PELBAGAI jenis kain  digunakan untuk membuat koleksi kebaya.
PELBAGAI jenis kain digunakan untuk membuat koleksi kebaya.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menjejakkan kaki di Butik Ang Eng yang terletak di Dataran Palma, Ampang, Selangor, penulis seolah-olah berada di rumah tradisional masyarakat Cina Peranakan Melaka seperti dalam sitkom Baba dan Nyonya yang popular suatu ketika dahulu.

Dihiasi deretan pelbagai rekaan kebaya nyonya berwarna-warni yang tersusun rapi di ruang tengah butik, perkataan Ang Eng yang berwarna merah pada papan kayu klasik hitam serta perabot antik tradisional Cina, mengalu-alukan kedatangan pelanggan.

Seperti ruang tamu rumah kebanyakan masyarakat Cina, potret keluarga digantung pada dinding butik untuk tatapan tetamu, sebagai simbolik kebanggaan keluarga.

Ketika sedang leka meneliti koleksi gambar yang dipamerkan di dinding, seorang wanita yang anggun berkebaya nyonya berwarna merah manggis dan berseluar jean, menyapa penulis.

"Selamat datang ke Butik Ang Eng," katanya mesra. Saling memperkenalkan diri, beliau ialah Lim Yu Lin, 53, yang merupakan pengurus butik berkenaan.

Bercerita lanjut, Yu Lin anak jati Alor Setar, Kedah dan berketurunan Hokkien, berkata butik itu diasaskan oleh mendiang neneknya Lim Wah Choon pada 1955 di Alor Setar sebelum diwarisi ibunya, Lean Ong.

"Nenek yang bagi nama Ang Eng. Perkataan Ang bermaksud merah dan Eng ialah burung dalam bahasa Hokkien. Ang Eng iaitu burung merah merupakan simbolik masyarakat Cina, terutama dalam kalangan Baba Nyonya kerana dianggap antara haiwan yang membawa tuah.

"Selain burung, haiwan lain yang membawa tuah yang terkenal dalam masyarakat Baba Nyonya ialah ikan, ayam dan naga…haiwan ini banyak dijadikan ukiran dan sulaman pada kebanyakan kebaya nyonya," katanya yang merupakan generasi ketiga mewarisi perniagaan itu.

Yu Lin berkata beliau bersama suami Lim Chung Hau, 57, mengusahakan butik berkenaan yang sebelum ini terletak di pusat beli-belah Great Eastern Mall, Jalan Ampang sebelum berpindah ke Ampang pada tahun lalu.

Butik Ang Eng menawarkan koleksi kebaya, baju kurung dan pakaian tradisional masyarakat Cina yang pernah diperagakan di pertunjukan fesyen antarabangsa.

Beliau berkata walaupun fesyen moden mendominasi pentas peragaan Malaysia dan antarabangsa, keunikan baju kebaya, terutama dalam menyerlahkan identiti Cina Peranakan, tidak lapuk dek zaman.

"Suatu ketika dahulu ada tanggapan umum bahawa kebaya nyonya hanya sesuai digayakan oleh wanita berusia seperti dalam kalangan keturunan Baba Nyonya.

"Sejak Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood (isteri bekas Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi) mengangkat batik dan songket, kebaya nyonya juga semakin mendapat tempat malah dihidupkan kembali ke tahap lebih tinggi serta mempunyai nilai komersial," katanya.

Allahyarham Endon merupakan pengasas dan pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) yang pernah mengangkat busana songket, batik dan kebaya selain koleksi milik Allahyarham turut dirakam dalam sebuah buku berjudul The Nyonya Kebaya pada November 2002. Endon meninggal dunia pada 20 Okt 2005 pada usia 64 tahun akibat kanser payudara)

Mengimbas kembali memori manis sewaktu zaman kanak-kanak, Yu Lin berkata beliau dibesarkan dalam keluarga yang sibuk dengan aktiviti perniagaan.

