HAFISAH bersama suami tercinta.
HAFISAH bersama suami tercinta.
Siti Nadirah Hafidzin

Hasratnya murni, wanita ini berazam membantu sesiapa yang mahu memulakan perniagaan dalam bidang fesyen tapi tidak mempunyai modal besar untuk membuka butik atau kedai sendiri.

Ia juga menjadi detik permulaan bagi anak kelahiran Bachok, Kelantan ini melangkah kaki ke dunia perniagaan.

Pemilik jenama fesyen tempatan, Hafisah Shafii berkata, dia bermula dengan menjadi pemilik yang menyewakan ruang kecil di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan berasaskan fesyen.

Langkah dilakukan Hafisah ternyata mendapat sambutan menggalakkan kerana ia membuka peluang kepada ramai usahawan tempatan memulakan perniagaan dengan menyewa lot kecil di lokasi yang strategik pada harga berpatutan.

Pemegang Ijazah Sarjana Pembangunan Kurikulum dari Universiti Malaya ini mengakui, detik awal pembabitannya dalam perniagaan tidak memberi keuntungan besar namun tidak juga mengalami kerugian.

HAFISAH menguruskan jenama fesyennya sendiri di samping menyewakan lot kedai dengan harga berpatutan.
HAFISAH menguruskan jenama fesyennya sendiri di samping menyewakan lot kedai dengan harga berpatutan.

“Ketika awal pembabitan, saya masih seorang guru tetapi atas niat untuk membantu usahawan Bumiputera khususnya peniaga kecil, saya bersama suami gigih meneruskan usaha ini dan syukur selepas setahun, usaha kami membuahkan hasil.

“Pada masa sama, suami ketika itu membuat keputusan menjual perniagaannya, oleh itu kami perlu lebih serius dan ia menjadi permulaan kepada saya menguruskan jenama sendiri dengan lebih komited,” katanya.

Menurut Hafisah, bagi menumpukan sepenuh perhatian dan masanya kepada perniagaan, dia yang ketika itu masih bergelar pendidik terpaksa meletakkan jawatan.

“Hakikatnya bukan mudah untuk membuat keputusan ini namun saya perlu tekad dan tidak boleh tamak. Saya perlu akui bidang perniagaan yang diceburi memerlukan masa dan komitmen yang lebih.

“Syukur, selepas mengharungi pelbagai suka duka dan pasang surut, saya mampu bertahan malah lebih menggembirakan apabila dapat membantu ramai usahawan menjana pendapatan hingga kini,” ujarnya.

Gembira bantu usahawan baru

Hafisah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia gembira dengan hasil yang dilihatnya kini terutama apabila dapat membantu golongan Bumiputera memulakan perniagaan dengan menyewa lot kedai pada harga berpatutan.

“Saya sememangnya minat pada bidang ini dan disebabkan itu saya tahu bagaimana susahnya untuk memulakan perniagaan. Pengaruh besar untuk saya menceburi bidang ini datang daripada keluarga iaitu ibu dan bapa kerana mereka juga adalah peniaga.

“Mereka bermula dengan menjual buah-buahan sehinggalah berniaga ikan di pasar borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan. Saya lihat sendiri bagaimana proses untuk memulakan perniagaan dan disebabkan itu saya mahu bantu usahawan Bumiputera yang ingin berjaya,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami yakin usaha membantu menyediakan lot kedai itu antara bantuan tepat kerana tidak semua peniaga mempunyai modal besar.

“Mungkin mereka ada wang menghasilkan produk atau jenama sendiri namun tidak mempunyai cukup modal mencari tempat untuk menjual produk itu.

“Syukur, sejak 2011 hingga kini saya gembira kerana apa yang diimpikan semakin tercapai iaitu membantu usahawan kecil yang mahu menjalankan perniagaan fesyen di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor iaitu lokasi paling strategik untuk berniaga terutama dalam bidang fesyen,” ujarnya.

TIDAK kenal erti putus asa dalam mengejar impian.
TIDAK kenal erti putus asa dalam mengejar impian.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana dianugerahkan pasangan hidup yang memahami dan sentiasa berada di sisi tidak kira di waktu senang atau susah.

“Suami adalah tulang belakang dalam mengendalikan perniagaan selain keluarga. Segalanya kami kongsikan bersama dan dia juga banyak memberi nasihat serta bantuan dalam semua keadaan.

“Impian kami sama kerana dia juga mahu lihat ramai usahawan baru aktif berniaga dan merebut peluang menambah pendapatan sendiri. Oleh itu, kami cuba membantu sedaya mungkin demi mempertingkatkan ekonomi usahawan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 2:46 PM