URUT dan cuci wajah dengan konsisten.
URUT dan cuci wajah dengan konsisten.
Siti Nadirah Hafidzin

Setiap kali memandang cermin dan menatap satu persatu garis serta tanda penuaan yang mula muncul pada wajah tentu saja merisaukan ramai wanita.

Mungkin ada yang beranggapan ia lumrah dalam kehidupan namun tentu ada berasa runsing terutama apabila tanda penuaan kulit itu kelihatan amat ketara hingga individu di sekeliling mula menyedari.

Tanda penuaan kulit dapat dilihat pada kedutan, kenduran dan geleber yang berpunca daripada pelbagai faktor.

Antara faktor itu ialah peredaran darah yang perlahan, kehilangan keanjalan kulit, lemak subkutus, gangguan dalam ton otot dan kehilangan volum.

Menurut Pakar Estetik Dr Ahmad Mokhtar, kehilangan volum mengubah struktur dan bentuk wajah menjadikan ia tampak lebih berusia, kurang berkontur dan mengendur.

Menurutnya, wajah kelihatan menawan ketika muda kerana pengagihan volum yang sekata pada kulit menjadikan wajah seperti 'segi tiga kecantikan' dibentuk oleh tulang pipi tinggi, kontur licin dan bulat, cengkung, garis rahang dan garis leher yang sempurna.

“Ciri ini menjadikan bentuk dan struktur wajah yang lebar pada bahagian atas, mengecil ke bawah sehingga pada titik paling sempit di bahagian dagu membuatkan penampilan keseluruhan tampak relaks dan positif.

“Peningkatan usia menyebabkan kehilangan volum dalam kulit sehingga menyebabkan pembentukan geleber di bawah dagu, pengenduran kontur wajah, pengembangan garis rahang dan garis leher yang tidak bermaya,” katanya.

Katanya, urutan dan rawatan wajah menjadi amalan kecantikan sejak dulu untuk membantu wanita memelihara kecantikan, keremajaan dan seri wajah.

“Berkunjung ke pusat kecantikan yang menyediakan rawatan wajah dapat membantu mencantikkan dan menenangkan otot wajah dengan lebih berkesan.

“Namun, dek kesibukan dan kekurangan masa, saya sedar, ada antara wanita yang tidak dapat berkunjung ke pusat kecantikan untuk membelai wajah.

“Tidak perlu bimbang, kerana pada hakikatnya sesiapa saja boleh melakukan urutan wajah sendiri di rumah mahupun di pejabat,” katanya.

KESAN penuaan membimbangkan wanita.
KESAN penuaan membimbangkan wanita.

Luangkan masa sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit setiap hari, pasti anda berjaya mengekalkan keremajaan kulit walaupun pada usia yang semakin meningkat.

Mengikut Dr Ahmad, berikut antara kebaikan urutan wajah untuk membantu mengekalkan kecantikan anda:

• Urutan ialah senaman yang membantu melembutkan otot dan menguatkan tisu.

• Dapat mengurangkan garis penuaan dan menjadikan wajah kelihatan lebih muda.

• Merangsang saraf dan salur limfa.

• Melancarkan peredaran darah sekali gus menambah nutrisi kepada kulit.

• Memperbaiki ton kulit dan penampilan secara am.

• Melegakan tekanan.

Panduan

Ada beberapa panduan yang perlu anda ketahui untuk mengurut wajah iaitu:

1. Bersihkan muka terlebih dulu, basuh tangan dengan sabun dan bilas menggunakan air suam. Ikat rambut anda dengan kemas bagi mengelakkan kemungkinan kekotoran dari rambut berpindah ke muka.

2. Pilih produk yang bersesuaian. Urutan muka memberi peluang untuk kulit menyerap kandungan produk yang anda gunakan. Haba dari tangan dan yang terhasil ketika proses urutan membantu produk masuk ke dalam kulit dengan lebih baik. Inilah sebabnya anda perlu memilih produk terbaik yang bersesuaian dengan keperluan kulit masing-masing.

3. Anda boleh mengurut muka sejurus selepas melakukan rutin pembersihan dan penjagaan wajah. Urutan selama dua minit sehari dapat membantu melengahkan kemunculan kedutan halus dan menenangkan fikiran anda. Lebih baik jika urutan ini dilakukan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.

4. Mengurut dengan tangan sudah mencukupi. Bagaimanapun, tidak salah jika anda mahu menggunakan peralatan lain yang direka untuk mengurut wajah. Manfaatkan jari anugerah Allah ini sepenuhnya kerana urutan dengan jari memberi kesan yang baik. Sama ada menggunakan jari atau peralatan urut, pastikan ia bersih.

5. Urutan wajah beri manfaat tambahan. Untuk mendapat manfaat tambahan ini, urut wajah dalam pergerakan yang memberi rangsangan pada kulit. Jika kulit anda sensitif dan mudah berjerawat, urut secara perlahan-lahan dan lembut. Ia membantu kulit jadi berseri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 7:59 AM