WABAK campak yang melanda tengah England berisiko merebak ke bandar lain disebabkan kadar vaksinasi rendah. FOTO AFP.
WABAK campak yang melanda tengah England berisiko merebak ke bandar lain disebabkan kadar vaksinasi rendah. FOTO AFP.
Reuters

London: Agensi kesihatan awam Britain memberi amaran wabak campak di tengah England boleh merebak ke bandar lain, melainkan tindakan segera diambil untuk meningkatkan pengambilan vaksin.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengisytiharkan wabak itu sebagai insiden nasional, yang menandakan risiko kesihatan awam semakin meningkat.

Katanya, terdapat 216 kes yang disahkan dan 103 kes berkemungkinan campak dilapor di West Midlands sejak 1 Oktober lalu dengan majoriti pesakit kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Ketua Eksekutif UKHSA, Jenny Harries berkata, risiko dapat dielak dengan pengambilan vaksin.

"Dengan pengambilan vaksin di beberapa kawasan komuniti yang sangat rendah, kini terdapat risiko nyata untuk lihat virus ini merebak ke bandar-bandar lain," katanya.

Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) November lalu mendedahkan, terdapat peningkatan tahunan 'mengejutkan' dalam kes demam campak dan kematian di seluruh dunia pada 2022.

Harries berkata, tindakan segera perlu dilaksana untuk meningkatkan pengambilan vaksin MMR di kawasan berkadar rendah.

"Kami memerlukan usaha bersepadu jangka panjang untuk melindungi individu dan mencegah wabak campak daripada menular," tambahnya.

Di Britain, MMR adalah sebahagian daripada rutin program imunisasi kanak-kanak yang ditawar Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Tahun lalu, UKHSA berkata, terdapat kawasan dan kumpulan komuniti di London yang merekod capaian dos pertama vaksin MMR bagi kanak-kanak dua tahun serendah 69.5 peratus.

Pada Julai lalu, agensi itu memberi amaran mengenai peningkatan ketara kes demam campak dan risiko penularan, khususnya di London, yang merekod antara 40,000 ke 160,000 kes disebabkan kadar vaksin yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 12:27 PM