BUAT pemeriksaan mata secara berkala jika perlu memakan ubat-ubatan mengandungi sediaan steroid.
BUAT pemeriksaan mata secara berkala jika perlu memakan ubat-ubatan mengandungi sediaan steroid.

DEWASA ini, segelintir individu direkodkan mengalami kebutaan kekal akibat penggunaan ubat-ubatan atau makanan tambahan mengandungi steroid tanpa mereka menyedari bahayanya.

Ini kerana, kebutaan dialami amat perlahan dan tidak disedari pesakit pada peringkat awal.

Kekurangan penglihatan biasanya disedari apabila kerosakan saraf mata mencapai tahap teruk dan membahayakan penglihatan.

Sediaan steroid ini mencuri penglihatan dengan menyebabkan peningkatan tekanan mata dan menyebabkan penyakit dikenali sebagai glaukoma.

Hampir 30 peratus dalam kalangan masyarakat berisiko mendapat komplikasi ini.

Individu mempunyai sejarah keluarga menghidap glaukoma, memakai cermin mata berkuasa tinggi, kanak-kanak dan orang muda, pesakit menggunakan sediaan steroid untuk rawatan ekzema, asma atau mata gatal lebih berisiko untuk mendapat komplikasi ini.

Bahan yang mengandungi steroid boleh terdapat dalam pelbagai bentuk.

Sama ada diberi oleh pengamal perubatan atau dalam bentuk makanan tambahan, minuman pracampur menguatkan tenaga seperti kopi dan teh dengan tambahan ramuan herba atau ubatan tradisional seperti majun, tonik atau jamu.

Ubatan mengandungi steroid yang diberi pengamal perubatan boleh terdapat dalam bentuk ubat titis mata, pil, ubat sapuan di kulit, ubat inhaler atau spray hidung.

Ubat-ubatan ini diberikan untuk merawat pelbagai penyakit seperti asma, ekzema, alahan, penyakit autoimun dan sebagainya.

Biasanya doktor memantau pesakit diberi ubatan seperti ini untuk memastikan tekanan mata tidak meningkat yang boleh membahayakan saraf mata.

Namun tiada pemantauan untuk pengambilan sediaan lain seperti makanan tambahan, kopi dan teh serta ubatan tradisional.

Individu mengambil sediaan ini secara berterusan berisiko mendapat penyakit glaukoma yang boleh menyebabkan kebutaan kekal jika tidak dirawat.

Ada pesakit membeli dan menggunakan ubatan pernah diberi doktor secara berterusan tanpa pemantauan yang akhirnya menyebabkan penyakit glaukoma dan kebutaan.

Peningkatan tekanan mata berlaku kerana kerosakan struktur mata yang bertanggungjawab mengalirkan bendalir keluar dari dalam mata, mengakibatkan bendalir ini terkumpul di dalam mata.

Ramai juga tidak mengalami gejala atau gejala ringan seperti sakit kepala, sakit mata yang senak dan kabur penglihatan.

Gangguan penglihatan lain seperti silau apabila melihat cahaya atau sensitif kepada cahaya terang juga boleh berlaku.

Namun oleh kerana sebahagian besar pesakit tidak mengalami apa-apa gejala, glaukoma juga dikenali sebagai pencuri senyap penglihatan.

Peningkatan tekanan mata ini akan merosakkan saraf mata mengakibatkan medan penglihatan terjejas.

Medan penglihatan akan hilang sedikit demi sedikit bermula di bahagian luar sebelum menjejaskan medan penglihatan di tengah.

Kehilangan medan penglihatan inilah yang menjejaskan penglihatan dan menyebabkan pesakit hanya boleh melihat melalui ruang yang kecil sahaja sebelum penglihatan hilang sepenuhnya jika tidak dirawat.

Mengelakkan dari mengambil sediaan seperti ini adalah yang terbaik.

Namun apabila pesakit mengambil sediaan ini untuk jangka masa lama dan saraf mata sudah rosak dengan teruk, rawatan pertama diberi ialah ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan mata, sama ada dalam bentuk ubat titis mata atau ubat yang ditelan.

Jika rawatan ini tidak berjaya mengawal tekanan mata, pembedahan perlu dilakukan bagi menurunkan tekanan mata ke tahap selamat untuk melindungi saraf mata.

Malangnya, penglihatan yang hilang tidak dapat dikembalikan semula walaupun tekanan mata dikawal.

Matlamat rawatan pada peringkat ini untuk memastikan penglihatan yang masih ada dikekalkan dan tidak terus hilang.

Bagaimana untuk mengelakkan komplikasi ini? Cakna dan pekalah dengan apa yang anda gunakan.

Bertanya kepada doktor apa kandungan ubat diberi, elak memakan produk kesihatan tidak diketahui dengan jelas isi kandungannya.

Buat pemeriksaan mata secara berkala jika anda perlu memakan ubat-ubatan mengandungi sediaan steroid.

Disediakan oleh

Prof Madya Dr Norshamsiah Md Din

Pakar Perunding Oftalmologi

Fakulti Perubatan

Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 6:30 AM