PARPIYEV. FOTO ozodlik.org(rfe/rl)
PARPIYEV. FOTO ozodlik.org(rfe/rl)
Reuters

Tashkent (Uzbekistan): Seorang imam di Uzbekistan dipecat selepas mendesak Presiden Shavkat Mirziyoyev membatalkan pengharaman ‘simbol keagamaan’ pada individu seperti bertudung untuk wanita dan membela janggut bagi lelaki.

Mirziyoyev yang berkuasa pada 2016 melonggarkan sekatan terhadap kebebasan beragama dalam sebahagian kempen ekonomi liberal dan perubahan politik di negara itu.

Uzbekistan negara republik bekas Kesatuan Soviet yang mempunyai 32 juta penduduk, majoritinya beragama Islam.

Bagaimanapun, kerajaannya tidak menamatkan larangan terhadap simbol dan pakaian keagamaan. Pada bulan lalu Mirziyoyev mengeluarkan arahan melarang pelajar perempuan memakai tudung di sekolah.

Tindakan itu mencetuskan kritikan di media sosial yang diketuai Fazliddin Parpiyev, imam masjid Omina di Tashkent.

Parpiyev, 32, memuat naik video di Facebook pada minggu lalu dengan berkata, walaupun beberapa perubahan dilakukan, orang Islam masih ditekan dengan isu tudung serta janggut.

Susulan itu dia menggesa Mirziyoyev membantu mengekalkan kebebasan untuk seseorang mengikut hati nuraninya.

Pada Ahad lalu, Parpiyev memberitahu dalam Facebook, dia dipecat daripada jawatannya oleh Lembaga Muslim Uzbekistan yang rapat dengan kerajaan dan beberapa ulama turut menggesanya menarik balik kenyataan itu.

“Saya tidak menyesal dengan ucapan saya dalam video itu.

“Namun, bapa saya mengambil telefon pintar saya yang menyebabkan saya berpendapat dia mungkin dikenakan tekanan juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 9:40 AM