AHLI muzik memainkan peralatan diperbuat daripada ais di dalam iglu dengan cuaca di bawah paras beku.
AHLI muzik memainkan peralatan diperbuat daripada ais di dalam iglu dengan cuaca di bawah paras beku.
AFP

KETIKA Tim Linhart pertama kali berjinak-jinak membuat peralatan muzik menggunakan ais, hasilnya lebih berkemungkinan berkecai daripada menghasilkan bunyi indah. Namun kini, bertahun-tahun kemudian, artis kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu mengetuai orkestra ais terdiri daripada pemuzik tempatan yang bermain di beberapa konsert dalam cuaca bawah paras beku di pergunungan Alps, Itali.

“Sebelum ini, saya memang kerap membuat arca daripada salji dan ais di sebuah resort di tempat asal, New Mexico selama 16 tahun. Selepas itu saya terfikir untuk mencuba menghasilkan biola.

“Namun biola pertama saya berkecai selepas saya cuba mengetatkan talinya untuk mendapatkan bunyi lebih kuat,” katanya.

Namun dia tidak putus asa dan akhirnya berjaya menghasilkan beberapa peralatan muzik malah untuk konsertnya di stesen sukan musim sejuk Passo Paradiso, ada biola, viola, set gendang timpani, xilofon dan mandolin, iaitu alat seperti gitar yang kecil, semuanya diperbuat daripada ais.

LINHART mengaku peralatan muzik dihasilkannya pada mulanya berkecai.
LINHART mengaku peralatan muzik dihasilkannya pada mulanya berkecai.

Untuk menghasilkan peralatan muziknya, Linhart menuangkan campuran air dan salji ke dalam acuan sebelum memasang tali jika perlu. Sebuah mandolin mengambil sehingga enam hari untuk disiapkan, manakala peralatan muzik lebih besar kadangkala memerlukan beberapa bulan.

Ada antara peralatan berkenaan terlalu berat dan perlu digantung menggunakan kabel besi yang ditebuk ke dalam siling auditorium berbentuk iglu itu. Dinding iglu itu juga mempunyai ceruk yang boleh digunakan untuk menyimpan peralatan muzik berkenaan.

Sementara itu, pemain selo, Nicola Segatta berkata, bunyi dihasilkan peralatan muzik ais berkenaan lebih jelas berbanding yang diperbuat daripada kayu. Malah, katanya, kesannya juga jauh lebih mendalam dengan pendengarnya.

Bagaimanapun, peralatan berkenaan perlu sentiasa diteliti untuk memastikan bunyi dihasilkan tidak terjejas.

Sebaik orang ramai memasuki iglu itu, suhu asalnya iaitu 12 Celsius semakin meningkat menyebabkan peralatan berkenaan juga semakin panas. Disebabkan itu, pemuziknya perlu sentiasa ditalakan. Namun ia bukan masalah besar kerana ais menghasilkan bunyi lebih sedap apabila peralatannya semakin dimainkan.

“Selepas kira-kira sejam dimainkan, bunyinya lebih merdu kerana ais bertindak balas terhadap getaran bunyi,” kata Linhart.

Pada musim panas, Linhart tinggal di Sweden bersama keluarganya dan menghasilkan arca menggunakan bahan selain ais. Peralatan muzik ais yang masih elok disimpan dalam peti sejuk beku untuk digunakan pada musim sejuk akan datang.

“Jika sudah rosak teruk, mudah saja. Sama ada kami mengetuknya menggunakan tukul atau jemurkan saja di luar sehingga cair,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 10:40 AM