YULIA Peresild ketika menjalani latihan untuk membiasakan diri dengan kapal angkasa. FOTO AFP
YULIA Peresild ketika menjalani latihan untuk membiasakan diri dengan kapal angkasa. FOTO AFP
Agensi

Moscow: Aktres Rusia, Yulia Peresild akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) minggu depan untuk penggambaran filem pertama di angkasa lepas.

Bersama dua angkasawan dan seorang pengarah, pelakon berusia 37 tahun itu akan berlepas dengan kapal angkasa Soyuz MS-19 pada 5 Oktober.

ISS mengorbit bumi pada jarak kira-kira 354 kilometer dari bumi.

The Sun melaporkan, pelancaran itu dilakukan hanya beberapa minggu selepas kru orang awam pertama yang menaiki roket dan kapsul yang dibangunkan oleh SpaceX.

Ia menambah elemen persaingan angkasa lepas antara Rusia dan Amerika Syarikat, sejak beberapa dekad lalu.

"Filem ini dibuat berdasarkan kisah orang biasa… doktor yang tidak ada kaitan dengan penerokaan angkasa lepas dan tidak pernah memikirkan ditawarkan untuk ke ISS dan menyelamatkan nyawa angkasawan," kata pengarah dan pelakon Klim Shipenko pada sidang akhbar minggu lalu.

Angkasawan profesional sebagai kru juga akan terbabit dalam filem berkenaan.

"Saya tidak akan membintangi filem itu, tetapi saya masih perlu memikirkan bagaimana filem dihasilkan di tempat yang tidak biasa seperti angkasa lepas," kata komandan, Anton Shkaplerov.

Yulia Peresild yang melakonkan watak utama berkata, dia belajar menjadi jurusolek dan pereka kostum sendiri.

"Ia tidak akan sama seperti di bumi, tetapi kami akan melakukan yang terbaik. Kita sudah bersedia untuk itu.

"Sudah agak terlambat untuk takut kerana kita sudah sampai sejauh ini," katanya.

Sementara itu Shipenko berkata, ketinggiannya menyebabkan latihan di dalam kapal angkasa dan perjalanan yang akan datang tidak begitu selesa.

"Tidak apa. Saya akan' terbang' sebagaimana adanya, tetapi ketika kami melakukan filem sekuel mengenai pengembaraan ke Marikh, mereka berjanji akan ada tempat duduk yang lebih baik," katanya.

Agensi angkasa Rusia, Roscosmos sebelum ini mengumumkan projek itu pada bulan Mei. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 6:45 AM