RISHI Sunak. FOTO AFP
RISHI Sunak. FOTO AFP
BERNAMA

London: Seorang pegawai keselamatan Perdana Menteri Britain Rishi Sunak ditahan kerana didakwa membuat pertaruhan mengenai masa pilihan raya umum Britain, lapor United Press International (UPI).

Polis Metropolitan pada Rabu mengesahkan bahawa mereka menggantung dan menahan seorang konstabel polis dari Komando Perlindungan Diraja dan Pakar kerana disyaki melakukan salah laku dalam tugas awam.

Penahanan itu berlaku semasa siasatan Suruhanjaya Perjudian mengenai dakwaan pertaruhan berkaitan masa pilihan raya umum, menurut laporan BBC pada Rabu.

Badan pemantau pertaruhan itu menghubungi Polis Metropolitan mengenai pegawai berkenaan minggu lepas.

Pegawai itu ditahan pada Isnin kerana disyaki melakukan salah laku dalam tugas awam. Dia kemudian diberi jaminan, sementara menunggu siasatan lanjut, menurut kenyataan Polis Metropolitan.

Suruhanjaya Perjudian terus mengetuai siasatan terhadap kesalahan pertaruhan yang didakwa.

Penahanan itu berlaku selepas seorang pembantu kanan kepada Sunak mengakui minggu lepas bahawa dia juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Perjudian.

Calon Tory, Craig Williams, setiausaha peribadi parlimen Sunak, dituduh membuat pertaruhan pada pilihan raya Julai.

Perdana menteri, baru-baru ini, mengumumkan bahawa pilihan raya umum Britain akan berlangsung pada 4 Julai untuk memilih ahli Parlimen ke Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 3:49 PM