Yan Novikov, CEO Almaz-Antey. - Foto EPA
Yan Novikov, CEO Almaz-Antey. - Foto EPA
Sidang media Almaz-Antey, pengeluar peluru berpandu BUK yang menafikan peluru berpandu Russia menembak jatuh MH17. - Foto  REUTERS
Sidang media Almaz-Antey, pengeluar peluru berpandu BUK yang menafikan peluru berpandu Russia menembak jatuh MH17. - Foto REUTERS

Moscow: Syarikat pengeluar senjata Russia, Almaz-Antey, yang dikawal kerajaan menyatakan hasil siasatannya terhadap kejadian pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine, bertentangan dengan keputusan siasatan pasukan antarabangsa diketuai Belanda.

Ukraine dan negara Barat menegaskan pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatan Russia dari kawasan dikuasai pemberontak pada 17 Julai 2014, membunuh 298 orang.

Menurut kenyataan the Almaz-Antey, siasatan Belanda mendapati pesawat Boeing 777 itu ditembak oleh peluru berpandu BUK yang penembusannya seperti huruf I.

Bagaimanapun, menurut Almaz-Antey, ia melakukan dua ujian dengan satu peluru berpandu BUK diletupkan dekat muncung pesawat yang sama seperti Boeing 777 tetapi corak kerosakan berbeza.

Muncung pesawat ujian itu menunjukkan corak kerosakan berbeza berbanding apa yang berlaku terhadap MH17.

Ujian itu juga menolak versi Belanda bahawa peluru berpandu ditembak dari Snizhne, perkampungan dikawal pemberontak kerana menurut Almaz-Antey, siasatan pada Jun lalu, menunjukkan MH17 ditembak oleh peluru berpandu BUK yang tidak lagi digunakan tentera Russia tetapi sebahagian simpanan senjata tentera Ukraine.

Pada sidang media di Moscow hari ini, CEO Almaz-Antey, Yan Novikov, berkata maklumat hasil ujian tembakan terhadap kepingan aluminium seperti badan pesawat MH17 diserahkan kepada kepada penyiasat Belanda namun tidak dipedulikan.

Menurut Novikov, bukti menunjukkan jika pesawat ditembak oleh BUK, peluru berpandu itu ditembak dari perkampungan Zaroshenske yang menurut Russia dikawal kerajaan Ukraine. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 10:17 PM