Siti Zarinah Sahib

Potongan baju kurung moden, kurung Pahang dan kebaya antara busana yang mendapat permintaan tinggi menjelang lebaran. Walaupun rekaan gaun labuh dan jubah turut mewarnai pasaran, gaya tradisi tetap menjadi pilihan wanita. Selain tampil sopan, baju kurung dan kebaya dengan rekaan moden sesuai digayakan untuk semua peringkat usia.

Bagi pengasas AdreanaRose, Nor Rosniaty Othman, sejak memperkenalkan jenama ini pada 2016, dia semakin yakin wanita tetap ingin memiliki sepasang baju kurung dan kebaya yang menjadi koleksi menjelang Aidilfitri. Ini disebabkan pemakaian baju kurung dilihat sebagai tidak lapuk ditelan zaman. Ia kekal menyerlah dan tampak manis digayakan.

“Sebab itu sejak dilancarkan pada 2016, jenama ini terus mendapat perhatian menerusi baju tradisional. Malah baju kurung menjadi tanda pengenalan dan sentiasa diperbaharui potongannya setiap tahun,” katanya.

Pada tahun ini, Nor Rosniaty masih mengekalkan rekaan sama cuma diberikan nafas baru dengan tambahan perincian pada bahagian tertentu.

 KEBAYA diberikan nafas baru menerusi potongan yang memikat.
KEBAYA diberikan nafas baru menerusi potongan yang memikat.

Menariknya, setiap satu direka dengan perincian berbeza bagi memberikan nilai eksklusif tersendiri. Ini bermakna walaupun potongan sama, setiap helaian mengetengahkan perincian seperti sulaman, tampalan manik dan jahitan renda secara berbeza-beza.

“Sebagai pengamal fesyen, saya percaya setiap wanita inginkan kelainan dalam gaya mereka. Perbezaan ini kami tampilkan menerusi perincian. Ia sesuai dengan gema raya yang menampilkan konsep glamor namun tidak mengetepikan kesopanan dan keayuan,” jelasnya.

Ingin mempelbagaikan rekaan, jenama ini turut mempamerkan jubah dan gaun labuh moden dengan manik dan renda bagi menonjolkan kecantikkannya. Hadir dengan rona pastel dan terang, ia memberikan pilihan tersendiri kepada pelanggan.

JUBAH hitam sesuai dipakai untuk kerumah saudara-mara.
JUBAH hitam sesuai dipakai untuk kerumah saudara-mara.

“Setiap rekaan tampil memikat menggunakan fabrik berkualiti. Selain jualan untuk pakaian sedia dipakai, kami juga menyediakan khidmat tempahan untuk baju wanita dan juga lelaki. Malah mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan boleh mendapatkan busana perkahwinan impian mengikut cita rasa sendiri,” ujarnya.

Harga untuk busana wanita bermula RM100 ke atas manakala lelaki daripada RM80 ke atas. Sepanjang Ramadan ini, butiknya beroperasi di SACC Mall Shah Alam dan Bukit Jelutung manakala tapak jualan turut dibuka di The Curve, Mutiara Damansara setiap hari.

 JUBAH didatangkan dengan potongan ringkas.
JUBAH didatangkan dengan potongan ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 10:01 AM