Bernal (kanan) menunggang basikal di negaranya selepas dua bulan insiden kemalangan yang hampir meragut nyawanya. FOTO instagram eganbernal
Bernal (kanan) menunggang basikal di negaranya selepas dua bulan insiden kemalangan yang hampir meragut nyawanya. FOTO instagram eganbernal
Agensi

Bogota: Egan Bernal kembali menunggang basikal hanya selepas dua bulan berdepan ancaman nyawa kerana terbabit kemalangan.

Pelumba Colombia itu merempuh sebuah bas dengan kelajuan tinggi ketika menunggang basikal di negara kelahirannya pada Januari lalu.

Atlet berusia 25 tahun itu menjalani dua pembedahan tulang belakang dan kemudiannya berkata dia 'hampir mati' kerana kecederaan itu.

Pelumba Ineos Grenadiers berkenaan kemudiannya memuatnaik gambar dia sedang menunggang basikal pada hujung minggu lalu dan berserta kapsyen "hari yang cukup gembira dalam hidup saya."

Bernal mengalami kecederaan belakang, kaki, lutut dan dada dalam kemalangan itu seterusnya menjalani pembedahan tulang belakang kali kedua pada Februari.

"Selepas dua bulan dan 20 tulang yang patah, di sini saya berada dan saya mahu pergi lebih jauh lagi!" tulisnya di Instagram.

Bernal adalah juara Giro d'Italia dan pada 2019 dia menjadi pelumba Colombia pertama memenangi Tour de France.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 3:22 PM