ZINATUL (kanan) teruja kerana mampu menghasilkan pakaian sendiri.
ZINATUL (kanan) teruja kerana mampu menghasilkan pakaian sendiri.
Zinatul (kiri) mendapatkan tunjuk ajar daripada Siti Salmah di Yasalma Online Sewing School.
Zinatul (kiri) mendapatkan tunjuk ajar daripada Siti Salmah di Yasalma Online Sewing School.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Suatu ketika dulu menjahit dianggap aktiviti yang hanya dilakukan golongan pertengahan atau berusia saja. Tetapi kini semakin ramai wanita muda mengambil kelas jahitan kerana ingin menambah ilmu selain mencari wang sampingan. Dengan upah menjahit sehelai baju kurung di antara RM60 hingga RM150 di bandar sudah tentu bayaran ini sangat membebankan terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai anak.

Terkesan untuk membantu golongan kurang berkemampuan dengan menyediakan upah menjahit baju yang murah mendorong Bessek Zinatul Ashiqin Zakaria, 21, mengambil kelas menjahit secara eksklusif bagi mengisi masa terluang.

Penuntut jurusan kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini mengakui minat dalam bidang jahitan sudah lama, namun disebabkan kekangan masa ia terpaksa dilupakan. Namun, selepas terjumpa mesin jahit lama di rumahnya, secara tiba-tiba keinginan untuk belajar menjahit datang semula.

“Dalam keluarga memang tiada seorang pun pandai menjahit. Jadi saya melayari Internet untuk mendapatkan sedikit pemahaman mengenai seni jahitan. Saya juga belajar secara tidak formal dengan jiran yang ketika itu mengambil upah menjahit,” katanya.

Walaupun mempelajari teknik asas jahitan dan mampu menghasilkan pakaian sendiri, namun Zinatul tidak menemui kepuasan sebenar. Terasa masih banyak yang perlu diperbaiki. Menerusi pencarian di Internet Zinatul bertemu dengan laman sesawang yang menyediakan kelas jahitan alam maya. Selepas berhubung dengan gurunya dia terus menyatakan persetujuan menyertainya.

Oleh kerana ketika itu bayaran dikenakan agak mahal lalu dia diminta menyediakan tiga rakan untuk mendapatkan tempat percuma. Sepanjang menyertai kelas ini ilmu yang dipelajari sangat berbeza dengan kaedah menjahit cara lama yang memerlukannya menggunakan pola kertas.

“Saya akui kelas menjahit Yasalma Online Sewing School (Yoss) sangat mudah. Kaedah yang digunakan jauh lebih ringkas berbanding cara lama. Ia menggunakan formula daripada pengasas Yasalma sendiri dan mampu diikuti sesiapa saja termasuk pelajar yang masih di bangku sekolah,” katanya.

Menerusi kelas jahitan ini Zinatul didedahkan dengan kaedah penting iaitu mengukur bahu, dada dan tangan yang boleh diubah suai mengikut kesesuaian seseorang. Antara rekaan yang mampu dihasilkan adalah potongan puteri, bentuk A, baju kurung biasa, moden dan baju kanak-kanak. Selepas mengetahui kaedah yang tepat Zinatul memberanikan diri membuat baju sendiri, mengambil tempahan dalam kalangan ahli keluarga dan kemudian rakan.

“Memang menyeronokkan kerana masa saya terisi dengan aktiviti berfaedah. Sekurang-kurangnya duit hasil menjahit dapat digunakan untuk menampung pengajian di kampus dan tidak menyusahkan keluarga,” katanya yang menjalankan perkhidmatan ubah suai baju di kampus dengan bayaran yang sangat berpatutan.

Walaupun belum menamatkan pengajian di kampus, Zinatul bijak membahagikan masa di antara pelajaran dan jahitan. Pada setiap hujung minggu dia akan ke rumah abangnya di Bukit Antarabangsa untuk menjahit tempahan pelanggan.

Baginya tiada istilah bersenang-lenang keluar bersama rakan pada hujung minggu. Masa harus dimanfaatkan sebaik-baiknya dan jika sudah terlepas, ia tidak boleh diambil kembali.

Menyedari ramai yang ingin belajar menjahit, Zinatul bersama tiga rakannya memberanikan diri berganding bahu menjayakan kelas menjahit di UIAM pada 14 Mac ini yang memberi tumpuan kepada siswa di sana. Setakat ini hampir 30 pelajar memberikan maklum balas positif dan menyatakan persetujuan menyertainya.

