URUTAN bayi di Bondahaven, Bandar Puteri Bangi. FOTO Rosela ismail
URUTAN bayi di Bondahaven, Bandar Puteri Bangi. FOTO Rosela ismail
Siti Zarinah Sahib

SENTUHAN manja jari-jemari Lynn Nordin di bahagian dada bayi, Naura membuatkan si kecil itu merelakan badannya diusap. Bermula di bahagian kaki perut, dada sehingga ke belakang badan sesekali Naura mengeluarkan suara merengek.

Walaupun tidak diketahui butir bicaranya, menerusi kerlipan mata dan senyumannya seakan-akan mengiakan keseronokan yang dinikmati si kecil tatkala badannya diurut lembut oleh juruterapi.

Memang benar sentuhan memberikan keajaiban kepada bayi. Jika tidak mana mungkin bayi yang menangis boleh terdiam tatkala diusap, ditenangkan dan dipeluk oleh si ibu. Malah dari segi emosi sentuhan adalah pergerakan magis yang memberikan seribu satu kebaikan kepada si kecil bukan saja emosi tetapi kekuatan fizikal mereka.

Percaya atau tidak bayi yang sering dipeluk akan membesar dengan sihat dan tidak banyak ragamnya. Ada kajian menunjukkan urutan boleh mengurangkan jumlah penyakit yang dihidap bayi sekali gus merendahkan keperluan untuk berjumpa doktor. Ada juga teori yang menyatakan sentuhan kulit ke kulit membantu merangsang perkembangan otak bayi.

Menurut Pengarah Urusan Bondahaven Sdn Bhd Dr Tengku Nur A’tiqah Tengku Mahmood, ada banyak faedah diperoleh bayi dan ibu apabila selalu melakukan sentuhan kulit ke kulit.

Urutan tangan yang lembut merangsang penghasilan hormon oksitosin yang memberikan perasaan sayang tatkala si ibu memeluk erat bayinya atau ketika sedang menyusukan bayi mereka.

PENGARAH BondaHaven, Dr. Tengku Nur Atiqah Tengku Mahmood. FOTO Khairul Helmy Mohd Din
PENGARAH BondaHaven, Dr. Tengku Nur Atiqah Tengku Mahmood. FOTO Khairul Helmy Mohd Din

“Bagi si kecil pula sentuhan dengan penuh kasih sayang dapat menguatkan ikatan ibu dan bayi. Ini menjadikan bayi lebih tenang dan tidak mudah menangis terutama pada waktu malam,” katanya.

Selepas melahirkan anak kebiasaannya ibu muda masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru ini. Mereka mudah panik apabila si kecil kerap menangis malam walaupun sudah diberikan susu. Ini membuatkan ada ibu berasa tertekan berhadapan situasi ini.

“Menerusi urutan dengan cara yang betul dapat mengurangkan masalah kembung. Bayi mudah tidur lena dan bangun apabila lapar dan ketika lampin basah saja. Apabila bayi tidur lena ia dapat memberikan kualiti tidur yang baik kepada si ibu lantas menciptakan suasana positif ketika berpantang,” katanya.

Ini dapat dibuktikan apabila anda mengurut bayi, secara spontan ibu akan melayan bayi ‘berbual’ dan menunjukkan bahasa badan kepada bayi mereka. Belaian jari-jemari si ibu akan memberikan keceriaan sekali gus membantu ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin untuk kembali ceria.

Terapi sentuhan juga mampu merangsang perkembangan kognitif dan otak bayi. Sebab itu kanak-kanak pada usia setahun ke atas digalakkan bermain dengan pasir di pantai, menyentuh batu, kayu dan juga bermain dengan blok-blok permainan bagi mengaktifkan kemahiran motor mereka. Oleh kerana bayi tidak digalakkan menyentuh peralatan ini jadi urutan adalah cara terbaik bagi merangsang perkembangan otak mereka.

“Malah bahagian sensitif seperti belakang telinga dan leher yang jarang disentuh sebenarnya memberikan rangsangan minda kepada bayi. Lebih-lebih lagi pada usia sebulan hingga enam bulan apabila proses perkembangan otak berkembang dengan pesat dan semakin menurun apabila mereka mula meningkat usia,” katanya.

Masa terbaik mengurut bayi

Jelas Dr Tengku Nur A’tiqah, masa terbaik mengurut bayi adalah sejurus selepas dia dimandikan dan satu jam selepas disusukan. Pada waktu ini bayi tidak begitu lapar atau begitu kenyang.

