TEROKAI sains dengan mendekatkan kanak-kanak kepada alam semula jadi.
TEROKAI sains dengan mendekatkan kanak-kanak kepada alam semula jadi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SAINS ada di mana-mana di sekeliling kita sama ada dalam kawasan rumah, alam sekitar dan dalam tubuh sendiri.

Ia bukan sekadar subjek di sekolah kerana impak positif sains ke atas pembangunan kanak-kanak sebenarnya tidak terhitung nilainya.

Justeru, ada banyak sebab mengapa ibu bapa patut mengasah 'literasi sains' dalam diri anak-anak mereka.

Penemuan daripada tinjauan persepsi sains global 2021 oleh 3M yang bertajuk '3M State of Science Index' juga mendapati bahawa pandemik Covid-19 turut menarik perhatian ramai terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Hampir semua responden Asia Pasifik atau 91 peratus bersetuju bahawa dunia ini memerlukan lebih ramai individu dalam bidang kerjaya yang berkait dengan STEM.

Jadi, sebagai ibu bapa, cetuskan minat terhadap sains dalam diri anak dan ia sebenarnya boleh dilakukan dengan lima kaedah mudah yang menyeronokkan.

1) Teroka soalan anak anda dan cari jawapan bersama

Peluang terbaik untuk belajar mengenai suatu yang baharu adalah menerusi soalan yang diajukan oleh kanak-kanak.

Untuk jawapannya, ambil masa untuk menjelaskan mengenai konsep dan jika tidak pasti jawapannya, jadikan ia satu peluang untuk belajar sesuatu yang baharu.

Cari jawapan bersama anak dengan mengunjungi perpustakaan terdekat atau baca artikel yang ada dalam talian.

Pastikan anda merujuk sumber yang boleh dipercayai dan sahih serta manfaatkan penyemak fakta dalam talian untuk memastikan tidak membaca berita palsu.

Seterusnya, ibu bapa juga boleh bertanya soalan untuk menggalakkan proses pembelajaran dan penerokaan anak. Jangan mengelak soalan yang ditanya mereka.

Ambil peluang itu untuk meneroka sains bersama dan didik mereka mengenai kepentingan penyelidikan serta penemuan.

2) Luangkan masa bersama alam semula jadi

Apakah cara yang lebih baik untuk mengetahui 'bagaimana dan mengapa' daripada pemerhatian.

Jadi, bawa anak anda bersiar-siar di tapak rizab semula jadi atau zoo untuk meneroka hidupan liar atau berkhemah untuk mengalami keajaiban bumi kita.

AMBIL kesempatan sifat ingin tahu kanak-kanak dengan menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti yang praktikal.
AMBIL kesempatan sifat ingin tahu kanak-kanak dengan menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti yang praktikal.

Pada masa sama, ajar mereka mengenai fungsi geseran dengan bermain tarik tali dan sebagainya.

3) Mainan lakukan sendiri (DIY)

Meskipun teknologi adalah alat yang berguna untuk mempelajari sains, tetapi tidak salah jika kita mengetepikan penggunaannya sekali-sekala bagi menggalakkan kanak-kanak mencipta mainan mereka sendiri menggunakan apa yang ada di sekeliling.

Tinjauan Gallup yang membabitkan 1,036 guru, 2,673 ibu bapa dan 853 pelajar, mendapati bahawa pemupukan kreativiti dalam pendidikan adalah penting.

Ini kerana dengan menggalakkan kreativiti ketika belajar, ia dapat mengasah kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.

Selain berupaya untuk menyerap lebih banyak ilmu, pelajar juga boleh menjalinkan hubungan antara subjek dengan lebih baik, memahami dengan lebih mendalam mengenai sesuatu subjek dan mencapai prestasi yang lebih baik dalam peperiksaan.

4) Kunjungi muzium dan pameran sains secara virtual atau fizikal

Jangan ketinggalan untuk bawa anak anda bersiar-siar pada hujung minggu atau musim cuti sekolah bagi meneroka sains kerana ia adalah peluang yang baik untuk belajar dan meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.

Ada banyak muzium dan organisasi sains yang menganjurkan pelbagai jenis pameran, lawatan atau bengkel dalam talian di mana anda dan anak boleh sertai dari rumah.

5) Lakukan aktiviti praktikal

Mengambil kesempatan dengan sifat ingin tahu dalam diri kanak-kanak dengan menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti yang praktikal.

Jika perlu sumber yang lain, cuba lakukan eksperimen sains bersama anak di rumah.

Terokai bagaimana anda boleh menggunakan barangan yang terdapat di rumah untuk mempelajari mengenai prinsip teras sains yang informatif lagi menyeronokkan.

Cuba cipta roket kertas atau belajar menghasilkan efek bunga api yang menarik.

Dengan menggalakkan kanak-kanak untuk belajar dan mencintai sains, ia dapat membuka sebuah pengembaraan dan penjelajahan yang menyeronokkan lagi menguntungkan buat mereka - (SUMBER 3M)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 7:00 AM