CUTI sekolah bukan bermakna pelajar bebas sepenuhnya dengan menutup buku atau melupakan tanggungjawab pada pelajaran. - Gambar hiasan
CUTI sekolah bukan bermakna pelajar bebas sepenuhnya dengan menutup buku atau melupakan tanggungjawab pada pelajaran. - Gambar hiasan
BAGI yang akan menamatkan persekolahan selepas habis peperiksaan utama, mereka boleh mengikuti latihan jangka pendek untuk mencari pengalaman baru.- Gambar hiasan
BAGI yang akan menamatkan persekolahan selepas habis peperiksaan utama, mereka boleh mengikuti latihan jangka pendek untuk mencari pengalaman baru.- Gambar hiasan
CUTI sekolah akan menjadi lebih bermanfaat jika melakukan aktiviti santai tapi mampu menjana kemampuan berfikir. - Gambar hiasan
CUTI sekolah akan menjadi lebih bermanfaat jika melakukan aktiviti santai tapi mampu menjana kemampuan berfikir. - Gambar hiasan
IBU bapa boleh membantu menyediakan aktiviti bermanfaat untuk anak meningkatkan kemahiran diri. - Gambar hiasan
IBU bapa boleh membantu menyediakan aktiviti bermanfaat untuk anak meningkatkan kemahiran diri. - Gambar hiasan
MENGULANG kaji secara santai membantu pelajar membuat
MENGULANG kaji secara santai membantu pelajar membuat
Oleh Ruhaiza Rusmin


Minggu ini bermulalah cuti persekolahan panjang bagi pelajar sekolah manakala beberapa minggu lagi peperiksaan utama yang sedang diduduki calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan berakhir.

Cuti yang panjang sudah tentu memerlukan perancangan agar dapat diisi dengan kegiatan bermanfaat bagi memastikan pelajar tidak membuang masa dengan perkara sia-sia.

Walaupun sukar menolak tanggapan mengaitkan cuti sekolah sebagai waktu pelajar bebas daripada kongkongan guru, sekolah, buku dan kerja rumah, perancangan rapi boleh membantu mereka merencana masa depan dengan lebih teratur dan sistematik.

Kaunselor Kanan, Pusat Perkhidmatan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Saiful Redza Mohamed berkata, memanfaatkan cuti sekolah dengan perancangan teliti boleh menguntungkan pelajar terutama mereka yang bakal menghadapi peperiksaan besar, tahun depan.

Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan cuti sekolah waktu untuk pelajar berehat, itu tidak bermakna mereka menutup terus buku dan langsung tidak mengulang kaji pelajaran.

“Sejak sekian lama, definisi cuti sekolah difahami pelajar ialah bebas daripada semua kegiatan berkaitan sekolah. Tak perlu belajar, bangun pagi, jumpa guru, buat kerja sekolah dan sebagainya.

“Sebenarnya definisi itu kurang tepat kerana cuti sekolah bukan semata-mata untuk berehat, tapi perlu melakukan persediaan untuk melangkah ke tahap pembelajaran atau pengajaran seterusnya,” katanya.

Menurutnya, cuti sekolah waktu terbaik untuk pelajar membuat persediaan berdepan cabaran belajar pada tahun berikutnya.

“Bagi pelajar sekolah, mereka boleh membuat persediaan untuk lebih memahami keperluan subjek tahun depan.

“Pelajar yang sudah habis peperiksaan besar pula boleh membuat persediaan mencari maklumat bagi merancang masa depan. Misalnya, cari maklumat mengenai universiti atau kolej untuk melanjutkan pengajian selepas keputusan peperiksaan diumumkan, bekerja sementara atau menyertai kursus jangka pendek,” katanya.

Saiful Redza berkata, dari segi psikologi, emosi pelajar yang sedang bercuti berada pada tahap santai dan membolehkan mereka membuat perancangan dengan lebih teliti.

“Kita tak boleh menolak hakikat sesi persekolahan waktu tekanan bagi pelajar kerana mereka diberi banyak bebanan pembelajaran. Cuti sekolah masa untuk melepaskan diri daripada bebanan itu.

“Pada cuti sekolah pelajar sudah tidak tertekan, jadi proses mengulang kaji atau perancangan dapat dilakukan dengan baik,” katanya.

Begitupun, katanya, pelajar tidak perlu tertekan sewaktu mengulang kaji pada cuti sekolah kerana ia boleh dilakukan mengikut keinginan.

“Yang penting jangan tinggalkan terus belajar pada cuti sekolah. Ini akan menyukarkan mereka mendapatkan rentak selepas sekolah dibuka,” katanya.

Beliau menyarankan pelajar yang sudah menamatkan persekolahan memanfaatkan cuti panjang sekitar enam bulan untuk meningkatkan kemahiran diri dengan kursus jangka pendek atau mencari pengalaman bekerja.

“Ketika menunggu keputusan SPM atau STPM, saya sarankan mereka mencari peluang meningkatkan kemahiran.

“Ia sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi atau memasuki alam pekerjaan jika sudah tidak minat belajar atau gagal mencapai keputusan baik.

“Yang penting, masa yang panjang itu perlu dimanfaatkan, bukannya terbazir begitu saja,” katanya.

Kepada ibu bapa pula, Saiful Redza menyarankan mereka memantau atau menyediakan aktiviti yang boleh membantu anak belajar secara tidak langsung.

“Saya faham, ramai ibu bapa tak mahu membebankan anak pada cuti sekolah, tapi kelompongan masa itu dikhuatiri boleh menyebabkan mereka terbabit dengan gejala sosial terutama jika ibu bapa bekerja.

“Cari alternatif untuk membantu seperti menghantar anak ke kem ibadah atau motivasi, belajar ilmu teknologi maklumat dan sebagainya.

“Persediaan seperti ini boleh membantu mereka memperkukuhkan kemahiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:32 AM