“Saya mahu memberi inspirasi kepada rakan untuk menambah kemahiran mereka. Apa juga dilakukan jika disertakan usaha gigih pasti akan berhasil. Pada masa akan datang saya berhasrat menghasilkan jenama Muslimah sendiri yang unik dan eksklusif,” katanya yang menggunakan laman Instagram zinatulashiqin untuk berhubungan dengan rakan yang mempunyai minat sama.

Pengasas Yasalma Online Sewing School (Yoss), Siti Salmah Noordin, 33, mengakui menjahit mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang meminatinya. Ini kerana dengan hanya bermodalkan benang dan peralatan menjahit seorang tukang jahit mampu menghasilkan pelbagai rekaan pakaian dengan keuntungan yang tinggi.

Tetapi ramai merasakan menjahit itu susah dan menimbulkan tekanan lantaran pelbagai pola yang perlu diikuti. Ditambah pula kekangan masa untuk menghadiri kelas jahitan pada setiap minggu menjadikan wanita meletakkan kemahiran menjahit di tempat terakhir.

Untuk tidak menyusahkan wanita yang berminat mempelajari seni menjahit Siti Salmah menghasilkan idea unik belajar menjahit tanpa pola dan dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp. Kelas ini diadakan bagi memberi peluang wanita bekerjaya belajar menjahit tanpa meninggalkan anak di rumah atau sambil melakukan tugasan di dapur.

“Dengan adanya kaedah unik ini wanita tiada lagi alasan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran ini. Malah, kaedah menjahit tanpa pola ini amat menyenangkan dan tidak memberikan tekanan terutama kepada mereka yang baru belajar menjahit.

“Jika menggunakan pola ada yang tidak sanggup meneruskannya disebabkan merasakan ia sukar dan berhenti separuh jalan,” katanya memberitahu sudah mempunyai 1,000 pelajar termasuk dari Arab Saudi, Australia, Brunei yang menyertai kelas jahitan alam maya.

Lebih membanggakan, ibu kepada empat cahaya mata ini juga sudah melatih lima guru jahitan khusus untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar yang langsung tidak mempunyai asas jahitan. Mereka ini akan berhadapan dengan pertanyaan pelajar tanpa mengira waktu.

Menjadi guru pada masa sama mendidik anak sendiri adalah satu kepuasan bagi Siti Salmah. Dengan semangat yang dimilikinya ini dia ingin berkongsi dengan wanita lain untuk turut sama menjana pendapatan selain menghasilkan pakaian Muslimah.

“Impian saya ingin melahirkan lebih ramai wanita yang mampu menghasilkan pakaian Muslimah. Kejayaan bukan dilihat apabila mereka mampu membuka butik atau menghasilkan jenama sendiri, tetapi sekiranya mereka mampu menjahit pakaian sendiri dan pakaian keluarga mereka sudah cukup berjaya,” katanya yang mula menjahit sejak berusia enam tahun.

Untuk pelajar universiti dia berharap lebih ramai menggunakan kemahiran yang dimiliki ke arah kebaikan. Berdasarkan pengalaman sendiri sepanjang bergelar pelajar universiti, dia menghabiskan masa hujung minggu dengan menjahit baju yang ditempah rakan.

“Saya langsung tiada masa keluar menonton wayang atau melakukan perkara tidak berfaedah. Malah, duit yang diperoleh menerusi hasil menjahit digunakan untuk membayar yuran serta keperluan lain di kampus. Saya tidak mengharapkan wang ibu bapa.

“Saya juga ingin membuktikan kepada umum menjahit itu sebenarnya sungguh mudah. Sebab itu saya berusaha mencipta teknik Yasalma iaitu membuat pakaian tanpa pola kertas dan teknik ini turut dipatenkan bagi menjaga hak cipta saya,” katanya yang turut menghasilkan buku jahitan Oh Mudahnya Membuat Baju Kurung dan Jom Buat Palazo.

Nasihat Siti Salmah bagi yang minat menjahit cari ilmu terlebih dulu. Walaupun tidak mempunyai mesin jahit mereka masih boleh memotong baju dan mencantumkan menggunakan jahitan tangan. Selepas itu sedikit demi sedikit barulah menyediakan kelengkapan jahitan sendiri. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelas jahitan Yasalma boleh melayari www.yasalmasewingschool.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 11:19 AM