DUA Lipa, FOTO AFP
DUA Lipa, FOTO AFP
AFP

London: Penyanyi pop Britain-Albania, Dua Lipa, mengutuk serangan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai selepas protes baharu pro-Palestin berlaku di bandar ini yang menyaksikan puluhan orang ditangkap.

"Membakar kanak-kanak hidup-hidup, tidak boleh dibenarkan.

"Seluruh dunia bergerak untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai Israel," tulis penyanyi itu menerusi hantaran di Instagram (IG) lewat Selasa dengan tanda pagar "#AllEyesOnRafah", yang tular di media sosial.

Operasi ketenteraan Israel di Gaza, kini tertumpu di Rafah, mencetuskan tindak balas baharu selepas pegawai Gaza berkata, serangan Israel pada hujung minggu ini membakar kem pelarian yang sesak hingga membunuh 45 orang.

Sementara itu, pelakon Amerika Syarikat (AS) Pedro Pascal dan model, Bella Hadid juga menyiarkan grafik dengan "All eyes on Rafah" di IG.

Bella juga lantang mengenai sokongannya terhadap hak Palestin, dan juga menyebut serangan Israel sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Pada 2021, sebelum konflik Israel-Hamas meningkat pada Oktober lalu, Dua Lipa, Bella dan kakaknya, Gigi Hadid disifatkan sebagai anti-Semitik dalam iklan yang diterbitkan dalam The New York Times oleh kumpulan Yahudi bernama World Values ​​Network.

Dua Lipa dalam reaksi terhadap iklan itu berkata, ia dakwaan palsu yang dilemparkan terhadapnya.

Walaupun sensasi pop kelahiran Kosovo itu mengkritik perang di Gaza dan menjadi penyokong lantang hak Palestin, ia adalah kritikan paling lantangnya terhadap tindakan Israel.

Januari lalu, Lipa menyeru gencatan senjata kemanusiaan ketika ditemu bual majalah Rolling Stone.

Lipa sebelum ini menandatangani surat terbuka kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang menyeru dihentikan pengeboman Gaza dan pembebasan selamat tebusan.

Seramai 40 orang ditangkap pada malam Selasa di sini, berikutan demonstrasi pro-Palestin disertai 10,000 orang, kata polis United Kingdom (UK).

Sementara itu, bintang rock, Paul Weller; penyanyi rap, Stormzy dan pelakon, Tilda Swinton antara selebriti Britain, yang sebelum ini menggesa gencatan senjata di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 10:48 AM