PINTU masuk ke Taman Orkid yang dipayungi pokok hutan liar. FOTO Aswadi Alias
PINTU masuk ke Taman Orkid yang dipayungi pokok hutan liar. FOTO Aswadi Alias
Hafiz Ithnin


DILIMPAHI dengan kekayaan hidupan flora dan fauna, nama Tasik Kenyir cukup gah dan terkenal. Kegemilangannya sebagai destinasi pelancongan eko dalam kalangan pelancong tempatan dan asing juga tidak boleh dinafikan, sekali gus berjaya mengangkat nama negara.

Kebiasaannya, apabila menyebut Tasik Kenyir pastinya aktiviti seperti memancing, menerokai laluan denai dan menikmati perjalanan di atas rumah bot menjadi sebutan kepada mereka yang berpeluang ke tasik buatan antara terbesar di Asia Tenggara itu.

Penulis yang gemarkan aktiviti riadah lasak berkonsepkan alam semula jadi sememangnya mengidamkan untuk mengunjung lokasi itu kerana ia juga terkenal dengan aktiviti lasak seperti kegiatan tali tinggi dan berkayak.

Tasik Kenyir mempunyai pelbagai tarikan yang sesuai untuk semua segmen pelancong kerana dalam popularitinya sebagai destinasi pelancongan eko, ada tarikan yang dirasakan unik bagi penulis.

Di sini terdapat ‘kebun’ orkid di atas pulau! Bagi penulis yang baru kali pertama mengetahui mengenai tarikan itu yang dikenali sebagai Taman Orkid agak teruja apabila menjejakkan kaki di sana.

Taman Orkid berkenaan merangkumi Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit yang dihubungkan dengan jambatan gantung dan mempunyai pelbagai kemudahan lain yang boleh dinikmati jika berada di taman ini.

PELBAGAI orkid dibiarkan tumbuh meliar. FOTO Aswadi Alias
PELBAGAI orkid dibiarkan tumbuh meliar. FOTO Aswadi Alias

Tempoh perjalanan ke Taman Orkid mengambil masa 20 minit dari Jeti Pengkalan Gawi sesuai untuk dikunjungi mereka yang gemarkan tumbuhan berbunga itu kerana di sini ada pelbagai spesies orkid yang dipelihara rapi pihak pengurusan taman.

Pengerusi Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut berkata, Taman Orkid yang mula beroperasi sejak Mei 2014 itu mempunyai 900 spesies orkid asli dan 200 spesies orkid hibrid.

Beliau berkata, sejak taman itu dibuka kepada orang ramai sehingga kini, jumlah pelancong sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun lalu sahaja 8,000 hingga 10,000 pelancong berkunjung menikmati keindahan bunga orkid yang pelbagai warna, saiz dan bentuk.

“Tarikan utama di sini pastinya adalah kepelbagaian orkid yang boleh pengunjung boleh lihat dan tahu mengenainya dengan lebih dekat terutama jenis orkid liar yang hidup di atas kawasan pergunungan.

“Selain itu, Taman Orkid juga menjadi tempat penyelidikan pengkaji tumbuhan tempatan. Oleh itu, sebagai pihak berkuasa yang menguruskan taman ini, kami sentiasa memastikan tanaman berharga ini dijaga dengan baik,” katanya.

MENJADI destinasi bagi mereka gemarkan aktiviti merakam gambar. FOTO Aswadi Alias
MENJADI destinasi bagi mereka gemarkan aktiviti merakam gambar. FOTO Aswadi Alias

Meskipun Taman Orkid dibangunkan di atas pulau, orkid yang ditanam disusun kemas dan sesuai buat mereka yang ingin merakamkan gambar terutama untuk tema perkahwinan.

Kepelbagaian warna orkid yang sihat dipertontonkan di pintu masuk dan laluan pejalan kaki di dalam taman itu, tidak mustahil ia sentiasa menjadi lokasi sasaran ramai pelancong asing khasnya untuk menikmati keindahan di sini.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan ilmu menanam orkid juga boleh bertanyakan kepada kakitangan yang bertugas kerana mereka sentiasa terbuka untuk berkongsi pengalaman kepada orang ramai.

Zalani berkata, memandangkan Taman Orkid semakin popular dalam kalangan pelancong yang datang ke Tasik Kenyir, pihaknya juga sudah membangunkan 10 bilik penginapan.

Beliau berkata, kemudahan penginapan itu yang baru beroperasi awal tahun ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan Tasik Kenyir dan Taman Orkid.

“Jika pengunjung datang bersama keluarga, ada banyak aktiviti yang boleh mereka lakukan seperti mempelajari cara menanam dan menjaga orkid serta memancing.

“Bayaran yang dikenakan pengunjung yang bermalam turut termasuk aktiviti memancing. Jadi jika si isteri sukakan aktiviti menanam orkid mereka boleh belajar daripada kakitangan kami sementara si suami yang suka memancing pula boleh memancing di mana-mana lokasi di dalam pulau ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 11:50 AM