Nurul Husna Mahmud


MUNGKIN ada antara kita menyimpan busana yang pernah dipakai nenek atau ibu sebagai nilai sentimental atau memori yang ingin disemat dalam kenangan.

Begitu juga halnya dalam keluarga Nurhilani Mohd Hidzir dan suami yang masih menyimpan busana pernah digayakan nenek masing-masing.

Pengasas jenama The Bahaman itu turut mengabdikan pola dan potongan baju kurung yang memiliki sentimen era 60-an dan 70-an untuk gaya terbaharu koleksi lebaran kali ini.

Kata Nurhilani, dia menjadikan pola baju kurung neneknya yang dulu berasal dari Parit Buntar, Perak dan juga nenek sebelah suami, dari Dungun, Terengganu sebagai rujukan utama untuk rekaan terbaru.

"Saya perasan, rekaan busana raya untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini orang lebih sukakan sesuatu yang ringkas dan selesa.

"Kebetulan ciri-ciri itu ada pada busana klasik yang pernah dipakai oleh nenek saya suatu ketika dulu. Jadi saya ambil pola dan ubah sedikit untuk disesuaikan dengan cita rasa orang sekarang.

"Secara peribadi, saya merasakan rekaan busana orang dahulu tampak 'edgy' apabila padanan dipelbagaikan baik dengan dokoh atau aksesori lebih sederhana.

"Malah corak dan motif digunakan orang dahulu masih relevan kerana mampu menarik pemakai dalam kalangan gadis seawal usia 18 tahun sehinggalah melewati usia emas.

"Kekuatan rekaan klasik adalah kesederhanaan dalam potongan baju dan motif digunakan bertujuan menonjolkan pesona wanita ketimuran sebaik mengenakan busana terbabit," katanya.

Inspirasi busana klasik seperti baju kurung pesak gantung cukup kemas direalisasikan dalam rekaan Kurong Pesak Fatimah yang turut datang bersama perincian poket.

"Rekaan potongan baju kurung pesak gantung yang mana perincian klasiknya adalah poket pada bahagian sisi kiri. Dalam rekaan versi pesak gantung yang baharu saya kekalkan pola berkenaan.

CANTIK dokoh dan kebaya begitu harmoni.
CANTIK dokoh dan kebaya begitu harmoni.

"Kainnya pula potongan kipas pada bahagian belakang untuk berikan keunikan berbanding rekaan baju kurung dan kebaya untuk koleksi kali ini.

"Pemilihan fabrik dan motif juga ada mood klasik iaitu perincian bunga kecil pada fabrik kapas seperti mana digunakan dalam rekaan kain pada era 60-an dan 70-an," katanya.

Meskipun tanpa latar belakang formal dalam rekaan fesyen, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui, pengalaman pernah menjadi model dan memiliki minat mendalam membuatkan dia ada 'sense' terhadap rekaan baju dapat memenuhi trend semasa.

"Saya yakin dengan naluri dan rekaan busana yang dihasilkan kerana saya meletakkan posisi yang sama sebagai pemakai.

"Malah saya sukakan sesuatu yang ringkas dan selesa apatah lagi ketika musim perayaan orang mahu mengenakan baju seharian ketika menziarahi sanak saudara.

"Praktikal, cantik dan tidak terlalu sarat adalah sesuatu yang saya pakai. Sebenarnya untuk rekaan baju kurung sata ambil inspirasi dari baju nenek sebenarnya baju itu adalah baju harian wanita ketika era 60-an atau 70an.

"Tentu sahaja mereka pakai di rumah, pergi bekerja, melayani tetamu sehinggalah bersiar-siar atau meraikan perayaan. Ia tidak lapuk dek zaman dan sesuai untuk semua keadaan," katanya.

BOLEH juga tampil sedondon.
BOLEH juga tampil sedondon.

Selain baju pesak gantung, dalam koleksi lebaran itu juga ditampilkan kebaya pendek potongan longgar.

Seperti koleksi sebelum ini motif jalur dan petak menjadi identiti produk kami dan kali ini penggunaan motif terbabit diabadikan dalam koleksi Kebaya Zakiah.

"Satu pilihan motif agak berani saya tampilkan bawah jenama ini adalah penggunaan motif jalur dan petak yang jarang digunakan pereka lain.

"Bagi saya ia unik dan masih menarik dengan kain lipat dan dokoh. Satu lagi eksperimen yang saya tampilkan adalah baju kurung ala kaftan yang mana datang bersama set selendang dan kain pario.

"Koleksi rekaan tampil dalam potongan longgar sesuai untuk pemakai yang mahu busana dengan imej mesra Muslimah atau bimbang dengan figura tubuh mereka," katanya yang memulakan jenama sendiri sejak 2018 bermula dengan busana lelaki.

Untuk variasi setiap rekaan ditampilkan dengan empat warna atau motif berbeza mengikut pilihan atau minat masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 7:00 AM