NUR Ayuni aktif melakukan kerja amal sambil mengembara.
NUR Ayuni aktif melakukan kerja amal sambil mengembara.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Keasyikan dan kegembiraan mengembara ke tempat orang, menikmati pemandangan indah dan merasai pengalaman budaya luar adalah impian setiap orang, namun pernahkah terdetik anda juga mahu meninggalkan sesuatu yang bermakna seperti melakukan kerja amal dalam pengembaraan itu?

Mengembara sambil beramal bukan satu perkara mustahil untuk melakukannya malah wanita ini membuktikan berkelana bukan semata-mata untuk kepuasan diri sebaliknya banyak perkara bermanfaat boleh dilakukan.

Menemui figura ini mengubah persepsi penulis mengenai makna kepuasan dalam pengembaraan malah pada usia baru menginjak awal 30-an dan memiliki anak kecil tidak membataskan dirinya melakukan amal kebajikan melalui kembara.

Nur Ayuni Mazlan, 32, bertanggungjawab sebagai Koordinator Program dalam Pertubuhan Kembara Kesukarelawanan Malaysia (VTM) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengetengahkan program kebajikan melalui aktiviti pengembaraan.

Menurutnya, VTM ditubuhkan pada Januari 2017 menawarkan pakej kembara yang memberi pengalaman bermanfaat sambil meluaskan pemikiran di tempat orang dan masyarakat yang disantuni.

MAJLIS Berbuka Puasa bersama anak yatim Saadatul Munawarroh pada Kembara Ramadan Aceh 2018.
MAJLIS Berbuka Puasa bersama anak yatim Saadatul Munawarroh pada Kembara Ramadan Aceh 2018.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila kami berjaya mengumpul dana untuk membina tempat wuduk dan membaiki tandas di Kampung Thnot, Wilayah Kratie, Kemboja dan VTM menjadi NGO pertama yang membuat program membeli-belah raya dengan membawa anak yatim Pesantren Saadatul Munawarroh, Leupung, Aceh Besar, Indonesia ke Pasar Aceh.

“Ini sebahagian program yang meninggalkan pengalaman manis dan bermakna buat saya sepanjang penubuhan VTM dan banyak lagi program akan menyusul untuk memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, pembabitannya dalam aktiviti kemasyarakatan bermula sejak enam tahun lalu melalui Kelab Belia Malaysia (MAYC). Banyak program komuniti disertai antaranya sukan rakyat, keusahawan belia dan bantuan belia asnaf.

KEMBARA Qurban Kemboja VTM 2017 bersama sukarelawan dan murid sekolah.
KEMBARA Qurban Kemboja VTM 2017 bersama sukarelawan dan murid sekolah.

Pengalaman pertama menyaksikan keadaan keluarga ahli belia yang kurang berkemampuan, terdetik di hatinya untuk terus menyumbang tenaga apatah lagi melihat bagaimana mereka bersyukur dan gembira di atas bantuan yang dihulurkan.

Katanya, pengalaman itu juga menjadikan dirinya lebih menghargai kehidupan kerana baginya rezeki Allah itu luas dan dalam rezeki kita, ada hak orang lain menyebabkan dia tidak mahu berhenti untuk terus bergiat aktif dalam bidang ini.

Selain itu, katanya, melihat senyuman keluarga asnaf yang dibantu membuatkan perasaan syukur dan puas itu lebih daripada biasa yang tidak dapat digambarkan.

KEMBARA Ramadan Aceh VTM 2017 bersama anak yatim.
KEMBARA Ramadan Aceh VTM 2017 bersama anak yatim.

“Program kemasyarakatan bukan asing bagi saya kerana sejak kecil arwah mama sudah bawa ke program dan aktiviti kebajikan. Lama-kelamaan minat dan keterujaan saya dalam aktiviti sebegini bercambah.

“Alhamdulillah selepas berkahwin, suami dan anak tidak henti memberi dorongan bahkan mengizinkan dan merestui pembabitan saya dalam program ini.

“Perjuangan ini juga tidak bermakna jika tidak mendapat sokongan rakan NGO terutama Presiden MAYC Wilayah Persekutuan Suzanna Shahrom dan Presiden VTM Mohd Khairul Zhafran yang memberi peluang dan pengalaman untuk saya mengenal dan bergiat aktif dalam dunia kebajikan ini,” katanya.

