Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Keputusan pengoperasian bazar Ramadan di negeri ini dijangka dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 peringkat negeri minggu depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, setakat ini ia belum diputuskan oleh kerajaan negeri.

Katanya, semua keputusan di peringkat negeri akan diputuskan tertakluk pada situasi semasa walaupun penganjurannya sudah dibenarkan kerajaan pusat.

"Kita akan lihat pembentangan situasi semasa Covid-19 dalam mesyuarat itu sebelum membuat keputusan.

"Isu memperketatkan SOP juga turut akan dibincang dalam mesyuarat sama berkaitan operasi bazar Ramadan. Sebarang perkembangan juga akan dimaklumkan selepas mesyuarat itu diadakan minggu depan," katanya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chow memaklumkan jumlah kes harian Covid-19 di negeri ini, walaupun mencecah angka 1,000 hingga 2,000 kes sehari tidak semuanya membabitkan varian Delta serta Omicron.

"Setakat pertengahan Februari lalu, sebanyak 544 kes varian Delta dicatatkan di negeri ini, diikuti 37 kes varian Omicron," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 5:59 PM