PENGURUS MBH Haircare, Nur Fahtiha Hazan ketika ditemuramah oleh wartawan di Pusat Penjagaan Rambut MBH Haircare. FOTO/ HAFIZ SOHAIMI
PENGURUS MBH Haircare, Nur Fahtiha Hazan ketika ditemuramah oleh wartawan di Pusat Penjagaan Rambut MBH Haircare. FOTO/ HAFIZ SOHAIMI
Siti Zarinah Sahib

BOTAK kini menjadi masalah alaf baru yang menjejaskan sekitar 35 juta lelaki dan 21 juta wanita di seluruh dunia. Walaupun ia lebih ketara pada lelaki, semakin ramai wanita berhadapan masalah ini tanpa disedari.

Namun kaum wanita lebih bernasib baik berbanding lelaki kerana mereka memiliki hormon estrogen yang membantu mencegah daripada ‘kebotakan licin’ sehingga ia kelihatan semakin menipis secara keseluruhan.

Menurut Pengurus MBH Haircare Nur Fahtiha Hazan, jika dulu botak dikaitkan dengan wanita dan lelaki berusia tetapi kini usia bukan penentu kerana orang muda termasuk remaja boleh mengalaminya.

Merujuk kes pelanggan termuda yang pernah mendapatkan rawatan adalah mereka yang berusia 25 tahun. Terdapat pelbagai penyebab kebotakan antaranya keguguran rambut yang teruk, hormon dan juga pemakanan.

“Bagi wanita perubahan hormon selepas melahirkan anak menyebabkan kaum hawa mengalami masalah keguguran rambut. Ini berlaku apabila hormon estrogen semakin berkurangan sementara hormon androgen (iaitu hormon lelaki) pula bertambah sekali gus menyebabkan peratusan folikel rambut menjadi lemah sehingga ia musnah dan gagal membuat rambut tumbuh,” katanya.

Secara purata, setiap individu sama ada lelaki atau wanita mempunyai sekitar 100,000 folikel rambut bagi memastikan mahkota mereka lebat. Seperti sel-sel lain dalam tubuh, folikel ini mempunyai kitaran.

Semasa folikel dalam kitaran kerja, rambut tumbuh selama sekitar dua hingga enam tahun, tetapi apabila ia dalam kitaran rehat rambut boleh gugur sebanyak 50 hingga 100 helai sehari.

“Sekalipun begitu, ini tidak menjadi masalah kerana bukan semua folikel mengikut kitaran yang sama. Ia menjadi masalah jika kitaran ini terganggu. Folikel yang lemah menyukarkan rambut baru untuk tumbuh atau yang paling menakutkan, kepala menjadi botak,” kata Nur Fahtiha.

Penggunaan syampu yang betul turut memainkan peranan penting bagi memastikan mahkota berada dalam keadaan sihat. Syampu mestilah yang membersihkan kulit kepala dan bukan setakat bahagian rambut.

“Bagi wanita bertudung rambut harus dicuci setiap hari atau dua kali sehari bergantung kepada keperluan. Misalnya, mereka yang aktif bersukan perlu mencuci rambut setiap hari, manakala yang mempunyai kulit kepala kering hanya perlu mencuci selang sehari.

1. CECAIR khas diletakkan ke bahagian rambut bermasalah.

2. DERMA Roller dilayangkan secara lembut agar cecair memasuki folikel rambut.

3. RAMBUT dicuci bersih.

4. KERINGKAN rambut selepas dicuci.

5. RAMBUT diperiksa sebelum rawatan dilakukan.

“Jika rambut terlalu kerap dicuci ia menghapuskan lapisan minyak semula jadi bagi kulit kepala yang sihat. Jika terlalu jarang dicuci pula ia mungkin menyebabkan minyak bertompok pada bahagian folikel sehingga menghalang rambut daripada tumbuh,” katanya.

Justeru, elakkan terlalu kerap menggunakan syampu yang kuat kerana ia boleh menghilangkan kelembapan bukan setakat pada rambut tetapi juga kulit kepala. Hanya kulit kepala seimbang dan sihat boleh menghasilkan rambut yang sihat dan kuat.

Sejak mula diperkenalkan, MBH Haircare menyediakan rawatan rambut bagi mengatasi masalah rambut gugur, kelemumur dan kebotakan yang dijalankan terapi terlatih. Antaranya yang diperkenalkan adalah Terapi Fertilizers Essence menggunakan cecair khas dihasilkan sendiri.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Nur Fahtiha, cecair seakan serum ini mengandungi pati aloe vera. Menggunakan sejenis alat Derma Roller kulit kepala pelanggan akan diperiksa bagi memastikan masalahnya. Selepas itu kulit akan diletakkan cecair khas ini dan kemudian Derma Roller akan dilayangkan secara lembut ke atas kulit bagi memastikan cecair ini meresap sehingga ke dalam kulit kepala.

“Penggunaan alat ini berfungsi membuka folikel dan membenarkan cecair masuk dengan lebih mendalam,” katanya.

Untuk satu botol cecair ini mampu bertahan sehingga tiga bulan. Namun bagi mereka yang tidak mahu menggunakan Derma Roller boleh melakukan secara manual iaitu menggosok dengan jari tetapi kesannya sedikit lambat. Selepas itu pelanggan boleh melakukan sendiri di rumah.

Selain mendapatkan rawatan rambut untuk tampak lebih sihat dan cantik, dia turut menasihatkan agar pelanggannya menjaga pemakanan dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran hijau serta buah-buahan kaya vitamin C.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 4:30 AM