Norhailmi ketika menerima Anugerah Princess Maha Chakri (APMC) 2021  di Konsulat Thailand di Pulau Pinang, baru-baru ini. Foto Ihsan Pembaca
Norhailmi ketika menerima Anugerah Princess Maha Chakri (APMC) 2021 di Konsulat Thailand di Pulau Pinang, baru-baru ini. Foto Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang guru di Jerlun, Kubang Pasu menerima Anugerah Princess Maha Chakri (APMC) 2021 selepas menunjukkan pencapaian istimewa dalam pelaksanaan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berkata, anugerah itu diterima pada 29 Oktober lalu di Konsulat Thailand di Pulau Pinang sekali gus membawa pulang pingat, piala, sijil dan wang tunai AS$10,000 (RM41,535).

Katanya, dia sepatutnya menerima anugerah itu di Istana Raja di Bangkok, Thailand namun ia terpaksa dilangsungkan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19.

"Saya dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menerima anugerah ini selepas menghantar pencalonan pada tahun lalu. Setiap negeri perlu menghantar dua calon guru dan akhirnya nama saya disenarai pendek sebagai lima calon terbaik.

"Selepas itu saya perlu melalui sesi dokumentasi, pembentangan serta proses temuduga dan lawatan pegawai KPM ke sekolah sebelum dipilih kementerian untuk menjadi wakil negara menerima anugerah ini yang diberikan oleh Yayasan Princess Maha Chakri kepada guru-guru ASEAN dan Timor Leste.

"Alhamdulillah, saya rasa bangga dipilih untuk menerima anugerah ini kerana anugerah ini membuktikan guru Malaysia pun mempunyai standard di peringkat antarabangsa selain kerja-kerja kita diiktiraf walaupun saya mengajar di sekolah luar bandar," katanya yang merupakan guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun.

Norhailmi atau lebih dikenali sebagai Cikgu Hailmi yang berasal dari Simpang Empat, Perlis, berkata, pemilihan anugerah itu adalah berdasarkan pencapaian luar biasanya dalam membudayakan STEM secara digital kepada pelajar, guru serta komuniti.

Katanya, program yang dilaksanakan berjaya memberi impak ke seluruh negara seperti webinar STEM yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia.

"Saya sentiasa mahukan suasana pengajaran yang ceria dan mampu menarik minat pelajar seiring Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21). Kejayaan ini adalah atas usaha saya yang berkesinambungan sejak beberapa tahun lalu.

"Ia tidak datang dengan mudah, saya perlu melatih pelajar untuk meminati STEM dengan pelbagai strategi," katanya.

Bagaimanapun katanya, kejayaannya tidak dapat dikecapi tanpa sokongan dan kerjasama dari warga SMK Jerlun, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, KPM dan semua guru-guru di Malaysia.

"Terima kasih saya ucapkan kepada mereka semua kerana sentiasa memberi kata-kata semangat dan sokongan untuk saya berjaya seperti sekarang, banyak lagi yang perlu saya lakukan demi mendidik anak bangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 12:13 PM