SUAMI dan anak pendorong utama Nur Ayuni sebagai aktivis.
SUAMI dan anak pendorong utama Nur Ayuni sebagai aktivis.

Kata Nur Ayuni, apa yang mendorongnya untuk terus aktif awalnya lahir daripada rasa syukur kepada kehidupan sendiri melalui kehidupan orang lain.

Lama-kelamaan, niat untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik untuk mengubah taraf hidup mereka semakin mendalam. Apabila melihat senyuman bahagia keluarga yang dibantu, dia berasa lebih bersyukur dan mendoakan agar kebaikan ini mengundang rezeki untuk anaknya kelak.

Baginya, kebajikan yang dibuat ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi rasa yakin terhadap ganjaran kebaikan yang Allah berikan membuatkan ibu tiga cahaya mata ini nekad meneruskan kerja kebajikan.

Nur Ayuni bersyukur meskipun suami, Abdul Malek Mohamed Ismail tidak terbabit secara langsung dalam kerja amal yang dilakukannya, namun dia sanggup membantu menjaga anak ketika ketiadaannya.

“Ada kala saya bawa anak kecil ke program yang bersesuaian sebagai pendedahan awal terhadap aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

ANAK dibawa ke Program Pure Heart anjuran MVM sebagai pendedahan awal.
ANAK dibawa ke Program Pure Heart anjuran MVM sebagai pendedahan awal.

Selain VTM, Nur Ayuni juga bergiat aktif dalam program MAYC dan menggalas jawatan sebagai Penolong Bendahari MAYC Titiwangsa, Ahli Jawatankuasa MAYC Kebangsaan selain Bendahari dan Koordinator Program Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE).

Usahanya itu turut mendapat penghargaan apabila terpilih sebagai finalis bagi mewakili MAYC Wilayah Persekutuan untuk Anugerah Perdana Belia Negara 2018 (Kategori Wanita) anjuran Majlis Belia Malaysia.

Dia turut berpeluang ke udara untuk berkongsi pengalaman bersama radio IKIM.FM mewakili NGO Muslim Volunteer Malaysia (MVM) mengenai pembabitan wanita dan kesukarelawanan selain diberi kepercayaan untuk menjadi moderator untuk segmen Teh Tarik Onne untuk MAYC Channel secara langsung FB MAYC setiap hari Khamis jam 2 petang.

 MENJADI moderator untuk segmen Teh Tarik Onne MAYC.
MENJADI moderator untuk segmen Teh Tarik Onne MAYC.

“Alhamdulillah, aktiviti sukarelawan sangat berkembang di Malaysia dan rata-ratanya mendapat sokongan, malah apa yang membanggakan apabila kebanyakan sukarelawan yang terbabit adalah terdiri daripada wanita.

“Pada saya, wanita cenderung memilih aktiviti kesukarelawanan ini kerana sifat wanita itu sendiri lemah lembut, mudah menyantuni dan mempunyai sifat keibuan yang dalam menyebabkan bidang ini lebih diminati mereka.

“Saya juga menanam impian untuk memperbanyakkan program kebajikan khususnya ke tempat yang tidak pernah lagi disantuni melalui kembara ke seluruh pelosok negara selain melahirkan aktivis wanita untuk melebarkan lagi bidang kesukarelawanan Malaysia di serata dunia,” katanya.

 NUR Ayuni turut terbabit dalam larian amal mewakili MAYC Wilayah Persekutuan.
NUR Ayuni turut terbabit dalam larian amal mewakili MAYC Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Nur Ayuni turut menasihatkan mana-mana wanita yang ingin terbabit dalam program seumpama ini pentingnya mendapat restu dan keizinan daripada suami dan keluarga.

Selain itu, katanya, pasangkan niat yang betul dan ikhlas, insya-Allah segalanya akan dipermudahkan. Walaupun wanita sifatnya lembut, kekentalan fizikal dan mental juga penting bagi menjayakan program kebajikan yang lebih berat terutama dalam misi bantuan kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:49 PM