Redzuan Muharam


“GEMENTAR memandangkan itu pertama kali saya bermain biola dalam pesawat tetapi gembira kerana diberi peluang menghiburkan penumpang,” kata Naqib Naimullah Zairul Nizam, 20.

Naqib Naimullah dan dua rakan yang juga kembar, Mohammad Nadzmi serta Mohammad Nadzri, 20, mencuri perhatian warganet selepas video mereka bermain biola di dalam pesawat dimuat naik di Twitter kelmarin.

Menerusi rakaman video berdurasi 45 saat itu, Naqib Naimullah menunjukkan kebolehan bermain biola dengan irama lagu Bujang Lapok dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee secara spontan di hadapan penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, Naqib Naimullah berkata, video itu dirakam Khamis lalu ketika dia dalam penerbangan ke Jakarta mewakili negara untuk bertanding dan membuat persembahan sempena Indonesia Orchestra and Ensemble Festival (IOEF) di pusat kesenian, Taman Ismail Marzuki (TIM), Indonesia bermula 13 September lalu hingga semalam.

Menurutnya, dia tidak berseorangan sebaliknya ditemani keluarga dan 25 ahli kumpulan Orkestra Darul Ta’zim.

“Kira-kira 30 minit sebelum mendarat, pramugara bertugas memanggil saya dan dua rakan untuk bermain biola di dalam pesawat.

“Tak sangka juga kerana selama ini, saya hanya melihat pemuzik lain beraksi di dalam pesawat tetapi kini saya mendapat peluang membuat persembahan di ketinggian 37,000 kaki dari aras laut.

“Lebih membuatkan kami bersemangat adalah apabila melihat penumpang dan anak kapal begitu ‘sporting’ dan ia pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan,” katanya ketika dihubungi.

Naqib Naimullah bergambar bersama ahli Orkestra Darul Ta’zim selepas selesai membuat persembahan. FOTO Ihsan Naqib Naimullah Zairul Nizam
Naqib Naimullah bergambar bersama ahli Orkestra Darul Ta’zim selepas selesai membuat persembahan. FOTO Ihsan Naqib Naimullah Zairul Nizam

Penuntut tahun akhir Diploma Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu berkata, dia tidak menyangka video dimuat naiknya itu mendapat perhatian kerana tujuannya adalah berkongsi pengalaman manis ketika membuat persembahan di dalam pesawat.

Namun dia berterima kasih atas sokongan diberikan dan menganggapnya sebagai pencapaian sejak mengasaskan kumpulan orkestra itu lapan tahun lalu.

“Saya bermain biola sejak sekolah dan mengasaskan kumpulan orkestra itu bersama adik beradik yang juga mempunyai latar belakang dalam bidang muzik.

“Selain minat, pembabitan dalam cabang kesenian ini salah satu cara untuk merealisasikan cita-cita ibu dan ayah yang tidak kesampaian.

“Alhamdulillah, kumpulan orkestra saya melepasi peringkat saringan awal hingga terpilih mewakili negara dan berjaya membawa pulang pingat gangsa hasil penyertaan dalam festival itu,” katanya yang dijangka tiba di Kuala Lumpur malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 11:00 PM
Naqib Naimullah bermain biola di dalam pesawat ketika dalam perjalanan ke Jakarta. FOTO Ihsan Naqib Naimullah Zairul Nizam
Naqib Naimullah bermain biola di dalam pesawat ketika dalam perjalanan ke Jakarta. FOTO Ihsan Naqib Naimullah Zairul Nizam