SOFIA Imani bersama Ramlah mengadakan latihan bermain biola.
SOFIA Imani bersama Ramlah mengadakan latihan bermain biola.
Rizanizam Abdul Hamid


Pertemuan petang itu berlangsung dalam suasana santai. Wanita kecil molek ini cukup ramah melayan pelbagai soalan. Senyum manisnya langsung tidak lekang di bibir.

Ternyata gelaran Miss Smiley yang diberi rakan terdekat cukup sesuai untuk menggambarkan perwatakan sebenar guru muzik di Fairview International School (Fairview) Kuala Lumpur, Ramlah Mohamed, 34.

Dikenali sebagai Cikgu Vee dalam kalangan pelajarnya, Ramlah bukan calang-calang guru. Semangat dan cita-cita yang digenggam wanita ini sejak usia muda membawa dirinya ke suatu tahap yang wajar untuk dibanggakan.

Lahir dalam keluarga sederhana tanpa sebarang pengaruh seni, zaman kanak-kanak Ramlah agak ketinggalan berbanding anak orang berada seusianya. Ketika kanak-kanak lain memetik piano dan menggesek biola di rumah, dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pencapaian akademik.

Begitupun, kekurangan pada masa lalu tidak pernah menyekat minat wanita ini untuk terus meneroka dunia seni ketika dia melangkah ke zaman remaja. Nekad dengan keputusan diambil, Ramlah terjun ke bidang yang diimpikan secara diam-diam.

“Sejujurnya, ayah memang tidak mahu saya aktif dalam muzik kerana beranggapan bidang itu tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Sebagai anak, saya patuh dan berusaha menunaikan impiannya melihat saya menggenggam ijazah perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Namun ketika di semester empat, secara diam-diam saya mengambil ijazah kedua dalam jurusan Muzik di Universiti Terbuka Malaysia(OUM).

“Saya tidak mahu menghampakan impian ayah, tetapi pada masa sama, saya juga mahu terus mengejar cita-cita menjadi seorang pemain biola profesional. Cinta saya kepada muzik tidak pernah hilang, malah sentiasa berkembang dari dulu hingga kini,” katanya yang kini turut menggenggam dua ijazah sekali gus.

RAMLAH Mohamed
RAMLAH Mohamed

Bercerita lanjut, Ramlah berkata, dia bertuah dikurniakan bakat bermain alat biola sejak usia kecil.

“Saya pernah beberapa kali memenangi pertandingan bermain biola di peringkat sekolah. Dari situ, terbit minat mengembangkan lagi kemahiran dalam bidang akademik.

“Ketika itu, saya berasakan bunyi gesekan biola cukup sebati dalam jiwa. Ia banyak memberi saya kekuatan, ketenangan dan kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Tamat saja pengajian Ijazah Sarjana Muda Muzik di OUM pada 2008, saya terus menimba pengalaman sebagai guru seni persembahan di Kolej Damansara Utama (KDU) pada tahun berikutnya sehingga 2014.

“Perasaan teruja apabila berjaya mencapai apa yang dicitakan sejak kecil sukar disembunyikan. Lima tahun saya mengutip pengalaman berharga di KDU. Setiap kesempatan yang ada saya gunakan untuk memperbaiki pengetahuan dan kemahiran diri dalam muzik. Malah, saya langsung tidak malu untuk belajar mengenali mereka yang aktif dalam seni untuk dijadikan panduan diri,” katanya.

Buka pusat muzik

Benar kata orang, jika usaha dan kesungguhan sentiasa bersatu dengan diri, setiap apa yang dicita-citakan pasti dapat direalisasikan dengan cemerlang.

Penat lelah wanita ini meneroka bidang muzik tanpa jemu akhirnya mencetuskan idea yang cukup bernas. Dia sekali lagi bertindak nekad membuka pusat pembelajaran Vee Music Centre (VMC) bersama seorang rakan kongsi pada Mac 2015.

Jelasnya, walaupun sedar banyak cabaran terpaksa dihadapi untuk bersaing dengan jenama besar lain, namun dia tidak gentar kerana yakin kepada rezeki yang ditentukan Allah SWT.

SOFIA Imani dan adiknya Rayyan Iman, 3, meluangkan masa bermain di Vee Music Centre.
SOFIA Imani dan adiknya Rayyan Iman, 3, meluangkan masa bermain di Vee Music Centre.

“Kalau dilihat, memang banyak pusat muzik yang namanya gah dan cukup dikenali bertapak di negara ini. Tetapi, saya mempunyai impian lebih gah daripada itu.

“Saya mahu mewujudkan sebuah institusi perkembangan pendidikan berorientasikan muzik dengan bayaran yuran yang lebih berpatutan untuk anak tempatan khususnya masyarakat Melayu.

“Saya percaya, ramai ibu bapa mahu dan tercari-cari pusat muzik sesuai dengan kemampuan poket mereka. Zaman ini, ramai yang sedar muzik mampu merangsang otak untuk lebih dominan, sekali gus melahirkan insan hebat dalam pelbagai bidang,” katanya.

