INTAN Nazrifa menunjukkan koleksi baju kanak-kanak rekaannya. FOTO Iqmal Haqim Rosman
INTAN Nazrifa menunjukkan koleksi baju kanak-kanak rekaannya. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Siti Zarinah Sahib

[email protected].m

MELIHAT kepakaran wanita ini memotong fabrik untuk menghasilkan baju, kemudian manik dijahit penuh teliti sememangnya jelas mempamerkan kesungguhannya dalam bidang jahitan.

Walaupun tidak memiliki kemahiran formal dalam bidang rekaan fesyen dan cuma belajar sendiri, Intan Nazrifa Tormudzi, 31, berjaya menghasilkan jenama pakaian kanak-kanak diberi nama kamikids.bycintakami.

Menurut wanita kecil molek ini, dia bermula dengan mengambil upah menjahit manik pada baju dan tudung. Itu pun bersandarkan pengalaman menjahit ketika zaman remaja. Lama-kelamaan disebabkan jahitannya berkualiti dan berseni wanita kecil molek ini mula mendapat kepercayaan pelanggan untuk menyiapkan tempahan baju mereka.

“Ketika itu saya baru saja menamatkan pengajian dalam jurusan Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Malangnya suami meminta supaya saya tidak bekerja bagi memberikan tumpuan kepada keluarga. Memang terasa berat untukmenunaikan permintaan suami memandangkan saya berhempas pulas untuk memiliki ijazah sarjana, namun saya beralah dan menurut permintaan suami kerana memikirkan keluarga lebih utama,” katanya.

Mengakui pernah rasa terkilan kerana tidak dapat bekerja seperti rakan sepengajian, namun selepas membina jenama sendiri dia mulai sedar rezekinya ditentukan Allah. Walaupun tidak memegang jawatan tinggi, tetapi Intan Nazrifa bersyukur kerana dia bukan sahaja boleh mencari rezeki dari rumah, sebaliknya dapat menguruskan anak.

Katanya, sejak kecil dia memang meminati bidang fesyen. Apabila menyambung pengajian di universiti Intan Nazrifa mula mengambil upah menjahit manik bagi mencari pendapatan sampingan dan mengisi masa terluang.

“Ketika zaman belajar, pelanggan saya adalah rakan sekelas. Selepas tamat belajar, saya terus berkahwin dan apabila suami meminta saya agar menjaga keluarga, saya terus mengambil upah menjahit manik. Tetapi permintaan jahitan manik ini bermusim. Maka timbul pula idea mengeluarkan produk sendiri,” katanya.

MEMILIKI kelulusan bidang teknikal tapi berminat dalam perniagaan pakaian kanak-kanak. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MEMILIKI kelulusan bidang teknikal tapi berminat dalam perniagaan pakaian kanak-kanak. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Sejak itu, dia mula membaca majalah dan melayari Internet bagi melihat rekaan terkini pakaian wanita. Mula menghasilkan rekaan pertama pakaian wanita pada 2010, dia mula menjualnya menerusi dalam talian. Malangnya jenamanya tidak mendapat sambutan disebabkan kurang promosi.

“Saya tetap bersabar kerana merasakan bagi memulakan perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak dugaannya dan paling penting perlu bersabar kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Ia memerlukan kesungguhannya,” ujarnya.

Berubah kepada pakaian kanak-kanak

Oleh kerana terdapat limpahan pakaian wanita di pasaran wanita ini mula berubah arah dengan menghasilkan pakaian kanak-kanak. Tidak sangka sambutan diterima sangat menggalakkan. Mungkin disebabkan rekaannya yang unik, sederhana dan comel membuatkan pelanggan menyukainya.

“Mulanya saya hanya menghasilkan tujuh rekaan iaitu baju kurung moden, baju Melayu dan kurta untuk si kecil. Semua padanan menggunakan material berkualiti seperti linen, sifon, krep dan ‘duchess’ kerana sejuk dan selesa bersesuaian cuaca di negara ini,” katanya.

Katanya, koleksi ini

turut mengetengahkan konsep suai padan kerana ia lebih menjimatkan dan tidak perlu membeli banyak pakaian kerana setiap baju, skirt atau seluar boleh dipadankan dengan pakaian lain.

Berterima kasih kerana suaminya banyak membantu meskipun sibuk dengan kerja di sebuah syarikat swasta, namun dia tetap meluangkan masa bertanya mengenai perniagaan dan membantu menyediakan material jualan.

Suami juga yang turut berkemahiran mengambil gambar digunakan sepenuhnya untuk merakam aksi model cilik di depan kamera memperaga koleksi pakaian dihasilkannya.

“Saya bernasib baik kerana suami bertindak sebagai jurugambar. Sudah pasti ia memudahkan urusan perniagaan kerana sebagai pemilik bisnes berasaskan media sosial gambar adalah sumber paling utama dan sangat penting bagi melonjakkan hasil jualan.

“Alhamdulillah, sejak beberapa tahun menjalankan bisnes dari rumah, pelanggan kami bukan sahaja dari Malaysia tapi juga Singapura dan Brunei termasuk golongan selebriti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 11:46 AM