PAKAR trikologi melaksanakan trikoskopi untuk memeriksa rambut dan kulit kepala.
PAKAR trikologi melaksanakan trikoskopi untuk memeriksa rambut dan kulit kepala.
FOLIKEL rambut dan kulit kepala dilihat menerusi trikoskop.
FOLIKEL rambut dan kulit kepala dilihat menerusi trikoskop.
PENGGUNAAN kerap pengering rambut, penggulung rambut panas dan plat panas merosakkan rambut.
PENGGUNAAN kerap pengering rambut, penggulung rambut panas dan plat panas merosakkan rambut.
RAMBUT menipis sedikit demi  sedikit akibat kitaran folikel rambut terganggu.
RAMBUT menipis sedikit demi sedikit akibat kitaran folikel rambut terganggu.
Oleh Zaitie Satibi


Rambut terdiri komponen keratin iaitu protein serat yang merangkumi 60 hingga 90 peratus daripada setiap helai rambut. Kandungan protein itu penting bagi membantu menguatkan serta memberi perlindungan semula jadi kepada rambut.

Keratin dihasilkan dalam folikel rambut di permukaan kulit dan disebabkan folikel menghasilkan sel rambut baharu, sel rambut lama akan ditolak keluar dengan kadar enam inci setahun. Rambut kita adalah rantaian sel keratin yang sudah mati.

Orang dewasa memiliki purata 100,000 hingga 150,000 helaian rambut dan akan gugur kira-kira 100 helai sehari. Setiap folikel pula mempunyai kitaran hidup sendiri yang boleh dipengaruhi dengan penuaan, penyakit dan faktor lain.

Kitaran ini terbahagi kepada tiga fasa iaitu anagen (pertumbuhan rambut aktif 2 - 6 tahun) dan catagen (pertumbuhan rambut peralihan selama 2 - 3 minggu).

Berikutnya, telogen iaitu masa rehat 2 - 3 bulan dan pada akhir fasa berkenaan, rambut susut dan rambut baru akan menggantikannya dan kitaran bermula lagi.

Pakar Trikologi Klinikal di Hair Rich World Integrated Trichology Centre, Siti Farah Azwin Abdul Khalid berkata, masalah penipisan rambut adalah antara penyebab kehilangan rambut akibat fasa pertumbuhan folikel rambut dipendekkan atau kitaran hidup folikel rambut dipercepatkan.

Dalam masalah ini, lebih banyak folikel rambut melalui fasa rehat lebih cepat daripada biasa hingga rambut menipis sedikit demi sedikit. Rambut yang sudah berada pada fasa berkenaan pula merosot lebih cepat dan rambut baru menjadi lebih pendek.

“Penipisan rambut biasanya disebabkan penuaan, namun faktor lain seperti genetik yang diwarisi daripada ibu atau bapa juga menjadi punca kitaran folikel rambut terjejas sehingga menyebabkan proses penipisan berlaku.

“Perubahan hormon juga menjejaskan pertumbuhan rambut dan menyebabkan penipisan rambut serta kehilangan rambut sementara yang biasa berlaku selepas kehamilan. Ketidakseimbangan hormon mungkin berlaku kerana peningkatan usia, pemakanan tidak sihat, kurang senaman dan pencemaran alam sekitar.

“Tekanan dalam hidup akibat mengalami masalah besar juga mencetuskan masalah kehilangan rambut disebabkan pengeluaran rambut terencat untuk tempoh tertentu. Amalan pemakanan diet rendah lemak atau tanpa lemak juga berisiko mengalami masalah kehilangan rambut yang berkaitan dengan nutrisi,” katanya.

Rambut dan kulit kepala juga boleh rosak akibat kesan buruk penggunaan produk penjagaan rambut, pewarna rambut dan pengering rambut, penggulung rambut panas dan plat panas meluruskan rambut.

