TANAM pokok orkid pada potongan kayu pokok rambutan.
TANAM pokok orkid pada potongan kayu pokok rambutan.
Teks dan foto Rosman Shamsudin


UNGKAPAN hanya jauhari yang mengenal manikam sesuai menggambarkan peminat tegar pokok orkid yang mengetahui nilai sebenar tumbuhan berkenaan di negara ini.

Malah orkid tempatan juga mempunyai nilai tinggi di pasaran kerana terdapat sesetengah spesies tumbuhan itu terutama yang hampir pupus mampu mencecah ribuan ringgit.

Namun, disebabkan penerokaan hutan secara haram dan aktiviti pembalakan tidak terkawal walaupun untuk pembangunan dipercayai menjadi ancaman kepada kepupusan pokok orkid tempatan.

Usaha peminat atau penanam tegar orkid tempatan yang mengusahakan tanaman pokok berkenaan sama ada secara komersial atau sebagai hobi sedikit sebanyak mampu mengekalkan pelbagai spesies tumbuhan ini daripada terus pupus.

Bagi mengekalkan pelbagai spesies pokok orkid dan untuk kelangsungan hidup, bekas jurutera petroleum, Muhammad Muzameen Reza Mukthar, 40, kini menjadikan tanaman itu sebagai sumber pendapatan

Berkat usahanya, kini dia mempunyai 1,000 jenis atau spesies pokok orkid yang diusahakan sejak diberhentikan kerja secara beramai-ramai di sebuah syarikat petroleum di ibu kota pada 2018.

Menurutnya, pendedahan mengenai pokok orkid adalah daripada ayahnya yang juga peminat tanaman itu sejak masih bersekolah.

POKOK orkid ditanam pada potongan kayu pokok rambutan digantung di bawah rumah hijau.
POKOK orkid ditanam pada potongan kayu pokok rambutan digantung di bawah rumah hijau.

"Ketika tinggal di Kota Kinabalu, Sabah terdapat tempat menjual pokok orkid hutan dan saya mengambil peluang menjual pelbagai jenis pokok orkid yang dipos ke Semenanjung Malaysia.

"Apabila melihat pokok orkid mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan mendapat permintaan ramai, saya memilih untuk fokus dengan menjadikannya sebagai sumber pendapatan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun terdapat pelbagai jenis pokok orkid di negara ini iaitu Vanda, Dendrobium, Bulbophyllum, Catteleya dan Phalaenopsis, pokok orkid jenis Bulbophyllum antara yang paling digemari peminat tegar orkid di seluruh dunia.

Terdapat dua jenis pokok orkid Bolbophyllum iaitu yang hidup dalam habitat semula jadi di dalam hutan dan mempunyai nilai tinggi di pasaran.

Sementara yang kedua ialah jenis hibrid atau kacukan iaitu pokok orkid induk yang dikacuk dengan pokok orkid yang lain.

Menariknya, pokok orkid Bolbophyllum di negara ini mempunyai pelbagai varian dan bunga berbeza mengikut asal usul serta habitat pokok terbabit.

Beliau berkata, pokok orkid Bolbophyllum mudah dijaga dan tahan lasak daripada sebarang perubahan cuaca dan serangan penyakit.

BULBOPHYLLUM Kubahense mengeluarkan bunga mempunyai nilai yang tinggi.
BULBOPHYLLUM Kubahense mengeluarkan bunga mempunyai nilai yang tinggi.

"Anak pokok orkid Bolbophyllum biasanya ditanam pada kayu pokok rambutan yang dipotong kira-kira 20 sentimeter (sm) dan kemudian diikat menggunakan benang sebelum digantung di dalam rumah hijau.

"Kayu pokok rambutan sesuai dijadikan medium tanaman orkid kerana struktur kayu terbabit serasi dan membantu mempercepatkan tumbesaran di samping mudah didapati di merata tempat.

"Lapan puluh peratus daripada 1,000 koleksi pokok orkid yang saya usahakan terdiri daripada jenis Bolbophyllum dan mempunyai varian serta bunga yang berbeza," katanya.

Reza berkata, tempoh masa berbunga pokok orkid dianggarkan kira-kira setahun, namun ia bergantung kepada cara penjagaan dan pembajaan pokok terbabit.

Katanya, bagi mempercepatkan tumbesaran pokok orkid dan mengeluarkan bunga, pokok berkenaan perlu dibaja secara berkala.

"Pokok orkid yang ditanam di dalam rumah hijau disiram secara automatik empat kali sehari.

POTONGAN kayu pokok rambutan yang digunakan untuk menanam pokok orkid.
POTONGAN kayu pokok rambutan yang digunakan untuk menanam pokok orkid.

"Bagi mengelak serangan penyakit atau serangga perosak, pemiliknya perlu menyembur racun bagi mengelak pokok orkid berkenaan mati," katanya.

Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Skudai, Johor berkata, paling mahal pokok orkid Bolbophyllum pernah dibeli oleh peminat tegar orkid ialah RM1,700.

Katanya, kebanyakan orkid yang ditanam dijual serendah RM45 dan salah satu pokok orkid jenis Paraphalaenopsis Denevei yang beliau miliki mampu mencecah kira-kira RM3,000 sepokok.

"Seorang warga Amerika Syarikat pernah menawarkan kira-kira AS$1,700 (RM7,123) bagi pokok orkid Bolbophyllum Kubahense, namun saya tolak kerana pokok itu digunakan untuk pembiakan baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 6:30 AM