FOTO fail menunjukkan wanita muda memakai abaya di Nantes, barat Perancis. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan wanita muda memakai abaya di Nantes, barat Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Polis Perancis menahan seorang lelaki kerana mengugut pengetua yang tidak membenarkan anak perempuannya masuk ke sekolah kerana memakai abaya.

Lelaki itu ditahan pada Khamis kerana didakwa mengeluarkan ancaman untuk menakut-nakutkan seseorang yang mempunyai tugas rasmi," kata pendakwa raya tempatan Dominique Puechmaille kepada AFP.

Terdahulu, anak perempuan suspek ditahan di pintu masuk sekolah menengah itu, pada Khamis dan diminta menanggalkan abayanya.

Disebabkan enggan menanggalkan pakaian berkenaan, pelajar itu dihalang daripada masuk ke sekolah.

Berikutan itu, bapanya yang juga suspek menghubungi sekolah dan terlebih dahulu bercakap dengan pengawal dan kemudian kepada penasihat pendidikan.

Dia didakwa mengeluarkan ugutan bunuh yang menyasarkan pengetua sekolah dalam kedua-dua perbualan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Perancis Gabriel Attal memaklumkan ancaman itu tidak boleh diterima.

Menurut Attal, pengetua sekolah berkenaan kini berada di bawah perlindungan polis.

Presiden wilayah Auvergne-Rhone-Alpes, Laurent Wauquiez memaklumkan, kakitangan sekolah menerima ancaman bunuh dan ancaman penggal kepala.

Lantaran itu, pihak berkuasa terpaksa menunjukkan ketegasan dalam menghadapi ancaman sedemikian.

Kerajaan Perancis bulan lalu mengumumkan pengharaman abaya iaitu pakaian wanita Islam yang menutup tubuh daripada leher hingga kaki di sekolah, kerana ia didakwa melanggar peraturan sekularisme dalam pendidikan.

Larangan itu segera dicabar di Majlis Negara Perancis, mahkamah pentadbiran tertinggi, oleh sebuah persatuan dengan alasan ia boleh mencetuskan kebencian terhadap orang Islam dan kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 10:53 AM