Menurut Siti Farah Azwin, masalah berkaitan rambut tidak menjejaskan jasmani seseorang tetapi boleh menggugat keyakinan diri, berpenampilan kurang menarik dan mengganggu cara seseorang bersosial. Malah, kehilangan rambut sebenarnya adalah petunjuk terhadap tahap kesihatan seseorang.

“Oleh itu, sebaik-baiknya sebelum berlaku masalah rambut, pencegahan perlu dilakukan menerusi pemeriksaan trikologi. Pakar trikologi akan melakukan kaji selidik dengan pesakit dan memeriksa kulit kepala lebih lanjut untuk penilaian masalah dan puncanya.

“Pesakit akan ditanya mengenai amalan pemakanan sama ada diet yang diambil mencukupi atau tidak. Mereka juga akan ditanya mengenai jenis syampu yang dipakai dan bahan kandungan dalam pencuci itu.

“Pakar ini kemudian akan memutuskan sama ada pesakit perlu menjalani rawatan rambut atau tidak, atau masalahnya perlu dirujuk kepada pakar lain. Selain memberi bimbingan mengenai masalah rambut dan kulit kepala, pakar turut menawarkan khidmat nasihat bagi golongan yang mementingkan kecantikan dan kesihatan rambut,” katanya.

Hair Rich World Integrated Trichology Centre adalah pusat rawatan tambut yang menggabungkan perubatan dan trikologi yang menetapkan prinsip patuh syariah dalam perkhidmatan. Trikologi adalah sains struktur, fungsi dan penyakit berkaitan rambut manusia, manakala trikologi klinikal adalah diagnosis dan rawatan penyakit serta masalah berkaitan rambut manusia dan kulit kepala.

Siti Farah Azwin berkata, biasanya rambut akan gugur kira-kira 50 hingga 100 helai sehari akibat kitaran hidup folikel rambut dan tidak menyebabkan penipisan rambut kerana rambut baru akan tumbuh pada masa yang sama.

“Masalah penipisan rambut disedari berlaku dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas jumlah rambut yang gugur lebih banyak daripada biasa.

“Kadangkala masalah ini diikuti dengan kulit kepala berkeruping, gatal dan pedih. Keadaan ini mungkin disebabkan penggunaan syampu mengandungi bahan kimia Sodium Lauryl Sulfate (SLS) iaitu agen buih yang boleh mendatangkan komplikasi masalah rambut dan kulit kepala kepada segelintir orang.

“Kesan buruk akibat bahan kimia ini seperti menjejaskan lapisan pelindung pada kulit kepala dan rambut hingga menjadi kering, masalah kelemumur, kehilangan rambut, kulit kepala gatal dan kerosakan folikel rambut,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah rambut dan kulit kepala seperti orang dewasa akibat mengabaikan kebersihan bahagian tubuh berkenaan. Biasanya, kanak-kanak yang aktif bersukan akan mengalami masalah ini akibat rambut kotor dan berminyak.

Mereka yang mengalami masalah berkaitan rambut dan kulit kepala harus menjalani pemeriksaan trikoskopi sebagai diagnosis penyakit yang terbabit. Dalam prosedur itu, struktur rambut dan kulit kepala dilihat menerusi kamera dengan kanta pembesar.

“Pemeriksaan ini untuk lihat tanda-tanda masalah rambut yang rosak seperti berbiji, bergerigi dan berselaput. Kulit kepala pula diperiksa sama ada mengalami keradangan, kemerahan dan folikel rambut tertutup.

“Rawatan kemudian diteruskan berdasarkan punca masalah rambut dan kulit kepala. Pesakit mungkin diberikan syampu berubat, makanan tambahan untuk rambut, penambahan hormon dan terapi pancaran laser untuk merangsang sel-sel rambut supaya tumbuh subur.

“Apapun, rawatan untuk rambut dan kulit kepala ini memerlukan tempoh untuk pulih dan biasanya, kesan baik akan dapat dilihat dalam masa enam bulan hingga setahun. Pesakit pula perlu disiplin sepanjang tempoh rawatan dan mengikut arahan bagi memastikan rawatan berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:00 AM