MAHU tingkatkan kesedaran mengenai kepentingan alat bantuan pendengaran.
MAHU tingkatkan kesedaran mengenai kepentingan alat bantuan pendengaran.
Hidayatul Akmal Ahmad

Hampir setahun kemurungan kerana tidak mampu menerima kenyataan anak dilahirkan mempunyai masalah pendengaran menyebabkan Maryam Sakinah Abang Abdullah, 33, tekad membela anak kandungnya dan kanak-kanak kurang bernasib baik yang mempunyai masalah sama.

Untuk itu dia menubuhkan Persatuan Ibu Bapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia atau Hear Me Malaysia bertujuan memperjuangkan nasib kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran.

Dia yang juga presiden persatuan itu berkata, Hear Me Malaysia ditubuhkan pada 23 Jun 2015 dan sehingga kini sudah mempunyai hampir 200 ahli.

“Objektif utama penubuhan Hear Me Malaysia adalah membantu kanak-kanak yang tidak boleh mendengar atau mempunyai masalah pendengaran dan memerlukan mereka menggunakan alat bantuan pendengaran yang menelan kos sangat tinggi.

“Bayangkanlah kebimbangan ibu bapa untuk membeli alat bantuan pendengaran seperti implan koklea yang menelan belanja sehingga RM180,000 untuk kedua-dua belah telinga.

“Bagaimana ibu bapa ini boleh mendapatkan wang sebanyak itu? Sebab itu kami memperjuangkan nasib kanak-kanak yang tidak boleh mendengar melalui persatuan ini,” katanya ketika ditemui pada Dads Sharing Session Hear Me Malaysia di Kajang baru-baru ini.

KOKLEA IMPLAN
KOKLEA IMPLAN

Menurut ibu empat cahaya mata itu lagi, pengalaman melahirkan anak sulung yang turut mengalami masalah pendengaran membuatkan dia faham masalah kewangan yang dihadapi terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Anak sulung saya, Muna Raihannah Munir Najmi, 9, antara yang menggunakan alat pendengaran implan koklea. Alhamdulillah saya dan suami bernasib baik kerana syarikat tempat suami bekerja menyediakan dana untuk itu.

“Kini, Muna boleh bercakap dan berinteraksi seperti kanak-kanak normal lain. Dia juga bebas melakukan aktiviti seperti berenang dan berlari,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman mengendalikan anak sulungnya itu, Maryam berkata dia bersyukur kerana suami dan keluarga sentiasa menyokong.

“Jujurnya, saya berada dalam keadaan sangat tertekan, sukar untuk menerima hakikat itu. Seperti saya katakan, hampir setahun dalam keadaan begitu.

“Lama-lama saya terfikir sampai bila mahu begini. Jika terus begini macam mana pula nasib dan masa depan anak saya? Untuk itu saya bangkit dan berkongsi maklumat dengan ibu bapa yang mempunyai masalah seperti anak saya.

“Dari situ saya dapat tahu ramai pasangan yang mempunyai anak yang ada masalah pendengaran. Apabila melihat mereka, saya terfikir ada yang diuji lebih berat. Kenapa saya mahu bersedih dan murung sedangkan ada jalan,” katanya yang berhenti kerja sebagai pegawai farmasi semata-mata mahu memberi sepenuh perhatian kepada anaknya.

MARYAM
MARYAM

Maryam berkata, kerajaan sememangnya menyediakan bantuan subsidi di hospital selain orang ramai boleh memohon bantuan daripada pusat zakat.

“Bantuan sememangnya disediakan tetapi selebihnya perlu menggunakan wang sendiri. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh dikeluarkan untuk tujuan itu.

“Lazimnya terdapat tiga jenis alat bantuan pendengaran yang digunakan iaitu hearing aid, implan koklea dan konduksi tulang. Untuk permulaan biasanya pakar audiologi menyarankan menggunakan alat bantu pendengaran. Jika tidak berkesan, baru ditukar kepada implan koklea.

