MENGUTIP sampah bagi memastikan kebersihan Petaling Jaya.
MENGUTIP sampah bagi memastikan kebersihan Petaling Jaya.
Siti Nadirah Hafidzin


Apakah yang akan anda lakukan apabila melihat sampah bertaburan di lantai? Mungkin ada segelintir kita yang akan mengutipnya, tetapi dalam kebanyakan situasi, ramai membiarkan sampah mengotorkan kawasan seperti kaki lima atau sekitar ruang legar pusat beli-belah.

Dalam usaha menangani isu sampah dan meningkatkan tahap kebersihan bandar Petaling Jaya, Kelab Rotary Petaling Jaya (RCPJ) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan program Bersih PJ-PJ Kita, baru-baru ini.

Program dirasmikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain. Acara dimulakan dengan aktiviti kecergasan Zumba.

ORANG ramai berjalan sambil mengutip sampah dalam program ‘Bersih PJ-PJ Kita’, baru-baru ini.
ORANG ramai berjalan sambil mengutip sampah dalam program ‘Bersih PJ-PJ Kita’, baru-baru ini.

Wakil RCPJ berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan mewujudkan projek mampan bagi menjadikan persekitaran bersih dan ceria.

“RCPJ dan MBPJ berharap inisiatif itu dapat merangsang hubungan muhibah dalam kalangan penduduk dan pemilik perniagaan untuk mengekalkan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya bersih.

“Kami lakukan satu kajian mudah di sebuah pusat beli-belah di sini pada 15 September lalu dengan meletakkan sampah secara sengaja di lantai bagi menilai tahap kesedaran orang ramai untuk mengutip dan membersihkannya.

“Satu video turut dirakam untuk merekodkan individu yang mengutip sampah berkenaan dan mereka diberi penghargaan pada majlis pelancaran program ini,” katanya.

ANTARA program dijalankan ketika program ‘Bersih PJ-PJ Kita’, baru-baru ini.
ANTARA program dijalankan ketika program ‘Bersih PJ-PJ Kita’, baru-baru ini.

Selaras penganjuran program, acara berkenaan turut disertai pelajar daripada semua peringkat usia daripada enam sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Assunta, SMK Katholik, SMK Sri Aman, SMK Sultan Abdul Samad, SMK Bukit Bintang dan Sekolah Antarabangsa Beacon Sri Inai.

Dalam program ini, semua individu digalakkan mengutip sampah sebanyak mungkin di sekitar kawasan Petaling Jaya yang kemudian diasingkan untuk proses kitar semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 12:04 PM