya berharap usaha dilakukan ini membuahkan hasil dan memberi sinar kehidupan yang menggembirakan buat lebih ramai wanita,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 6:00 AM