"Datuk saya dulu merupakan pemilik kedai hasil laut kering, nenek saya pula mengambil upah menjahit di tingkat atas kedai itu. Masa kanak-kanak kami banyak dihabiskan antara kedai hasil laut kering dan bengkel jahitan, terutamanya selepas waktu sekolah kami akan disuruh membantu mereka.

"Nenek kemudian bagaikan 'jatuh cinta' dengan kebaya nyonya, membuatkan dia belajar untuk menjahit sendiri busana itu, dan pada 1955 dia memulakan perniagaan baju kebaya di tingkat atas kedai hasil laut kering datuk.

"Nenek mengupah wanita dari kawasan kejiranan untuk menjahit selain turut dibantu oleh anak-anak serta anak saudaranya, termasuk saya dan sepupu," katanya.

Pada 1975, Yu Lin sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah ke ibu kota dan membuka butik kecil di Ampang Park selama 20 tahun sebelum berpindah ke Great Eastern Mall.

"Ketika itu, nenek saya sudah mula menerima tempahan pelanggan daripada golongan nyonya di Melaka. Dari situlah cara sulaman dan jahitannya lebih strict dan asli, berbanding ibu saya yang banyak mengambil tempahan pelanggan berbangsa Melayu," katanya.

Seperti peribahasa 'ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi' begitulah Yu Lin yang sejak kecil telah dilatih bagi mewarisi kemahiran menjahit baju tradisional, terutamanya kebaya nyonya selain menghasilkan sulaman untuk melengkapkan busana itu.

"Nenek sangat tegas dan mahukan anak cucunya mahir dalam bidang jahitan dan sulaman supaya generasi akan datang dapat menghargai budaya dan warisan busana tradisional," katanya menambah butiknya mengekalkan sulaman kerawang pada kebaya nyonya.

Sulaman pada kebaya nyonya yang ditawarkan di butik berusia enam dekad itu dihasilkan menerusi jahitan tangan bagi mendapatkan sulaman yang kemas, teliti dan berkualiti.

"Selain kebaya nyonya sulaman tangan, kami juga menghasilkan kebaya nyonya sulaman mesin elektrik. Pelanggan diberi pilihan sama ada mahu kebaya nyonya menggunakan kain kasa rubia Jepun atau 'swiss voil'," katanya.

Menurut Yu Lin, ciri asli kebaya nyonya ialah potongan pendek di atas punggung dengan lengan berukuran suku panjang atau pendek menampakkan pergelangan tangan.

"Jika diikutkan kebaya nyonya asli tidak mempunyai butang di tengah-tengahnya kerana bentuknya seperti kimono - pakaian tradisional Jepun, jadi kerongsang dan dokoh digunakan sebagai butang di tengah-tengah.

"Kerongsang juga sebagai pelengkap sepasang kebaya nyonya yang dipadankan dengan kain batik sarung membuatkan penampilan pemakai lebih klasik dan ayu," katanya.

Yu Lin berkata potongan kebaya, reka bentuk dan corak sulaman bergantung pada permintaan pelanggan di samping perlu bersesuaian dengan warna kulit, bentuk badan dan jenis pekerjaan mereka.

"Contohnya, pelanggan Melayu lebih gemar kebaya labuh yang menutup punggung hingga ke lutut, corak sulaman pula lebih kepada tumbuh-tumbuhan dan bunga, serta warna lebih gelap bagi menutup bentuk badan mereka.

"Bagi pelanggan berbangsa Cina terutamanya keturunan Cina Peranakan, mereka lebih gemar kebaya nyonya berwarna-warni dan terang seperti warna 'turquiose', kuning, merah muda dan hijau terang, dipadankan dengan sulaman haiwan yang membawa 'ong' (tuah) seperti naga, burung dan ayam," katanya.

Menyifatkan kebaya nyonya semakin digemari oleh semua kaum dalam kalangan generasi muda, beliau berkata selain nampak elegan, busana itu juga sesuai dipadankan dengan skirt labuh, kain pario mahupun seluar.

