GLAUKOMA adalah penyakit apabila saraf utama mata rosak dan menyebabkan hilang penglihatan.
GLAUKOMA adalah penyakit apabila saraf utama mata rosak dan menyebabkan hilang penglihatan.
Siti Nadirah Hafidzin

Apa yang anda tahu mengenai glaukoma? Rasanya ramai tahu glaukoma adalah penyakit berkaitan mata, tetapi untuk menerangkannya, rata-rata perlu membaca atau membuat rujukan terlebih dulu.

Menurut Persatuan Glaukoma Antarabangsa, glaukoma ialah nama yang diberikan kepada sekumpulan penyakit mata apabila saraf utama mata (saraf optik) rosak dan menyebabkan hilangnya penglihatan.

Saraf ini membawa maklumat mengenai imej yang dilihat dari mata ke otak dan apabila ia semakin terjejas, daya penglihatan turut terjejas. Kesannya, penglihatan menjadi berkabut dan tidak sekata, yang akhirnya menyebabkan kehilangan penglihatan pusat, walaupun keadaan ini jarang berlaku.

Glaukoma kini semakin lazim dan menjadi punca utama buta, seiring peningkatan usia penduduk dunia. Statistik baru yang dikumpulkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan glaukoma adalah punca buta kedua utama di peringkat global selepas katarak.

Dianggarkan menjelang 2020, hampir 80 juta individu menghidap glaukoma, iaitu peningkatan sebanyak 20 juta sejak 2010.

Tambahan lagi, dianggarkan pada masa ini, lebih lapan juta individu yang menjadi buta bilateral (buta kedua-dua belah mata) akibat glaukoma, angka yang dijangka meningkat kepada lebih 11 juta menjelang 2020 memandangkan kadar kelazimannya yang terus meningkat, melainkan pemeriksaan dan strategi rawatan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ada empat jenis glaukoma yang utama iaitu: glaukoma sudut terbuka utama, glaukoma penutupan sudut utama, glaukoma sekunder dan glaukoma perkembangan.

Glaukoma sudut terbuka utama (POAG) ialah bentuk glaukoma paling umum di mana kerosakan biasanya disebabkan tekanan terlalu tinggi di dalam mata (tekanan intraokular atau IOP).

Peningkatan tekanan biasanya disebabkan penyaliran keluar cecair yang kurang baik dari mata, yang diperlukan untuk fungsi mata yang sihat.

Tekanan lebih tinggi merosakkan saraf optik (saraf penglihatan) dengan mengurangkan jumlah darah yang boleh melalui saluran darah kecil yang menjadi pembekal kepada saraf dan juga memampatkan saraf itu sendiri.

Cara mengesan glaukoma

Pengesanan awal menjadi kunci kepada pengurusan dan usaha mengurangkan kesan glaukoma. Oleh itu, pemeriksaan berkala disyorkan terutama apabila memasuki usia emas.

Beberapa gejala glaukoma termasuk penglihatan kabur, sakit mata atau kepala, loya atau muntah-muntah, kemunculan lingkaran pelangi di keliling cahaya terang dan dalam kes yang terlampau atau serius, kehilangan penglihatan secara tiba-tiba.

Walaupun sebarang penglihatan yang hilang kerana glaukoma tidak boleh pulih, namun diagnosis awal, pemantauan teliti dan rawatan berkala membolehkan sebilangan besar pesakit glaukoma mengekalkan tahap penglihatan yang berguna untuk hidup.

Satu-satunya cara mengenal pasti glaukoma ialah berjumpa pakar oftalmologi berhampiran untuk menjalani pemeriksaan mata.

Apabila anda berjumpa pakar mata, ada tiga ujian umum yang boleh dilakukan iaitu:

1. Oftalmoskopi: Melihat penampilan saraf utama dalam mata (saraf optik)

2. Tonometri: Mengukur tekanan dalam mata

3. Perimetri: Memeriksa medan penglihatan

Rawatan dan cabaran

Sebahagian besar pesakit glaukoma akan dirawat dengan ubat titisan mata. Jika titisan mata tidak berkesan untuk mengurangkan tekanan mata, rawatan laser atau pembedahan glaukoma mungkin diperlukan.

Ada beberapa cabaran dalam usaha menguruskan glaukoma. Pesakit pada peringkat penyakit yang lebih lanjut biasanya memerlukan lebih daripada satu ubat untuk mengawal IOP dan memastikan keadaan mereka terkawal.

Bagaimanapun, kaedah rawatan berbilang ubat bagi glaukoma menimbulkan pelbagai cabaran klinikal yang ketara antaranya:

1. Ia mungkin mewujudkan kesan negatif dari segi pematuhan pesakit (iaitu setakat mana pesakit terus menjalani rawatan yang dipersetujui tanpa pengawasan teliti).

2. Mengurangkan keberkesanan kerana kesan pencairan ubat terdahulu apabila ubat lain diberikan kemudian

3. Pendedahan kepada pengawet.

4. Pematuhan pesakit kepada rawatan adalah penting untuk mencapai kawalan IOP yang baik dan melambatkan kemaraan penyakit (penyakit bertambah teruk). Malangnya, kajian mendapati kadar pematuhan adalah di bawah piawaian optimum.

5. Kajian menunjukkan walaupun 49 peratus daripada pesakit yang menggunakan satu ubat untuk merawat glaukoma mematuhi rawatan, hanya 32 peratus daripada mereka yang menggunakan kombinasi dua ubat mematuhinya. Lebih banyak ubat yang diberikan kepada seorang pesakit, lebih tinggi kemungkinan kegagalan mereka mematuhi jadual pengambilan ubat.

Agensi Ubat Eropah mengesyorkan supaya pengawet tidak digunakan oleh dua kumpulan pesakit:

1. Mereka yang tidak toleran titisan mata dengan pengawet

2. Mereka yang memerlukan rawatan jangka panjang.

Bersempena Hari Penglihatan Sedunia pada 12 Oktober ini, Santen Pharma Malaysia melancarkan titisan mata tanpa pengawet Prostaglandin/ Timolol Kombinasi Tetap (PTFC) untuk meningkatkan keberkesanan rawatan dalam kalangan sebilangan besar penghidap glaukoma di Malaysia.

DARI kiri, Tomoyuki, Fong, Dr Fang,  Dr Gabor, Dr Mohd Azis dan Lim.
DARI kiri, Tomoyuki, Fong, Dr Fang, Dr Gabor, Dr Mohd Azis dan Lim.

Hadir sama dalam majlis pelancaran berkenaan adalah Naib Presiden Santen Pharma Tomoyuki Yoshida, Presiden Persatuan Oftamologi Malaysia Kenneth Fong, Pakar Perunding Oftamologi dan Pakar Glaukoma Dr Fang Seng Kheong, wakil Sammelweis University Prof Dr Gabor Hollo, Timbalan Ketua Perkhidmatan Oftamologi Kementerian Kesihatan Dr Mohd Azis Husni dan Pengarah Urusan Santen Pharma Malaysia Denver Lim.

Formula antiglaukoma kombinasi tetap tanpa pengawet dengan dos sekali sehari ini dapat menangani dua penghalang utama yang mempengaruhi pematuhan rawatan glaukoma jangka panjang. Formula baru yang meringkaskan kaedah rawatan ini juga mampu mencegah kesan sampingan yang disebabkan oleh pendedahan berlarutan kepada pengawet

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 1:57 PM