Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pada usianya empat tahun, T Sahanha masih tidak mampu bertutur seperti kanak-kanak sebayanya akibat masalah pendengaran yang dialami.

Ibunya, M Kogella, 37, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu menghidap masalah pendengaran tahap teruk sehinggakan bunyi paling kuat 90 decibel (dB) ke atas pun kanak-kanak itu tidak memberikan sebarang reaksi.

"Ujian pendengaran anak selepas lahir menunjukkan dia normal dan dia memberikan reaksi apabila kita baling barang atau memanggil namanya.

"Tetapi, selepas umurnya dua tahun, saya perasan dia tidak memberikan sebarang reaksi lagi terutama apabila kita memanggilnya atau membaling barang, malah dia juga tidak boleh bercakap sampai sekarang," katanya.

Bimbang dengan situasi dialami anaknya itu, Kogella merujuk anaknya ke sebuah hospital tahun lalu sebelum ujian dan pemeriksaan dijalankan pakar menunjukkan anaknya mengalami masalah pendengaran teruk hingga menyebabkan dia tidak boleh bertutur.

"Doktor memaklumkan anak saya perlu bergantung kepada sejenis alat dipanggil implan koklea yang dimasukkan ke dalam telinganya bagi membantu dia mendengar dan seterusnya bercakap.

"Kos untuk alat serta memasukkan alat itu dalam telinganya menelan belanja RM146,000 termasuk terapi selepas pembedahan," katanya.

Pembedahan itu bakal dijalankan di Sunway Medical Centre, Subang Jaya, Selangor, 18 April ini.

Suri rumah itu berkata, dengan pendapatan mereka sekeluarga kira-kira RM2,000 sebulan, mereka tidak mampu menyediakan kos sebanyak itu apatah lagi pergerakan suaminya, N Thevaraj, 40, terbatas akibat masalah kesihatan.

Katanya, suaminya yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) tidak berkemampuan melakukan kerja berat kerana mengalami masalah pinggang hingga perlu dipapah untuk berjalan dan bangun.

"Untuk menampung perbelanjaan kami, saya dan suami menjual barangan sembahyang sejak tahun 2020 dengan pendapatan tidak menentu. Kadang kalau musim perayaan Deepavali adalah lebih, kalau hari biasa kadangkala kurang daripada RM2,000.

DR Shailendra memberi penerangan kepada M Kogella. FOTO Amirudin Sahib
DR Shailendra memberi penerangan kepada M Kogella. FOTO Amirudin Sahib

"Besar harapan saya jika rakyat Malaysia dapat membantu meringankan beban kami supaya anak kami dapat dibedah segera dan boleh membesar seperti kanak-kanak sebayanya.

"Sebagai ibu, hati saya sangat sedih dan bimbangkan masa depan anak saya yang masih tidak boleh mendengar dan bercakap," katanya sebak.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan sumbangan kepada tabung berkenaan layak mendapat pelepasan cukai.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank bernombor 514105323170 dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 5:00 PM