ORANG ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan pro-Palestin di Pristina, Kosovo.
ORANG ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan pro-Palestin di Pristina, Kosovo.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Empat puluh dua hari berdarah sudah berlalu. Seluruh dunia tidak berputus asa menyuarakan penentangan terhadap Israel yang berterusan melakukan pembersihan etnik di Semenanjung Gaza, Palestin.

Palestin yang terus 'dibantai' dalam konflik genosid sejak 7 Oktober lalu, meraih sokongan padu komuniti antarabangsa tidak kira bangsa atau agama apabila pelbagai demonstrasi dan perhimpunan giat dilancarkan di seluruh dunia setiap hari.

Himpunan aman dilakukan sebagai protes terhadap tindakan melampau Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai termasuk menyasarkan hospital, sekolah, rumah ibadat dan infrastruktur penting selain memutuskan sumber bekalan termasuk air, elektrik dan bahan api dan makanan di penjara terbesar dunia itu.

Tindakan zalim berterusan tentera Israel itu mencetuskan kemarahan penduduk dunia dengan protes turut diadakan di jalanan serta di depan Kedutaan Amerika Syarikat dan Israel serta parlimen di beberapa negara bagi menuntut gencatan senjata.

Sambil mengibarkan bendera Palestin serta membawa sepanduk dan plakad, tujuan mereka antara lain mahukan hak rakyat Palestin dikembalikan termasuk kemerdekaan tanah air yang dijajah sejak 75 tahun lalu selain memboikot Israel.

SEORANG aktivis di Seoul, Korea Selatan meletakkan bunga  di dalam kasut menandakan rakyat Palestin yang terkorban.
SEORANG aktivis di Seoul, Korea Selatan meletakkan bunga di dalam kasut menandakan rakyat Palestin yang terkorban.

Sejak perang itu meletus, demonstrasi pro-Palestin banyak dilakukan di ibu negara di Eropah hinggalah ke negara Islam. Usaha membantah penindasan terhadap Palestin itu sekali gus menjadi tajuk utama media.

Himpunan jutaan manusia itu dilakukan di Washington, Amerika Syarikat (AS); London, United Kingdom (UK); Berlin, Jerman; Milan dan Rom di Itali, Copenhagen, Denmark serta Stockholm, Sweden.

Lautan manusia turut berhimpun di Dhaka, Bangladesh; Karachi, Pakistan; Amman, Jordan; Doha, Qatar; Beirut, Lubnan; Tunis, Tunisia; Sanaa, Yaman; Kaherah, Mesir dan Damsyik, Syria bagi mengecam tindakan Israel selain menyokong kemerdekaan Palestin.

Semestinya Turkiye yang lantang menyuarakan isu Palestin tidak berkecuali apabila perhimpunan terbesar dianjurkan di ibu negara dengan diketuai Presidennya, Recep Tayyip Erdogan.

Sesetengah bandar di Perancis mengharamkan perhimpunan menyokong Palestin berikutan bimbang tercetus ketegangan. Namun penduduk tidak putus asa dengan mengadakan perarakan kecil-kecilan seperti di bandar selatan Marseille.

PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika perhimpunan menyokong Palestin yang diadakan di depan bangunan Parlimen, London.
PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika perhimpunan menyokong Palestin yang diadakan di depan bangunan Parlimen, London.

India turut menyekat perhimpunan menyuarakan isu Palestin, namun protes dan perarakan kecil tetap diadakan di beberapa bandar seperti di Gujarat, Jaipur, Mumbai dan New Delhi.

Malah, Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan mengetuai perhimpunan besar-besaran anjuran parti politik, aktivis hak asasi manusia, kumpulan budaya dan organisasi Islam di Kozhikode, minggu lalu bagi menuntut gencatan senjata segera ke atas Palestin.

Sokongan terhadap Palestin diteruskan lagi dengan lebih 21,000 orang berhimpun di Brussels, Belgium Sabtu lalu, bagi menuntut gencatan senjata dan koridor keamanan untuk Palestin.

Tindakan demonstrasi pro-Palestin sama turut diadakan di London yang menyaksikan kira-kira 300,000 orang berarak sekali gus menjadi perhimpunan terbesar di negara itu sejak konflik Asia Barat itu tercetus.

Pada masa sama, lautan manusia berhimpun di depan Parlimen di London, Rabu lalu bagi menuntut gencatan senjata ke atas Semenanjung Gaza.

Sebelum itu, penduduk Malaysia serta negara serantau seperti Filipina dan Indonesia turut mengadakan pelbagai demonstrasi dan perhimpunan aman sebagai solidariti terhadap Palestin.

Turut tidak berkecuali, penduduk di New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Iraq menyatakan pendirian mereka menyokong Palestin dan menentang keganasan Israel.

Penduduk Gaza berdepan kebuluran

"Biarpun serangan Israel memasuki hari ke 42 semalam tidak menampakkan titik penamatnya namun sokongan meluas masyarakat dunia sedikit sebanyak memberi kekuatan untuk kami terus bertahan dan berjuang," Pengerusi Muslim Care Malaysia Cawangan Palestin Abu Ayesh Al Najjar.

Menurutnya, pembunuhan demi pembunuhan kejam dilakukan tentera Israel terhadap penduduk Palestin adalah siri penghapusan genosid terbesar terhadap penduduk Islam dunia.

"Hampir 2.3 juta penduduk di Semenanjung Gaza kini berdepan isu kebuluran mendesak. Bekalan makanan dan air bersih seolah-olah tidak wujud.

"Dengan musim sejuk yang semakin hampir, penduduk Gaza kian terhimpit di kem pelarian dan perlindungan yang sesak.

"Sokongan berterusan masyarakat dunia terhadap kami rakyat Palestin amat diperlukan hingga penjajah Israel ini berundur dari Gaza," katanya.

AKTIVIS di Washington, Amerika Syarikat mendesak gencatan senjata serta-merta di antara Hamas-Israel.
AKTIVIS di Washington, Amerika Syarikat mendesak gencatan senjata serta-merta di antara Hamas-Israel.

Sementara itu wakil penduduk Gaza, Belal J A Mahmoud berkata, agak mengecewakan apabila masih ada segelintir negara maju dan rakyatnya yang menyokong kekejaman Israel.

Menurutnya, negara pro Israel ini melihat dan melabelkan penduduk Palestin sebagai pengganas dunia selain prejudis terhadap nasib dialami penduduk Gaza yang ditindas.

"Malah lebih menyedihkan ada negara Islam yang menghalang sebarang bentuk demonstrasi bagi menyokong Palestin kepada rakyatnya.

"Hakikatnya rakyat Palestin sudah mengorbankan segalanya demi pembebasan negara berdaulat ini dan Masjidil Aqsa. Pengorbanan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Sokongan dunia perlu bagi menghentikan pertumpahan darah, mencegah pencerobohan serta menyumbang kepada pembinaan semula Gaza.

"Sebagai saudara seagama, ia ibarat satu tubuh. Apabila satu organ menderita maka seluruh badan akan bertindak balas. Hanya dengan bersatu hati, kelaziman ini dapat dihentikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 6:46 AM