BLOG Cikgu Hailmi dihasilkan jadi rujukan pelajar dan beri inspirasi kepada lebih ramai guru.
BLOG Cikgu Hailmi dihasilkan jadi rujukan pelajar dan beri inspirasi kepada lebih ramai guru.
Intan Mas Ayu Shahimi


PENULIS mengenali guru ini menerusi laman blog miliknya kira-kira dua tahun lalu. Ketika itu, Norhailmi Abdul Mutalib memang sudah rancak berkongsi ilmu, tidak terhad kepada profesionnya sebagai guru.

Dikenali umum dengan gelaran Cikgu Hailmi, lelaki berusia 38 tahun ini dilihat mempunyai faktor X. Dia bukan sekadar mendidik pelajar di sekolah, bahkan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dengan sesiapa saja termasuk guru seangkatan.

Kebetulan berada di Kuala Lumpur kerana terikat dengan jadual pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, pertemuan dengan Norhailmi diatur di Studio Jalan Riong, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Rupa-rupanya, penerima anugerah Ikon Guru STEM Kebangsaan 2017 ini bukanlah bercita-cita menjadi guru sejak awal. Kata Norhailmi, dia sebenarnya memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia.

DIANUGERAHKAN Ikon Guru STEM Kebangsaan pada 2017 oleh KPM.
DIANUGERAHKAN Ikon Guru STEM Kebangsaan pada 2017 oleh KPM.

“Namun, selepas tamat belajar dan menanti peluang kerja, kakak yang juga seorang guru mencadangkan saya mengutip pengalaman menjadi guru ganti. Jadi, selama enam bulan saya berkhidmat di tiga sekolah berlainan, sebagai guru ganti bagi subjek Kimia.

“Perasaan yang dulunya kekok bertukar seronok. Saya gembira setiap kali melihat pencapaian murid bertambah baik. Saya bangga apabila berjaya mendidik mereka yang ‘tidak tahu’ menjadi ‘faham’ terhadap ilmu yang diajar.

“Kegembiraan berganda apabila saya berjaya menemui formula terbaik untuk mengajar mereka yang lama dianggap lemah di kelas. Kalau sebelumnya pelajar kata tidak boleh, akhirnya mereka berjaya menguasai ilmu dan faham.

“Dari situlah saya mula sedar setiap pelajar mampu menguasai ilmu jika guru mampu memperbaiki fungsi mereka. Setiap guru perlu menghargai peranan mereka dan berusaha memperkenal kaedah mengajar serta corak pembelajaran terbaik. Selepas berfikir panjang, saya akhirnya memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI),” katanya tersenyum.

ASAH BAKAT

Selepas nekad mengubah haluan, Norhailmi masih menerima pelbagai tawaran kerja. Bagaimanapun, hatinya jadi tawar untuk menghadap mesin mahupun suasana kerja di pejabat.

“Sepanjang menjadi guru ganti, saya gembira dengan kehidupan seharian. Seronok apabila bekerja dalam persekitaran yang boleh menggalakkan diri kita untuk sentiasa belajar, memperbaiki kelemahan diri dan memajukan kemahiran seiring keperluan semasa.

“Selepas setahun di Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang, saya dihantar ke Sarawak. Nah, cabaran di sekolah luar bandar bukan mudah. Saya dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar No 1 Sibu, Sarawak. Sekolah ini mempunyai kira-kira 1,500 pelajar yang separuh daripadanya tinggal di asrama. Secara tidak langsung, saya juga menyandang tugas sebagai warden.

“Walaupun ramai yang mengatakan tugas warden itu sukar, saya suka kerana mempunyai banyak masa untuk berinteraksi dengan pelajar. Di sana saya bawa sukan bola lisut dan aktif menyertai pertandingan video kreatif hingga memenangi johan di peringkat kebangsaan. Kemudian, saya mula aktif dalam dunia maya dan banyak berkongsi pengalaman serta cerita menarik menerusi blog,” katanya.

Membuktikan komitmen dan kesungguhannya berbakti di Bumi Kenyalang, Norhailmi berjaya menguasai bahasa Iban. Dia bukan sekadar rapat dengan pelajarnya, bahkan cukup mengenali keluarga anak didiknya.

