Program penanaman pokok bersama guru dan pelajar Nagasaki Nichidai High School dari Jepun di Hutan Bandar Cyberjaya tidak lama dulu.
Program penanaman pokok bersama guru dan pelajar Nagasaki Nichidai High School dari Jepun di Hutan Bandar Cyberjaya tidak lama dulu.
Siti A’isyah Sukaimi

Cyberjaya: Di sebalik pembangunan yang pesat di bandar pintar ini, wujud satu lokasi dipenuhi pelbagai spesies pokok di tanah seluas 6.4 hektar atau lebih dikenali sebagai Hutan Bandar Cyberjaya.

Terletak di Jalan Teknokrat berhampiran bangunan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MEASAT) dan Universiti LimKokWing, lokasi berkenaan juga sebagai tempat penggantian pokok yang sudah ditebang sekitar daerah Sepang.

Ketua Unit Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Afra’ Fardillah Zai Mustapar berkata, sejak diisytiharkan pada November 2009, sehingga kini sebanyak 6,000 pokok sudah ditanam di lokasi berkenaan.

“Pokok yang ditanam ini membabitkan pelbagai jenis termasuk spesies hutan serta 250 pokok buah-buahan ditanam menerusi aktiviti dijalankan di situ.

“Justeru, kita menyasarkan untuk mencapai sebanyak 20,000 pokok pelbagai spesies ditanam di lokasi berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

 Pusat Kitar Semula Cyberjaya yang menerima Anugerah Rekabentuk Silver A bagi kategori Produk, Projek dan Rekabentuk Hijau Lestari di Itali, baru-baru ini.
Pusat Kitar Semula Cyberjaya yang menerima Anugerah Rekabentuk Silver A bagi kategori Produk, Projek dan Rekabentuk Hijau Lestari di Itali, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pemprosesan semula jadi ‘mulching’ atau sungkupan turut dilakukan di hutan bandar berkenaan.

‘Mulching’ atau sungkupan adalah satu kaedah boleh digunakan untuk melawan hakisan menerusi cara menutupi permukaan tanah dengan menabur bahan organik seperti rumput kering atau jerami atas permukaan tanah terdedah.

Penanaman pokok adalah satu daripada Program Agenda Tempatan 21 atau Local Agenda 21 (LA21) sama seperti Dusun Komuniti, Kebun Kejiranan, Program Kitar Semula, Zon Bersih dan Program Bandar Selamat.

LA21 adalah satu program untuk masyarakat, sektor swasta dan kerajaan bekerjasama untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan dalam aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Ia juga satu program untuk membentuk perkongsian antara pihak berkuasa tempatan (PBT) masyarakat dan sektor swasta seterusnya membentuk pelan tindakan dan pelaksanaannya berasaskan bottom up planning iaitu penduduk tempatan akan menentukan pelan tindakan masing-masing bagi kawasan mereka.

Masyarakat tempatan membabitkan diri, mengenal pasti dan mengkaji isu pembangunan mampan dan seterusnya membentuk pelan tindakan dan melaksanakan secara bersama.

Pihak MPSepang menjadikan Local Agenda 21 antara jawatankuasa kecil di bawah Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:20 PM