“Namun prosesnya agak rumit kerana perlu dibedah. Prosedur implan koklea terbaru menggunakan alat yang lebih kecil dan nipis membabitkan pembedahan minor selama satu atau dua jam,” katanya.

Kira-kira 75 peratus kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran menggunakan implan koklea sebagai alternatif bagi mengatasi masalah mereka.

Tiga kali uji pendengaran anak

Mohd Idzwan Asyraff, 32, mengakui sukar baginya menerima kenyataan apabila anak sulungnya turut disahkan mempunyai masalah pendengaran. Dia dan isteri membawa anaknya menjalani pemeriksaan sebanyak tiga kali di hospital kerajaan dan swasta bagi memastikan anaknya benar-benar mempunyai masalah itu.

“Pemeriksaan pertama dilakukan ketika bayi baru lahir. Waktu itu saya dan isteri tidak percaya. Sebulan selepas itu, saya bawa anak untuk jalani pemeriksaan sekali lagi tetapi di hospital kerajaan.

“Namun keputusan tetap sama iaitu gagal. Masih tidak berpuas hati, saya dan isteri ke hospital lain untuk kali ketiga dan keputusan tetap sama.

“Ketika itu, saya sudah reda anak memang tidak boleh mendengar. Lalu saya dan isteri bertanya pakar apa yang patut dilakukan untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

MOHD Idzwan
MOHD Idzwan

Menurut Idzwan, dia mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan manakala isterinya enam bulan bagi memberi fokus kepada anaknya. Dia juga menghantar anaknya ke kelas pertuturan selain mempraktikkan bersama anak di rumah.

“Mula-mula anak hanya menggunakan alat bantu pendengaran tetapi tidak berapa berkesan. Selepas itu saya dan isteri sepakat untuk bertukar kepada implan koklea.

“Syukur syarikat tempat isteri menyediakan dana untuk itu. Untuk terus berkongsi pengalaman saya dan isteri menyertai Hear Me Malaysia bagi memberi lebih pendedahan kepada anak.

“Di sini kami bertukar cadangan dan mencari penyelesaian terhadap isu berbangkit. Pesanan saya kepada ibu bapa yang mempunyai nasib seperti saya, segera dapatkan rawatan dan jangan sisihkan anak anda kerana dia boleh menjadi normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Anak tidak beri respons

Berlainan pula buat Subramaniam Mariappan yang hanya mengetahui anak bongsunya, Lavinsh tidak boleh mendengar ketika berusia lapan bulan.

“Ketika itu saya tidak perasan mengenai masalahnya. Isteri yang menyedari kerana apabila anak sulung bercakap atau bermain dengan Lavinsh, dia tidak menunjukkan sebarang respons.

“Saya dan isteri membawa Lavinsh ke hospital untuk menjalani pemeriksaan audio dan mereka mengesahkan dia tidak boleh mendengar di kedua-dua belah telinganya.

SUBRAMANIAM memasang koklea implan pada anaknya.
SUBRAMANIAM memasang koklea implan pada anaknya.

“Ketika mendengar berita itu, saya dan isteri sangat sedih dan tertekan kerana tiada dalam ahli keluarga kami mempunyai masalah seperti dia,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Subramaniam membawa anaknya ke Hopital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.

“Disebabkan kedua-dua belah telinga anak tidak boleh mendengar, pakar audiologi menyarankan saya menggunakan implan koklea supaya anak boleh mendengar seperti biasa.

“Saya bersetuju kerana mahu yang terbaik untuk anak. Mujur saya mendapat subsidi daripada hospital untuk sebelah implan manakala sebelah lagi saya menggunakan wang sendiri,” katanya.

Bagi yang ingin mengetahui mengenai persatuan ini sila layari www.hearme.my atau Facebook (FB) Hear Me Malaysia.

LAVINSH boleh bermain dan bereaksi seperti kanak-kanak normal lain
LAVINSH boleh bermain dan bereaksi seperti kanak-kanak normal lain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 2:57 PM