ANGGOTA tentera memegang peluru pelancar roket yang ditinggalkan selepas pencerobohan Rusia di Kyiv. FOTO Reuters.
ANGGOTA tentera memegang peluru pelancar roket yang ditinggalkan selepas pencerobohan Rusia di Kyiv. FOTO Reuters.
Agensi

Washington: Presiden Joe Biden pada Khamis mengumumkan Amerika Syarikat (AS) memberi bantuan ketenteraan baharu sebanyak USD800 juta kepada Ukraine.

Ia termasuk peralatan ketenteraan dan persenjataan seperti dimohon pemimpin Ukraine sejak pencerobohan Rusia bermula dua bulan lalu.

Beliau turut mengulangi ikrar untuk berdiri bersama 'orang yang berani' di Ukraine dan yakin bantuan ketenteraan baharu itu akan membawa perubahan dalam tentangan terhadap tentera Presiden Rusia Vladimir Putin.

"Kita tidak akan pernah gagal dalam kesungguhan mempertahankan kebebasan dan menentang kezaliman.

"Bantuan perkakasan baharu ini akan terus dihantar kepada barisan hadapan pejuang Ukraine yang tidak kenal takut dan masih teguh di perbatasan," katanya.

Antara senjata artileri berat dihantar ke Ukraine adalah berpuluh howitzer, hampir 150,000 butir peluru howitzer dan dron taktikal.

Biden turut mengumumkan pemberian USD500 juta kepada kerajaan Ukraine untuk menstabilkan ekonomi negara itu dan keperluan berkaitan.

Selain itu, AS juga menyekat kapal yang bersekutu dengan Rusia daripada memasuki mana-mana pelabuhannya.

Secara keseluruhan, pakej bantuan baharu itu mencecah USD1.3 bilion dan Biden menyatakan ia satu keperluan kepada Ukraine berikutan bantuan lalu yang dipersetujui Kongres hampir kehabisan.

Kebelakangan ini, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berulang kali meminta bantuan ketenteraan daripada negara bersekutu, malah turut mengecam pihak yang gagal memberikan apa-apa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 9:27 AM