MUHAMMAD Hizwan menunjukkan replika cek dimenangi bagi Kategori Kanak-kanak dalam Anugerah Komuniti Mampan 2017.
MUHAMMAD Hizwan menunjukkan replika cek dimenangi bagi Kategori Kanak-kanak dalam Anugerah Komuniti Mampan 2017.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Usianya baru 13 tahun tetapi mempunyai kemampuan berfikir di luar kotak yang mengagumkan.

Remaja yang boleh dianggap saintis muda ini berjaya mencipta satu kaedah sains menggunakan katak bagi mengurangkan populasi nyamuk di sebuah taman rekreasi I-Play Park Damansara Damai (IPPDD).

Ia dinamakan Projek Konservasi Katak dan Kodok apabila haiwan terbabit dipelihara di IPPDD.

Lebih membanggakan idea projek Muhammad Hizwan Mohd Fikri itu dinobatkan sebagai pemenang terbaik bagi kategori kanak-kanak bawah 18 tahun dalam Anugerah Komuniti Mampan 2017.

Kejayaan itu melayakkan Muhammad Hizwan menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil berserta trofi yang disampaikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, baru-baru ini.

Anugerah anjuran MBPJ kali ke-16 itu turut menganugerahkan kategori belia (individu dan kumpulan), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan rukun tetangga.

Muhammad Hazwan yang juga pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan berkata, dia adalah ahli Briged Rimba Hijau di IPPDD dan mendapati terdapat banyak nyamuk setiap kali melakukan aktiviti di kawasan rekreasi berkenaan.

MOHD Azizi melawat tapak pameran pada majlis Anugerah Komuniti Mampan 2017, baru-baru ini.
MOHD Azizi melawat tapak pameran pada majlis Anugerah Komuniti Mampan 2017, baru-baru ini.

“Idea menggunakan katak atau nama saintifiknya, anura bagi mengawal populasi serangga berbahaya dan nyamuk di IPPDD tercetus menerusi pembacaan buku berkenaan alam sekitar.

“Katak perlu dipelihara di pusat kegiatan lestari dan hutan pendidikan,” katanya kepada Nuansa.

Berkongsi lanjut berkenaan projek itu Muhammad Hazwan berkata, haiwan terbabit akan dipelihara di rumah katak yang dibina menggunakan barangan terpakai seperti pasu, dan kotak kayu.

Katanya, selepas katak membiak dan populasinya bertambah, nyamuk dan serangga lain pun akan berkurangan kerana dimakan haiwan berkenaan.

“Selain itu, projek ini boleh memberi pengetahuan kepada generasi muda berkenaan kepentingan dan keistimewaan katak.

“Salah satunya ialah setiap spesies katak mempunyai suara panggilan yang unik dan berbeza,” katanya.

Menurutnya, apabila nyamuk berkurangan, sudah tentu orang ramai akan berasa selesa melakukan aktiviti, beriadah dan mengunjungi IPPDD.

Katanya, hadiah kemenangan itu akan digunakan untuk membeli katak dan kelengkapan membiakkan haiwan berkenaan bermula tahun hadapan.

MOHD Azizi (kanan berdiri) bergambar bersama pemenang.
MOHD Azizi (kanan berdiri) bergambar bersama pemenang.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, Anugerah Komuniti Mampan adalah program tahunan yang diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada inisiatif dan pencapaian komuniti cemerlang dalam menambah baik kualiti alam sekitar dan kemampanan komuniti ke arah mencapai wawasan Sustainable Petaling Jaya 2030.

Beliau berkata, penganjuran kali ini agak istimewa kerana memperkenalkan dua kategori baru iaitu Kategori Kanak-kanak bawah 18 tahun dan Kategori Belia (18 hingga 35 tahun).

“Ini kerana mereka adalah golongan yang bakal membentuk masa hadapan penduduk di Petaling Jaya. Program ini dapat meningkatkan kreativiti dan kemahiran merancang projek dalam kalangan komuniti untuk diketengahkan kepada MBPJ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 10:53 AM