FOTO rasmi menunjukkan Jong Un melawat Markas Kecemasan Pencegahan Epidemik Negara di Pyongyang. FOTO EPA
FOTO rasmi menunjukkan Jong Un melawat Markas Kecemasan Pencegahan Epidemik Negara di Pyongyang. FOTO EPA
AFP

Pyongyang: Korea Utara hari ini mengumumkan kes kematian pertama akibat Covid-19.

Negara itu mengesahkan seramai 187,000 orang dikuarantin dan dirawat akibat virus itu yang kini merebak di seluruh negara.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, demam yang tidak dapat dikenal pasti puncanya merebak ke seluruh negara itu, mulai penghujung April lalu.

"Enam orang maut dengan seorang daripada mereka diuji positif varian Omicron.

"Pada 12 Mei sahaja, kira-kira 18,000 orang yang mengalami demam di seluruh negara, dan sehingga kini sehingga 187,800 orang sedang diasingkan dan dirawat," kata KCNA.

Negara terpencil bersenjata nuklear itu mengesahkan, kes pertama Covid-19 itu semalam dan kini mereka sedang beralih kepada sistem kecemasan, memaksimum pencegahan wabak selepas pesakit di ibu negara Pyongyang diuji positif varian Omicron.

Menurut pakar, negara itu yang memiliki 25 juta penduduk yang tidak diberi vaksin menjadikan mereka infrastruktur kesihatan mereka akan runtuh dan berdepan cabaran menangani wabak besar.

Pemimpin Kim Jong Un menyelia mesyuarat tergempar di Politburo semalam dan mengarahkan sekatan pergerakan seluruh negara dalam usaha untuk menghentikan penyebaran virus itu.

KCNA melaporkan, Kim melawat ibu pejabat pencegahan wabak kecemasan negeri dan memahami perihal penyebaran Covid-19 di seluruh negara.

Korea Utara menolak tawaran vaksin Covid-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, China dan Rusia.

Ia dikelilingi negara-negara masih berjuang untuk mengawal wabak yang menular pantas disebabkan Omicron.

Negara jirannya, Korea Selatan yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi pula, baru-baru ini, melonggarkan hampir semua sekatan Covid-19, dengan kes menurun secara mendadak selepas lonjakan pada Mac.

China, satu-satunya negara ekonomi utama dunia yang masih mengekalkan dasar sifar Covid-19, sedang memerangi pelbagai wabak disebabkan Omicron dengan beberapa bandar utama, termasuk hab kewangan Shanghai, dalam perintah berkurung ketat di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 10:23 AM