KHADAR Shah (dua dari kiri) membantu pelajar tahfiz memilih pakaian hari raya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
KHADAR Shah (dua dari kiri) membantu pelajar tahfiz memilih pakaian hari raya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Zuhainy Zulkiffli

SUMBANGAN jubah, kain pelikat dan serban sudah cukup memberi kegembiraan kepada kanak-kanak warga Rohingya yang menerima sumbangan baju raya daripada Yayasan Al Nasmir, semalam.

Sumbangan daripada yayasan berkenaan membabitkan seramai 70 kanak-kanak Rohingya dari Maahad Al Arkan Li Tahfiz Al Quran, dekat Bukit Mertajam.

Mohd Ayash Soyad Nur, 8, berkata dia berasa gembira kerana berpeluang memilih jubah dan serban mengikut saiz diingini.

Katanya, dia akan pulang beraya di Bagan Serai, Perak bersama bapa yang bekerja kontrak di sana selain ibu yang juga suri rumah.

“Saya sudah lapan tahun tinggal di madrasah ini dan sejak itu saya tidak pernah lagi pulang beraya di negara asal dan sambutan Aidilfitri di sana jaug berbeza dengan di sini.

“Di sini perayaan disambut dengan aman dan meriah berbanding di negara asal yang serba kekurangan, justeru saya amat berterima kasih kepada pemberi sumbangan,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam.

Mudir pusat tahfiz berkenaan, Noor Mohamad Khalamiyah berkata, pusat tahfiz terbabit terdiri daripada etnik Rohingya kurang berkemampuan dan ada antara mereka anak yatim piatu.

Katanya, keadaan pusat tahfiz yang serba kekurangan berikutan masalah kewangan, menyukarkan pihaknya membeli kelengkapan kepada pelajar terbabit.

“Lebih mengharukan apabila maahad tahfiz ini tidak pernah terpinggir daripada menerima bantuan bulanan daripada Yayasan Al Nasmir yang juga anak syarikat Nasmir Holding Sdn Bhd.

“Sumbangan diterima itu menjadikan sambutan Aidilfitri pelajar maahad berkenaan lebih bermakna,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holding, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata Yayasan Al Nashmir memperuntukkan RM100,000 kepada lebih 1,000 individu terutama golongan miskin, orang kurang upaya, anak yatim dan pelajar tahfiz menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya sepanjang Ramadan.

“Selain itu Yayasan Al Nashmir akan ke Kemboja pada 30 Mei ini bagi memberi bantuan wang tunai dan sumbangan hamper raya kepada 600 keluarga di Kampung Cham, di sana.

“Yayasan ini mempunyai madrasah dan surau bagi kegunaan penduduk Islam di kampung berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 12:29 AM