Bagus sekiranya dimulakan sejurus sebelum waktu tidur siang ketika dia sedang berjaga tetapi sudah letih sedikit dan ingin tidur. Urutan sebelum tidur dapat membantu bayi menenangkan diri dan seterusnya bersedia untuk tidur. Sebelum itu sediakan bahan seperti ruang yang selesa dan menenangkan, minyak aromaterapi serta tungku untuk si kecil.

“Sebelum berurut mulakan tuam pada kaki diikuti sedikit regangan agar bayi bersedia dan tidak terkejut tatkala badan mereka diurut. Tuam juga dapat memberikan haba pada badan bayi terutama selepas mandi. Pastikan suhu bilik berada dalam keadaan selesa. Baringkan bayi di atas tuala atau lipatan kain lembut dengan mengalas tilam nipis di bawahnya. Tanggalkan pakaian dan biarkan bayi memakai lampin pakai buang sahaja,” katanya.

Jika ada gunakan minyak khas aromaterapi. Sapu pada bahagian kaki kemudian beransur ke atas diikuti badan dan perut. Sekiranya bayi anda mempunyai ekzema anda boleh menggunakan krim berubat yang dipreskripsikan doktor ketika mengurut.

Langkah-langkah urutan

1. Urutan kaki

Mulakan urutan pada kaki bayi dengan menggosok beberapa titik minyak pada tapak tangan dan mula mengurut tapak kaki bayi. Bermula dengan tumit sehingga jari kaki. Kemudian, ke bahagian betis sehingga ke paha, gosok perlahan-lahan dengan cara membuat bulatan dengan ibu jari di seluruh bahagian bawah kaki dan jari kaki. Angkat salah satu kaki dan buat pukulan lembut pada pergelangan kaki sehingga ke paha.

URUTAN kaki menjadikan otot kaki lebih kuat. FOTO Rosela Ismail
URUTAN kaki menjadikan otot kaki lebih kuat. FOTO Rosela Ismail

2. Urutan tangan

Pegang tangan bayi dan buat urutan di sekeliling tapak tangannya sehingga ke hujung jari. Perlahan-lahan urut belakang tangannya dengan gerakan membulat, seperti memakai gelang tangan. Gerakkan pukulan anda perlahan-lahan ke arah lengan hingga ke pangkal lengan. Urut dengan gerakan membulat lembut seolah-olah seperti sedang memerah tuala.

3. Urutan dada dan bahu

Buat urutan lembut seiring dari bahu kiri dan kanan ke arah dada bayi, kemudian letakkan tangan anda kembali ke bahu. Ulang langkah ini dengan lembut . Seterusnya, letakkan kedua-dua tangan pada bahagian tengah dada bayi dan gosok ke arah luar dari badan ke arah sebelah sisi.

BUAT urutan lembut dari bahu kiri dan kanan. FOTO Rosela Ismail
BUAT urutan lembut dari bahu kiri dan kanan. FOTO Rosela Ismail

4. Urutan perut

Perut adalah kawasan sensitif tetapi perlu diberi perhatian ketika mengurut. Anda boleh mula mengusap dari bahagian atas perut yang terletak di bawah tulang dada. Buat urutan lembut di sekeliling perut mengikut arah jam. Jangan meletakkan sebarang tekanan dan biarkan tangan anda perlahan-lahan mengusap lembut. Bagi bayi baru lahir elakkan menyentuh bahagian pusat.

TUAM bahagian perut bagi membuang angin. FOTO Rosela Ismail
TUAM bahagian perut bagi membuang angin. FOTO Rosela Ismail

5. Urut muka dan kepala

Mengurut muka dan kepala agak mencabar memandangkan bayi cenderung untuk bergerak. Tetapi ia sama penting dengan mengurut bahagian badan yang lain. Mulakan dengan meletakkan hujung jari telunjuk di tengah-tengah dahi bayi dan perlahan-lahan usap di sepanjang garis mukanya ke arah dagu. Dari dagu, gerakkan jari ke arah pipi dan urut pipi perlahan-lahan dalam gerakan membulat. Ulang langkah ini beberapa kali.

URUTAN pada bahagian muka dan kepala. FOTO Rosela Ismail
URUTAN pada bahagian muka dan kepala. FOTO Rosela Ismail

6. Urut belakang

Letakkan bayi dalam keadaan meniarap dengan kedua tangan di hadapan, bukannya di sisi. Letakkan hujung jari anda pada bahagian atas belakang bayi dan gerakkan mengikut bulatan arah jam. Perlahan-lahan urut lembut sehingga ke bahagian punggung bayi.

LETAKKAN bayi dalam keadaan meniarap. Urut bahagian belakang dari bawah ke atas sehingga ke tepi. FOTO Rosela Ismail
LETAKKAN bayi dalam keadaan meniarap. Urut bahagian belakang dari bawah ke atas sehingga ke tepi. FOTO Rosela Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 2:13 PM