CIKGU Norhailmi yang menyertai program Juara Cikgu Digital menggunakan aplikasi TikTok bagi menarik minat pelajar menyertai PdPR. FOTO ihsan MDEC
CIKGU Norhailmi yang menyertai program Juara Cikgu Digital menggunakan aplikasi TikTok bagi menarik minat pelajar menyertai PdPR. FOTO ihsan MDEC
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Berdepan pelbagai cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan halangan buat Cikgu Norhailmi yang mengukir kejayaan menerusi aplikasi TikTok.

Cikgu Norhailmi atau Norhailmi Abdul Mutalib, 40, antara individu berjaya selepas menyertai program 'Cikgu Juara Digital' anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurutnya, selepas menjadi peserta program itu, beliau kemudian menyertai bengkel TikTok anjuran MDEC dan mendapati penggunaan aplikasi itu berpotensi membantu proses pembelajaran.

"Saya mula membuka akaun TikTok pada Oktober 2020 dengan memuat naik kandungan video mengenai nota subjek Sains.

"Selain itu, saya turut merakam eksperimen ringkas bagi memudahkan pelajar memahami topik sedang dibincangkan," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan MDEC.

CIKGU Ahmad Adham yang menggunakan pelbagai medium media sosioal ketika PdPR adalah Juara Cikgu Digital anjuran MDEC pada tahun lalu. FOTO ihsan MDEC
CIKGU Ahmad Adham yang menggunakan pelbagai medium media sosioal ketika PdPR adalah Juara Cikgu Digital anjuran MDEC pada tahun lalu. FOTO ihsan MDEC

Cikgu Norhailmi yang mengajar subjek Sains bagi pelajar tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah itu mengumpul lebih 11,000 pengikut menerusi akaun @cikguhailmi dan memuatkan hampir 120 video setakat ini.

Beliau berkata, kaedah memuat naik video di TikTok sangat membantu kerana kandungan video berdurasi lebih pendek.

"Ini menjimatkan kuota Internet pelajar berbanding mengikut tele pembelajaran yang mengambil masa lebih lama dan menyebabkan penggunaan data lebih tinggi.

"Bukan semua pelajar saya melanggan pelan Internet secara bulanan kerana ada yang membeli data berdasarkan pakej harian.

"Antara mendapat tontonan tertinggi ialah video berkaitan eksperimen tekanan iaitu lebih 268,000 orang manakala video berkaitan eksperimen Natrium diikuti hampir 80,000 pemilik akaun TikTok," katanya.

Semakan mendapati akaun milik guru yang pernah disenaraikan sebagai 50 Guru Terbaik Dunia anjuran Varkey Foundation itu mendapat lebih 113,700 tanda suka, setanding selebriti media sosial tempatan.

Bercerita lanjut, Norhailmi berkata, beliau mula menggunakan aplikasi Tiktok disebabkan beberapa faktor.

"Saya mengesan pelajar mula tidak berminat untuk mengikuti PdPR ketika itu kerana motivasi mereka menurun, jadi penyelesaian segera diperlukan.

"Saya mengambil keputusan menggunakan TikTok kerana mempunyai pelbagai ciri menarik, segar, latar belakang lagu hits masa kini yang digemari golongan remaja dan faktor video pendek lebih memudahkan pelajar memahami topik," katanya yang juga pernah menyertai program #MyDigitalMaker anjuran MDEC.

Sementara itu, seorang lagi guru, Ahmad Adham Berhaumidin turut berkongsi pengalaman menggunakan aplikasi media sosial dalam PdPR untuk memudahkan pelajarnya.

Beliau yang mengajar subjek Matematik Tambahan untuk pelajar tingkatan empat dan lima di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Selangor berkata, pengintegrasian maklumat dikongsi MDEC membuka ruang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam kalangan guru.

"Ini dapat meningkatkan kecekapan PdPR. Saya tidak bergantung kepada satu jenis media sosial sahaja, sebaliknya lebih pelbagai menerusi penggunaan Facebook, YouTube, blog dan Twitter.

"Saya turut menyediakan soalan contoh Matematik dan menyediakan slot sembang santai bersama pelajar untuk memastikan mereka mempunyai ruang untuk bertanya secara dalam talian," katanya.

Beliau yang juga Juara Cikgu Digital anjuran MDEC pada tahun lalu turut memberi pendapat supaya agensi ini dapat memperkenalkan bengkel pembinaan aplikasi untuk telefon pintar atau Android kerana golongan guru pastinya mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kandungan sesuai bagi menarik perhatian pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 11:43 PM