"Selalunya orang beranggapan kebaya nyonya yang dipadankan dengan kain batik hanya dipakai oleh wanita berusia, namun kini generasi muda dilihat gemar memadankannya dengan seluar jean sekali gus menjadikannya lebih moden.

"Bagaimanapun yang masih kekal hingga ke hari ini ialah corak kerawang pada setiap koleksi kebaya nyonya yang menampakkan keunikan dan warisan kaum Cina Peranakan.

Corak kerawang selalunya dipilih berdasarkan personaliti seseorang dan kemudian barulah padanan kain sebelum ia dijahit," katanya, menambah fabrik yang biasa digunakan bagi menghasilkan kebaya ialah jenis kain kasa paling lembut.

Bagi sepasang baju kebaya nyonya, Yu Lin akan membahagikan tugas kepada pekerjanya untuk menjahit serta menyulam dan ini lazimnya mengambil masa kira-kira satu hingga tiga bulan, bergantung pada kerumitan rekaan dan permintaan pelanggan.

"Baju akan dibuat terlebih dahulu dan proses terakhir ialah melukis kerawang sebelum dikenakan ke atas baju, terutama di bahagian hujung baju dan tangan," katanya, menambah lebih 300 koleksi kebaya nyonya telah siap dijahit dan dipamerkan di butiknya untuk dijual pada harga dalam lingkungan RM500 hingga RM 12,000.

Meskipun ada pihak berpandangan kebaya nyonya hanya sesuai untuk wanita yang bertubuh langsing, Yu Lin berpendapat sesiapa sahaja yang memakai pakaian tradisional, sama ada kebaya nyonya atau cheongsam, akan menyerlahkan kecantikan mereka yang tersendiri.

"Walaupun Melayu, Cina, India mempunyai pakaian tradisional masing-masing, kebaya nyonya sering menjadi pilihan kerana ia selesa dipakai bukan sahaja pada musim perayaan, tetapi juga ketika menghadiri majlis rasmi termasuk perkahwinan, pertunangan, makan malam malah dijadikan pakaian harian.

"Ini secara tidak langsung membuktikan kebaya nyonya adalah simbol perpaduan kerana semua wanita tanpa mengira latar belakang boleh memakainya," katanya yang berpendapat kebaya nyonya wajar diangkat sebagai warisan tidak ketara di bawah Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Turut berkongsi butik dibuka pada waktu tertentu dari Isnin hingga Jumaat berdasarkan janji temu, Yu Lin menambah menjelang musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, mereka tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan.

"Saya berasa amat bertuah dilahirkan dalam keluarga yang mahir menjahit kebaya nyonya kerana dapat mewarisi seni sulaman yang hampir pupus kerana ramai tidak mempunyai ilmu menjahit sulaman.

"Walaupun pada mulanya saya kurang berminat untuk mewarisi kemahiran itu kerana hampir setiap hari dengan mesin jahit, saya tekad untuk mengambil reka bentuk fesyen di sebuah kolej swasta antarabangsa sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia pada 1990-an," katanya yang sering dijemput untuk menaja kebaya nyonya di pertunjukan fesyen dan pertandingan ratu cantik.

Pada April lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berkata Malaysia akan mencalonkan pakaian tradisional kaum Melayu Peranakan (Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam, Kristang) iaitu kebaya untuk diangkat ke Unesco di bawah Representative List of the Intangibele Cultural Heritage of Humanity' untuk 2023, sebagai langkah menerajui inisiatif 'Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices.

Menurut Motac, pencalonan itu dikemukakan secara bersama oleh Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand dalam usaha memastikan kebaya dilindungi dari segi penyampaian pengetahuan (kursus formal dan bengkel), usaha promosi dan usaha dokumentasi atau penyelidikan.

Sementara itu, pengasas dan Presiden Miss Malaysia Kebaya, Dr Jason Hee berkata selain menganjurkan pelbagai program untuk menggalakkan pemakaian kebaya dalam kalangan masyarakat tempatan, pihaknya turut memperkenalkan busana itu menerusi pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen bertaraf antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 7:01 AM