ASLINDA keluar produk kosmetik selepas perniagaan pakaian merudum.
ASLINDA keluar produk kosmetik selepas perniagaan pakaian merudum.
Siti Nadirah Hafidzin


DUGAAN yang datang mengajarnya erti sebuah kesabaran, mana tidaknya, hospital umpama rumah keduanya namun disahkan tidak mengalami sebarang penyakit.

Dirinya sangat tidak bermaya, berjalan tidak kuat, hampir seluruh badannya dalam keadaan sakit dan keadaan itu berlarutan beberapa tahun.

Ketika itu hanya Allah tempat dia mengadu dan memanjatkan doa supaya dirinya diberikan kesembuhan daripada penyakit misteri itu.

Syukur dalam keadaan diri serba tidak kena, keluarga dan rakan terdekat tetap berada di sisi memberikan sokongan dan dorongan untuknya terus kuat meneruskan kehidupan.

Ramai juga memberitahu itu antara dugaan 'paling biasa' kepada individu yang berkecimpung dalam dunia perniagaan namun dia tidak mahu memikirkan perkara itu dengan serius kerana apa yang lebih diutamakan adalah kesihatan diri.

Bohonglah jika Aslinda Ali Akhbar, 51, tidak sedih dengan keadaan dirinya. Mana tidaknya dia bukanlah usahawan ternama yang mempunyai jenama kukuh kerana dia hanyalah usahawan biasa yang mencari rezeki halal demi sesuap nasi.

Bermula daripada detik itu, Aslinda tekad untuk tidak mahu menoleh ke belakang. Dia buang rasa takut sekiranya terkena semula penyakit misteri itu, dia buang rasa malu menjual apa saja produk termasuk di pasar malam demi memastikan kehidupannya sekeluarga tidak dihimpit kesusahan.

Memulakan bicara, Aslinda berkata, memikirkan kos sara hidup yang semakin meningkat menjadikan dia tidak boleh berdiam diri.

“Saya tidak mahu menjadi seorang suri rumah yang hanya duduk diam, mengharapkan sepenuhnya kepada suami dan ia menjadi sebab utama mengapa saya kuat hingga kini.

“Selepas mempunyai dua cahaya mata, saya tekad mahu berniaga. Ketika itu saya jual apa saja produk yang tular di pasaran kerana di situ ada kuasa membeli. Syukur usaha saya dipermudahkan dan dapat menjana pendapatan sendiri membantu suami,” katanya.

ASLINDA bersama suami dan anak yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
ASLINDA bersama suami dan anak yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

Katanya, dia mula menyimpan sedikit demi sedikit simpanan hasil pendapatan diperoleh walaupun dalam jumlah kecil.

“Berkat menyimpan, saya akhirnya dapat membuka sebuah kedai kecil sebelum kedai kedua dan ketiga di pusat borong terkenal di Klang, Selangor. Memang tidak sangka usaha saya berhasil apabila melihat kedai kecil yang menjual pelbagai pakaian ini beroperasi.

“Namun semua itu tidak berpanjangan, akibat saingan sengit ditambah dengan kuasa membeli secara dalam talian akhirnya saya terpaksa menutup kedai dimiliki kira-kira lima tahun lalu. Saya sangat sedih dan kecewa ditambah lagi, ketika itulah diduga dengan pelbagai dugaan,” ujarnya.

BANGKIT SEMULA

Menurut Aslinda, dia tidak mahu berterusan dalam keadaan begitu dan berkat semangat diberikan keluarga membuatkan dia bingkas bangun.

“Disebabkan kini semuanya di hujung jari dan kebanyakan pembeli lebih mudah membeli secara dalam talian menjadikan saya tidak mahu ketinggalan.

“Bayangkan pada usia hampir 50 tahun, saya baru mula belajar berniaga dalam talian, ikuti apa saja kursus perniagaan dan pergi ke pelbagai tempat untuk menambah ilmu termasuk ke luar negara untuk belajar membuat produk. Ada juga yang hairan mengapa pada usia sebegini saya masih mahu berniaga namun saya buang rasa malu kerana ada impian sendiri,” katanya.

Aslinda berkata, walaupun jika dikira sudah menghampiri tempoh belasan tahun dalam dunia perniagaan, dia tetap perlu belajar.

“Berniaga sekarang dan dulu jauh berbeza, jika dulu semuanya akan dijual di kedai, ekspo atau pasar namun kini semuanya secara dalam talian.

“Disebabkan itu, saya juga turut menghasilkan perniagaan kecantikan secara dalam talian atas jenama Noras Velcda yang menawarkan pelbagai produk termasuk Mak Datin Skincare dan Mak Datin Kosmetik,” ujarnya.

Katanya, harapannya kini hanya mahu memastikan apa yang diusahakan berterusan selain kesihatan diri dalam keadaan baik.

“Saya kini giat mengusahakan kilang produk kosmetik yang membantu usahawan mengeluarkan produk sendiri dan berharap semuanya dipermudahkan.

“Saya juga sangat berharap usaha membantu lebih ramai suri rumah untuk sama-sama menjana pendapatan akan berjaya kerana ia antara impian saya dalam menceburi bidang perniagaan. Teringin hendak melihat ramai orang kita menjadi peniaga dan lebih manis kalau mereka juga mahu berkongsi rezeki dengan individu lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:15 AM