Baharom Bakar


Kuala Berang: "Meskipun tidak mengalami kerugian tetapi pengusaha rumah bot terkesan dan hilang punca pendapatan berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut.

Katanya, hampir 85 peratus pengunjung membatalkan tempahan dan meminta wang pendahuluan dikembalikan manakala bakinya menunggu kerajaan membuka semula sektor pelancongan.

"Berikutan pelaksanaan SSP dan PKP bagi mengelak penularan Covid-19, pendapatan 227 pengusaha rumah bot termasuk pemandu serta pekerja terjejas teruk susulan larangan aktiviti rentas daerah dan negeri.

"Kita merayu kepada kerajaan dapat pertimbangkan rentas daerah dan negeri bagi merancakkan semula sektor pelancongan di negeri ini," katanya kepada media selepas menerima replika cek bernilai RM118,100 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman di pusat penerangan pelancongan Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

RAZALI (tengah) dan Ahmad Fakaruddin (dua kiri) menyaksikan majlis penyerahan replika cek disampaikan Mohd Zaid (kanan) kepada Zalani (kiri) di pusat penerangan pelancongan Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, hari ini. FOTO Baharom Bakar
RAZALI (tengah) dan Ahmad Fakaruddin (dua kiri) menyaksikan majlis penyerahan replika cek disampaikan Mohd Zaid (kanan) kepada Zalani (kiri) di pusat penerangan pelancongan Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, hari ini. FOTO Baharom Bakar

Majlis penyerahan insentif sekali bayaran itu disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris dan Timbalan Pengurus Besar Ketengah (Operasi) Ahmad Fakaruddin Ahmad.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Pegawai Pembangunan Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Zawawi Ismail.

Sementara itu, Razali berkata, seramai 175 penggiat pelancongan di Tasik Kenyir yang sudah berumahtangga menerima bantuan sekali bayaran berjumlah RM500, manakala 102 penerima bujang mendapat RM300 seorang.

Katanya, bantuan itu antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ketengah bagi fasa kedua untuk meringankan beban penggiat pelancongan yang terjejas susulan pelaksanaan PKP dikuatkuasakan kerajaan Mac lalu.

"Bantuan sekali bayaran kepada penggiat pelancongan Tasik Kenyir itu adalah fasa kedua sepanjang tempoh PKP dan SPP selepas bantuan fasa pertama diberikan untuk membantu membaik pulih rumah bot sebagai persediaan memulakan perniagaan Jun tahun lalu.

"Disebabkan tempoh pandemik Covid-19 berlarutan sejak lebih setahun lalu, kali ini kita bersetuju membantu pengusaha rumah bot dan pemandu yang semuanya terkesan susulan penularan pandemik itu," katanya.

Tahun lalu, Ketengah menyalurkan bantuan berjumlah RM152,700 kepada 86 pengusaha rumah bot bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 10:44 AM