PESERTA demonstrasi di London bagi mendesak gencatan senjata di Gaza. FOTO AFP
PESERTA demonstrasi di London bagi mendesak gencatan senjata di Gaza. FOTO AFP
AFP

London: Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di ibu negara Britain, semalam, bagi menuntut gencatan senjata di Gaza dan lebih banyak kemasukan bantuan untuk wilayah yang dilanda perang itu.

Acara dianjurkan Kempen Solidariti Palestin itu bermula di Dataran Russell di pusat bandar, sebelum orang ramai berarak ke Dataran Trafalgar untuk perhimpunan pada sebelah tengah hari.

Sebilangan kecil penunjuk perasaan juga hadir untuk protes balas menyokong Israel, dengan barisan polis memisahkan kedua-dua perhimpunan itu.

Pesara pekerja sosial, Sally Worgan, 65, mengembara dari Gloucestershire di barat England untuk menyertai perhimpunan itu,.

"Saya rasa penting bagi rakyat Palestin untuk mengetahui orang ramai menyokong mereka. Mereka tidak bersendirian," katanya.

Sementara itu, wakil penganjur, Ben Jamal pula berkata, mereka akan terus menyertai perhimpunan seumpama itu bagi menuntut gencatan senjata di Gaza.

"Kami akan terus berarak.

"Kami merekodkan, 70 peratus orang awam British mengikut tinjauan pendapat menyokong tuntutan yang kami buat.

"Orang ramai mahukan gencatan senjata kekal dan lebih banyak bantuan dihantar kepada rakyat Palestin di Gaza," katanya kepada Sky News.

Polis Metropolitan London berkata, pihaknya menahan empat orang kerana jenayah benci, ketenteraman awam dan kesalahan keganasan, semalam.

Katanya, seorang lelaki ditahan atas kesalahan keganasan berkaitan dengan menjemput sokongan untuk organisasi yang dilarang.

Timbalan Asisten Komisioner Andy Valentine berkata, semalam hari yang sibuk dengan beberapa acara lain berlangsung di seluruh ibu negara.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa sahaja yang berniat melakukan jenayah atau menyebabkan sebarang bentuk kekacauan atau tingkah laku antisosial," katanya dalam satu kenyataan.

London menyaksikan banyak protes pro-Palestin berskala besar dan demonstrasi balas pro-Israel yang lebih kecil sejak perang 7 Oktober lalu.

Perhimpunan untuk rakyat Palestin terbukti menjadi perbalahan, menarik kritikan kerana mencetuskan persekitaran yang bermusuhan terhadap orang Yahudi.

Beberapa penggubal undang-undang Konservatif yang memerintah melabelkan mereka sebagai perarakan kebencian.

Polis membuat puluhan tangkapan sepanjang bulan itu kerana melaungkan dan sepanduk anti-Semitik, mempromosikan organisasi yang dilarang dan menyerang pekerja kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 12:32 PM