Mungkin sudah tersurat rezeki buat dirinya, usaha Ramlah dan dan rakan berhasil apabila VMC yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilantik sebagai wakil The Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM) di Malaysia yang menawarkan program peringkat diploma, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“Namun, cabaran terbesar waktu itu adalah untuk meraih keyakinan masyarakat terhadap VMC. Walaupun baru ‘setahun jagung’, pusat muzik ini juga setanding jenama besar lain yang lebih popular,” katanya yang pernah membuat persembahan pentas bersama penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti pada November 1999.

Irama hidup

Menyentuh soal kepuasan, Ramlah berkata, muzik bukan sekadar minat, malah memberi banyak makna yang indah buat dirinya.

“Saya tidak hanya mengejar apa yang saya mahukan dalam bidang ini, tetapi saya mahu mengadakan sesuatu untuk masyarakat luar.

“Kalau boleh, saya mahu membina satu jambatan buat golongan ibu bapa yang kurang berkemampuan, tetapi mempunyai hasrat dan keinginan besar untuk menyediakan pendidikan terbaik buat anak mereka.

“Jika hendak bercakap mengenai cita-cita, saya mungkin sudah mencapainya untuk diri sendiri. Tetapi perjalanan masih panjang untuk menyediakan yang terbaik untuk masyarakat.

“Setakat ini, VMC baru melahirkan kira-kira 25 alumni dan itu belum cukup bagi saya untuk melihat muzik menjadi platform yang dapat menyatukan pelbagai cabang seni lain,” katanya.

Jelas Ramlah, dia mahu melihat terbinanya pusat muzik yang bukan saja mengajar seni muzik itu sendiri, tetapi turut memiliki cabang kemahiran lain di dalamnya.

“Saya mahu mengubah stigma masyarakat bahawa muzik juga boleh menjana pendapatan lumayan. Sekalipun seseorang itu tidak cemerlang dalam akademik, dia masih boleh menonjol dalam bidang kemahiran.

“Tambahan muzik itu luas. Ia bukan saja berkisar mengenai irama dan lagu semata-mata, tetapi menjadi pencetus idea kepada kita untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang lain,” katanya.

Ditanya bagaimana wanita ini membahagikan masa antara minat dan tugas sebagai guru muzik di Fairview, Ramlah berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah kerana pihak sekolah memberi sepenuh kepercayaan kepadanya.

“Tugas sebagai guru muzik di VMC memberi saya peluang mengasah kemahiran mengajar di Fairview.

“Sepanjang tempoh ini, saya sangat berterima kasih kepada guru serta pelajar di sekolah ini. Mereka banyak memberi saya kekuatan untuk meneruskan minat terutamanya ketika berdepan waktu sukar dalam hidup.

“Apapun, saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Banyak ruang dan peluang yang menanti untuk diisi pada masa depan,” katanya yang baru menamatkan kehidupan berumah tangga September lalu.

Sementara itu, pembantu penyelidik, Zainor Farah Zainuddin, 33, berkata, dia mula menghantar anak perempuannya berusia lima tahun mengikuti kelas biola di VMC sejak setahun lalu selepas mengenali Cikgu Vee.

“Anak saya, Sofia Imani Mohd Hazwan menunjukkan minat bermain alat muzik dan kebetulan saya mengetahui Cikgu Vee ada membuka kelas muzik membuatkan saya tidak berfikir panjang untuk menghantarnya mengikuti kelas berkenaan.

“Bagi saya, kanak-kanak pada usianya harus sentiasa diberi galakan dalam apa saja minatnya, lebih-lebih lagi muzik yang terbukti dapat membantu perkembangan minda yang mempengaruhi sikap dan watak positif.

“Selain itu, muzik juga dapat memantapkan perkembangan bahasa, sekali gus meningkatkan keupayaan intelektual kanak-kanak dan ini terbukti apabila Sofia dilihat lebih menonjol berbanding kanak-kanak seusianya,” katanya.

SOFIA Imani berbakat bermain biola.
SOFIA Imani berbakat bermain biola.

Ditanya mengenai kelas violin yang diikuti di VMC, Zainor Farah berkata, dia menghantar Sofia selama 30 minit bagi setiap sesi, dua kali seminggu bagi mengelakkannya hilang tumpuan sekiranya kelas terlalu lama.

“Saya difahamkan untuk kanak-kanak pada usianya, mereka tidak boleh belajar terlalu lama dan tempoh 30 minit itu sesuai bagi mengelakkannya cepat bosan dan terus tidak berminat.

“Lagipun, di VMC selepas aktiviti pembelajaran, anak saya diberi peluang untuk bermain, sekali gus membuatkan dia tidak berasa terpaksa belajar sebaliknya sentiasa diberi galakan yang berterusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 3:11 PM