GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan program imunisasi di fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa dan ibu bapa disaran menepati jadual imunisasi dan tarikh janji temu yang telah ditetapkan oleh petugas kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ibu bapa yang pulang ke kampung perlu membuat janji temu untuk imunisasi anak mereka di mana-mana klinik kesihatan kerajaan atau swasta yang berdekatan bagi mengelakkan daripada keciciran imunisasi.

Beliau berkata, kelewatan penerimaan imunisasi akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh meningkatkan risiko pendedahan bayi dan kanak-kanak terhadap penyakit cegahan vaksin seperti campak dan polio.

Katanya, hal ini boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung.

"Dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi saranan KKM, imunisai kanak-kanak perlu diteruskan untuk mengekalkan imuniti kelompok tinggi," katanya dalam kenyataan sempena Minggu Imunisasi Sedunia yang disambut pada 24 hingga 30 April setiap tahun.

Pada tahun ini, tema 'Vaksin Berkesan Untuk Semua' (#VaccinesWork for All) dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan bertujuan mempromosikan penggunaan dan kepentingan vaksin untuk melindungi semua golongan umur daripada penyakit cegahan vaksin.

Dr Noor Hisham berkata, imunisasi terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan kos efektif dalam mengurangkan kematian penyakit cegahan vaksin.

Tambah beliau, sejarah dan fakta telah membuktikan bahawa imunisasi telah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia. Bagaimanapun, dalam dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti 'measles' (campak) dan polio.

Malaysia juga dikejutkan dengan kemunculan kes polio yang pertama pada Disember tahun lalu 2019 selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, katanya.

"Sehingga kini, terdapat empat kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta dua kes polio serasi (compatible) yang menepati ciri klinikal penyakit polio dengan kesemua kes ini berlaku di negeri Sabah," katanya.

Menyentuh berhubung kes campak, Dr Noor Hisham berkata, terdapat penurunan kes berkenaan iaitu 1,077 kes pada tahun lalu berbanding 1,958 kes pada tahun 2018 di seluruh Malaysia.

"Namun, kes kematian meningkat dengan 15 kematian tahun lalu berbanding enam kematian pada tahun sebelumnya.

"Sebanyak 915 kes Pertussis (batuk kokol) dicatatkan dengan 20 kematian pada tahun lalu, meningkat daripada 892 kes dengan 22 kematian pada 2018 manakala sebanyak 16 kes difteria dicatatkan dengan enam kematian pada tahun lepas berbanding 18 kes dengan enam kematian pada 2018, katanya.

"Majoriti kes berkenaan tidak menerima suntikan vaksin. Terdapat juga kes berlaku dalam kalangan bayi yang belum layak iaitu belum sampai umur untuk menerima suntikan vaksin," kata Dr Noor Hisham.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM menghargai individu dan organisasi yang menyumbang kepada kejayaan program imunisasi, terutama kepada petugas kesihatan barisan hadapan yang terlibat dalam pemberian vaksin termasuk anggota masyarakat yang menyokong program imunisasi.

Berita berkaitan:

  • Jangkitan polio dari luar Sabah [METROTV]
  • Bayi 3 bulan dijangkiti polio
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 12:14 PM