AISHA ketika menjalani pembedahan implan koklea.
AISHA ketika menjalani pembedahan implan koklea.
Nurul Husna Mahmud


Kenyataan puteri tunggalnya, Iman Aisha Shaharom menghadapi masalah pendengaran tahap serius (profound hearing loss) sukar diterima Suzanna Zaily Zain, 48, buat kali pertama apabila doktor memaklumkan mengenai masalah anaknya itu.

Sebagai ibu, dia pernah mengetepikan Iman Aisha selama sebulan kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa anak perempuannya itu menghadapi masalah pendengaran.

"Ketika dilahirkan, Aisha menangis seperti bayi normal lain dan tidak menunjukkan sebarang masalah sehingga usia satu tahun setengah.

"Anak tidak boleh menyebut atau membunyikan sesuatu dengan mudah dan saya mula rasa tidak 'sedap hati' dengan meminta doktor jalankan saringan.

"Sebenarnya anak saya pernah beberapa kali demam panas yang teruk sehingga menyebabkan serangan sawan.

"Doktor mengesahkan anak saya mempunyai masalah 'profound hearing loss' dan perlu dibantu dengan menggunakan alat bantuan pendengaran termasuk menjalani terapi," katanya.

Ketika itu dia tidak dapat menerima kekurangan anak hingga membuatkan Suzanna mendapatkan pandangan kedua dengan harapan anaknya itu masih boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

"Saya tidak dapat terima keputusan yang pertama dan pergi ke hospital untuk mendapatkan rujukan kedua. Doktor hospital kedua juga mengesahkan anak saya mengalami masalah pendengaran teruk.

"Banyak proses berlaku dalam tempoh itu dan saya tertekan selama sebulan sehingga meminta ibu saya ambil dan bela Iman Aisha.

KELUARGA pendorong Suzanna dalam membantu Aisha melalui proses terapi.
KELUARGA pendorong Suzanna dalam membantu Aisha melalui proses terapi.

"Sokongan keluarga terutama suami, Shaharom Zakaria membantu saya bertekad membantu anak mendapat peluang kedua iaitu mendengar dan belajar seperti kanak-kanak normal lain menerusi pembedahan implan koklea," katanya.

Mengakui perjalanan membantu anaknya berjaya termasuk bertutur seperti sekarang menuntut pengorbanan yang tinggi.

"Saya korbankan kerjaya iaitu berhenti kerja sebagai penerbit produksi dalam memastikan pemulihan anak termasuk terapi pendengaran dan pertuturan dapat dipenuhi.

"Suami pula sanggup memikul tugas berat iaitu 'pencari nafkah tunggal' untuk keluarga supaya saya dapat fokus terhadap perkembangan anak perempuan.

"Bukan sedikit belanja untuk anak boleh mendengar. Bayangkan pembedahan kedua-dua belah telinga iaitu sebelah kanan pada usia tiga tahun dan telinga kiri ketika berumur 11 tahun mencecah enam angka.

"Saya juga tidak culas menghadiri terapi kerana ada teknik dan tahap tertentu berbeza perlu dilakukan pada anak. Saya setiap hari jalani latihan intensif untuk selaraskan sebutan dengan bunyi supaya dia dapat bertutur sebaik kanak-kanak sebayanya," katanya.

PEMBEDAHAN implan koklea rumit dan memerlukan kolaborasi pelbagai disiplin termasuk pakar bius.
PEMBEDAHAN implan koklea rumit dan memerlukan kolaborasi pelbagai disiplin termasuk pakar bius.

Tidak dinafikan usaha Suzanna kini berhasil apabila melihat perkembangan Iman Aisha tiada bezanya dengan kanak-kanak normal.

"Pengalaman saya membesarkan Iman Aisha ini ingin saya kongsikan dengan ibu bapa lain supaya mereka dapat bersikap positif dengan keadaan anak mereka.

"Saya bersyukur kerana dalam proses ini apabila bertemu ibu bapa yang memiliki anak istimewa, mereka menjadi pendorong kepada saya. Saya berharap ibu bapa lain turut melakukan perkara sama dan tidak putus asa dengan anak mereka," katanya.

Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), Cheras, Prof Dr Goh Bee Hee berpendapat, lebih awal pembedahan implan koklea lebih baik perkembangan anak itu (daripada pendengaran kepada pertuturan).

"Sejak Program Implan Koklea dimulakan pada 1998 di HCTM, lebih 650 kanak-kanak menjalani pembedahan dan menikmati peluang mendengar lebih baik.

"Kadar kejayaan pembedahan ini sebenarnya bergantung kepada seawal mungkin usia mereka menjalani pembedahan. Rekod HCTM adalah membabitkan bayi berusia tujuh bulan yang mana kerjasama semua disiplin termasuk pakar bius, pakar kanak-kanak dan pakar terapi auditori.

"Begitu juga peranan ibu bapa yang sedar lalu mengambil inisiatif untuk anak mereka menjalani pembedahan implan koklea bagi membolehkan anak itu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal.

"Tidak dinafikan ada risiko atau komplikasi dari pembedahan implan koklea kerana ia berkait saraf keseimbangan. Tetapi, implikasi terlalu kecil dan boleh pulih daripada terapi dan rawatan susulan," katanya.

DR Goh bersama pesakit kanak-kanak yang berjaya menjalani pembedahan implan koklea.
DR Goh bersama pesakit kanak-kanak yang berjaya menjalani pembedahan implan koklea.

Menjelaskan manfaat pembedahan itu, kata Dr Goh, tahap pendengaran kanak-kanak hampir setara dengan kanak-kanak normal iaitu 99 peratus.

"Sebenarnya tidak semua kanak-kanak yang pekak adalah bisu. Tetapi, sebahagiannya berpunca daripada mereka tidak mendengar sebarang bunyi.

"Tiada proses pembelajaran berlaku kerana masalah pendengaran yang teruk dan selalunya berlaku di koklea atau saraf berkaitan.

"Sedangkan proses pembelajaran terutama pertuturan adalah dengan mendengar. Jadi, kanak-kanak itu sebenarnya tidak bisu, tetapi kekangan mereka adalah pendengaran.

"Rekod kanak-kanak pernah menjalani pembedahan implan koklea jauh lebih baik daripada bergantung kepada alat bantuan pendengaran.

"Contoh yang boleh saya berikan ialah kalau menggunakan alat bantuan pendengaran bagi mereka yang memiliki tahap pendengaran sangat teruk, penggunaan alat bantuan hanya membantu setakat 20 hingga 30 peratus. Tetapi, menerusi implan koklea kualiti bunyi boleh mencapai sehingga 90 peratus," katanya.

Trek rekod pesakit yang pernah menjalani pembedahan implan koklea daripada program terbabit mendapati, rutin dan kehidupan harian mereka seperti kanak-kanak normal.

AISHA yang kini berusia 17 tahun.
AISHA yang kini berusia 17 tahun.

"Boleh belajar, bermain dan ada yang memiliki kerjaya seperti individu normal kerana pembedahan serta rawatan dijalankan.

"Cuma kami meminta mereka yang menjalani implan koklea tidak melakukan aktiviti berisiko kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Rantaian Bekalan Global Cochlear Ltd, Greg Bodkin berhasrat membantu meningkatkan lebih ramai kanak-kanak menghadapi masalah pendengaran menikmati peluang mendengar lebih baik.

"Pada tahun fiskal 2021-2022, Cochlear menyediakan lebih daripada 40,000 implan pendengaran kepada individu dewasa dan kanak-kanak di seluruh dunia.

"Malah, bilangan kanak-kanak di Malaysia yang menikmati manfaat daripada implan pendengaran mungkin akan dipertingkatkan sasarannya.

"Kami berharap dapat menyokong kepada usaha Kerajaan Malaysia iaitu menyasarkan saringan pendengaran bayi baru lahir di 95 peratus hospital awam dan swasta bagi mengenal pasti kanak-kanak dan menentukan individu yang boleh mendapat manfaat daripada alat bantuan pendengaran menjelang 2024.

"Setakat ini hanya ada 65 peratus hospital di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan ini. Secara puratanya setiap tahun di Malaysia kira-kira 1,500 kanak-kanak dilahirkan dengan kehilangan pendengaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 7:00 AM