“Saya perhatikan pelajar di sana mudah didekati jika kita rapat dengan keluarga mereka. Jadi, setiap minggu saya berkunjung ke rumah panjang dan beramah mesra dengan keluarga besar di sana.

“Alhamdulillah, sehingga ditukarkan ke Semenanjung, kami berpisah bagai keluarga. Ada pelajar yang menghadiahkan saya baju burung, pakaian tradisional kaum Iban yang dibuat nenek mereka, parang tradisional dan pelbagai perhiasan lain.

“Banyak kenangan manis yang berjaya dikutip di sana, termasuk anugerah Guru Cemerlang Sains yang diterima selepas enam tahun berkhidmat di sekolah berkenaan,” katanya.

Meneruskan kerja amalnya di alam maya, Norhailmi aktif mengemas kini blog dengan pelbagai perkongsian menarik sehingga kini. Laman yang dulunya dibangunkan sekadar untuk rujukan pelajar, berkongsi nota dan aktiviti kelas, tidak henti menerima pengikut baharu.

BERSAMA rakan guru STEMVengers yang membantu Pusat STEM Negara mengadakan bengkel hands on STEM di kolokium seluruh Malaysia.
BERSAMA rakan guru STEMVengers yang membantu Pusat STEM Negara mengadakan bengkel hands on STEM di kolokium seluruh Malaysia.

“Sehingga kini, blog sudah menerima lebih 30 juta tontonan. Selain blog, saya juga meluaskan perkongsian di laman YouTube dan Instagram. Gembira dan puas apabila berkesempatan berkongsi banyak amalan terbaik di media sosial.

“Setidak-tidaknya, inilah kayu pengukur untuk saya melihat sejauh mana perkembangan dan potensi diri. Saya tidak memulakan blog untuk tujuan berbangga, tetapi menjadi rujukan pelajar dan umum, selain memberi inspirasi kepada lebih ramai guru untuk sama-sama memperbaiki kualiti diri,” katanya.

CEDOK PENGALAMAN DI KOREA

Bercerita mengenai tuah yang pernah singgah dalam diari hidupnya, Norhailmi berkata, dia bersyukur apabila ditempatkan di SMK Jerlun pada 2015. Bahkan, pada tahun sama jugalah dia berpeluang mengikuti program pertukaran guru Malaysia ke Korea anjuran UNESCO.

“Tiga bulan saya di Daegu Girls Commercial High School. Pengalaman di sana banyak membuka minda mengenai pendidikan global dan pentingnya cara kerja sistematik. Berbanding masyarakat kita, mereka di sana sangat menepati masa, jujur dan berdisiplin dalam kerja.

“Walaupun di peringkat sekolah tinggi, mereka sudah didedahkan dengan ilmu robotik dan cenderung ke arah reka cipta. Semua nilai, kualiti dan kaedah pembelajaran yang ditimba di sana, saya bawa pulang ke sekolah di Kedah. Saya lihat bagaimana reaksi pelajar setiap kali kelas bermula dan mula muhasabah diri. Saya terfikir, adakah pelajar tidak boleh fokus dalam pelajaran, atau saya yang tak mampu mengajar dengan baik.

“Dari sudut penilaian, saya dapat lihat pelajar sebenarnya boleh belajar asalkan terbabit sama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi, transformasi demi transformasi dilakukan untuk saya mencapai kualiti diri dan pelajar. Alhamdulillah, semua usaha ini berbaloi.

Hari ini saya mampu tersenyum bangga apabila meraih pelbagai anugerah berprestij, mewakili Malaysia untuk pembentangan Amalan Terbaik di Seminar SSAEM 2016 di Seoul Korea, ke Amerika Syarikat (AS) untuk penganjuran Honeywell Educators Space Academy, melatih guru cara mengintegrasikan STEM dalam pembelajaran dan menerima anugerah guru Sains terbaik di peringkat antarabangsa.

“Ini semua kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kalau ada yang bertanya, saya lebih senang mengakui kejayaan hari ini hasil inspirasi daripada kakak, Norzuraini. Dialah yang mencadangkan saya bermula sebagai guru ganti dan masih menjadi contoh terbaik untuk diri saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 6:30 AM