HELYZAWATI (kanan) dan Norzzalina bersama kek mereka.
HELYZAWATI (kanan) dan Norzzalina bersama kek mereka.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Minat mendalam dalam bidang pembuatan kek dan kuih-muih serta dekorasinya membuatkan pasangan adik-beradik ini tekad membuktikan bidang itu bukan sekadar mampu dijadikan minat, namun pada masa sama dapat menjana pendapatan lumayan.

Walaupun kedua-duanya bukanlah graduan dalam bidang terbabit, kecekalan serta kesungguhan yang ditunjukkan membuahkan hasil sehingga mereka berjaya membuka sebuah kedai makanan berkonsepkan butik kek di Batu Pahat, Johor.

Menurut Helyzawati Zaharan, 40, dia bersama adiknya, Norzzalina, 30, mula berkecimpung dalam bidang itu sejak 2008, namun ketika itu mengusahakan perniagaan terbabit hanya di rumah selain mempromosikannya melalui laman sosial Facebook dan blog.

“Bermula dari situ, kami berdua mula mencipta pelbagai resipi dan dekorasi kek serta kuih-muih sebelum perniagaan semakin menerima sambutan menggalakkan, lalu kami pun membuka sebuah kedai makan berkonsepkan butik kek dan kuih pada 2013.

“Walaupun saya graduan dalam bidang akaun manakala adik pula graduan bidang perniagaan, minat mendalam membuatkan kami akhirnya berjaya mengusahakan perniagaan berasaskan kek dan kuih-muih,” ujarnya.

Dua beradik berasal dari Batu Pahat, Johor itu turut komited dan yakin pilihan mereka berkecimpung dalam perniagaan itu satu pilihan tepat.

“Kami sudah membuat dan menghias pelbagai jenis kek setiap hari termasuk tempahan untuk sambutan hari lahir, hantaran majlis pertunangan dan pernikahan atau dijadikan hadiah.

“Setiap idea meng­hasilkan kek adalah gabungan idea kami berdua. Syukur pelanggan amat berpuas hati dan kami pula cukup mementingkan aspek rasa yang sedap selain hiasan kek yang cantik,” katanya.

Menurut Helyzawati, setiap kek yang dihasilkan mempunyai keunikan terutama daripada aspek dekorasinya.

“Selain menghasilkan kek, kami turut membuat dan menerima tempahan kuih-muih dan sehingga kini kami sudah menghasilkan lebih 30 jenis kuih mengikut resipi kami sendiri.

“Di kedai, kami turut menyediakan beberapa menu lain seperti asam pedas dan laksa Johor bagi menarik lebih ramai pelanggan berkunjung,” katanya.

Menurutnya, setiap pelanggan perlu membuat tempahan seawal dua atau tiga bulan bagi memastikan kek atau kuih yang ditempah dapat disiapkan dalam tempoh dikehendaki.

“Kebiasaannya kami menyiapkan dekorasi kek terlebih dulu sebelum menyediakan kek bagi memastikan kelazatan kek berada pada tahap terbaik.

“Syukur, pelanggan kami bukan saja terdiri daripada penduduk Johor, namun dari negeri lain termasuk tempahan dari luar negara,” katanya.

Selain menjalankan perniagaan di kedai dan laman Facebook iaitu Cuppacake B’licious, dia bersama adiknya turut menyediakan kelas untuk mengajar individu berminat dalam mempelajari bidang pembuatan kek.

“Kami turut mengajar kelas membuat kek di Singapura bagi mereka yang ingin mempelajari resipi pembuatan kek serta dekorasinya.

“Bidang ini ternyata memberi pulangan dan kegembiraan kepada kami adik-beradik kerana dalam bekerja, hubungan kekeluargaan kami juga semakin terjalin erat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 12:49 PM