BERBAKAT peserta cilik yang menyertai pertandingan peragaan busana Gala Wangsa.
BERBAKAT peserta cilik yang menyertai pertandingan peragaan busana Gala Wangsa.
Nurul Husna Mahmud


KAGUM penulis melihat setiap perincian pada busana tradisi peserta cilik yang menyertai pertandingan peragaan busana tradisional di acara Gala Wangsa di pusat beli-belah AEON Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Paling unik, pemenang tempat pertama, Aisy Nur Suraiya Azrul Azmeizie, 8, tampil menggayakan busana Kadazan Dusun dari Papar, Sabah.

Menurut ibu model cilik itu, Nur Sufira Roszlan, dia sendiri melakukan beberapa perincian tambahan pada busana tradisional itu supaya tampak mirip dengan daerah itu selain kelihatan tambah menarik sebaik digayakan.

"Saya sebagai suri rumah menjadikan pertandingan peragaan busana kanak-kanak sebagai salah satu terapi dan hobi untuk anak-anak.

"Setiap pertandingan yang kami ikuti mempunyai tema dan konsep pemarkahan berbeza dan itu cabaran yang perlu dihadapi.

"Bagi pertandingan di Gala Wangsa ini Aisy Nur Suraiya tampilkan busana suku kaum Kadazan Dusun untuk daerah Papar. Baju ini ditempah sejak awal iaitu pada Mei tahun lalu.

"Cuma saya tambah perincian dengan menjahit sendiri manik, butang dan renda emas yang dicari sendiri dari kedai di Sabah.

"Saya juga berasal dari Sabah dan baju etnik itu adalah satu kebanggaan. Jadi, saya pastikan keaslian baju itu dikekalkan dan menghasilkan motif atau corak paling mirip dengan rekaan asal pakaian wanita etnik terbabit," katanya.

Nur Sufira berkata, dia dan suami saling menyokong pembabitan aktiviti anak-anaknya termasuk pertandingan peragaan.

"Sejujurnya ini adalah tahun pertama kami. Kami bermula sekitar Julai tahun lalu dan untuk kejayaan bagi anak saya pula ini yang pertama merangkul juara untuk acara luar sebegini.

"Sepanjang kami mengikuti pertandingan semestinya banyak ragam dan isu yang kena kami hadapi. Sama ada daripada peserta, penganjur ataupun juri. Kami jadikan itu sebagai pengalaman dan iktibar untuk masa akan datang," katanya.

Bagi Nor Mohamad Zulhairi Ismail iaitu bapa pemenang tempat kedua, Ifra Mikayla, 5, dia dan isteri, Wirda Yulis, 35, melihat pertandingan peragaan busana banyak memberi pengaruh yang baik kepada anaknya.

"Bukan hanya melatih anak menjadi lebih berani, kami sebagai ibu bapa juga belajar banyak perkara sepanjang membawa anak menyertai lebih 40 pertandingan.

"Kami belajar menyuai padan baju dan aksesori serta paling susah pada saya mendandan anak. Maklumlah anak, Ifra Mikayla masih kecil.

"Dalam pertandingan kali ini, anak saya mengenakan kebaya tradisional. Bagi hasilkan sanggul terletak dengan aksesori sangat mencabar.

"Isteri saya berhadapan kesukaran itu kerana rambut anak nipis. Tetapi, dengan 'kajian' saya dan isteri lakukan kami dapat tangani masalah itu," katanya.

Tambah Nor Mohamad Zulkhairi lagi, dia dan isteri ketika ini melakukan persiapan untuk anaknya menyertai pertandingan Kebaya Cilik anjuran Jabatan Keseniaan Kebudayaan Negara JKKN 2024.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga, Nur Raisha Malaiqa pula tampil kreatif dalam pemilihan aksesori anaknya yang mengenakan busana tradisi masyarakat India.

Bapanya, Mohd Redzuan Jamil berkata, dia memilih bulu merak selain penggunaan aksesori gelang dan anting-anting untuk anaknya itu bagi memastikan busana menepati konsep terbabit.

"Nur Raisha Malaiqa memperagakan pakaian tradisi India dan memilih tarian bollywood. Kita sedia maklum ia adalah salah satu tradisi masyarakat India termasuk di Malaysia.

"Cabaran saya ialah pilihan aksesori kerana ia budaya kaum lain dan saya perlu teliti dan berhati-hati dalam pemilihan aksesori.

"Sampai satu tahap saya pergi sendiri ke kedai menjual barangan dan busana India untuk membeli bulu merak bagi kegunaan anak ketika pertandingan peragaan itu," katanya.

Mohd Redzuan mengakui dia puas dengan persembahan anaknya termasuk penampilan busana yang berjaya menonjolkan tema dipilih.

"Walaupun anak saya sibuk menyertai pertandingan, namun pendidikan masih menjadi keutamaan. Saya sentiasa menyokong minatnya andai anak berhasrat ingin pergi jauh seperti pertandingan ratu kebaya Malaysia atau busana ke peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Gala Wangsa, Rauhah Rohaimie berkata, pihaknya gembira dan berterima kasih atas kerjasama diberikan terutama ibu bapa dalam menjayakan pertandingan itu.

"Cabaran kami ketika menganjurkan acara terbabit ialah penarikan diri peserta pada saat akhir kerana faktor Covid-19 dan sebagainya.

"Kami hadapi masalah itu dengan baik dan kami juga banyak belajar sepanjang proses penganjuran bagi menambah baik kemahiran dan pengetahuan dalam penganjuran acara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 7:00 AM